Semakin menarik perkembangan politik di Selangor. Terbaca di blog Ipoh Malay, bakal berlangsung Perhimpunan Hormati Suara Rakyat Selangor anjuran sebuah grup pendesak yang baru pada 23 Januari 2011.
Kalau Ipoh Malay memberi pandangan seolah-olah grup tersebut pro Khalid Ibrahim, saya hakikatnya berpendapat berlawanan. Perhimpunan ini pada saya, lebih menjurus kepada grand design untuk menurunkan Khalid dari jawatan MB.
Tidakkah bermaksud perhimpunan yang dengan sasaran mengumpul 10,000 kehadiran merupakan satu bentuk provokasi? Kita harus menerima hakikat bahawa kini wujud dua kem yang menyokong dan yang menentang Khusrin.
Saya yakin, kem yang menyokong Khusrin tidak akan berdiam diri. Jika grup pendesak ini masih bertekad untuk meneruskan hasratnya, tidak mustahil grup pro Khusrin pula akan bertindak balas.
Apabila terjadi yang demikian, maka akan berlakulah kekacauan dan rusuhan dan seterusnya memaksa Akta Darurat dikuatkuasakan di Selangor. Saya telah menulis, BN sebenarnya tidak perlu menggunakan Khusrin Munawi untuk menumbangkan Kerajaan PR di Selangor, sebaliknya boleh mengambil teladan pentadbiran ‘Ala-Mageran’ melalui penguatkuasaan Akta Darurat Kelantan 1977.
Andainya Akta Darurat dikuatkuasakan di Selangor, ketua pentadbiran negeri akan beralih kepada pegawai yang dilantik oleh Kerajaan Pusat. Maka dengan itu, tidak mustahil pula Kerajaan Pusat melantik Khusrin Munawi sebagai Ketua Pentadbir Negeri Selangor.
Kesimpulannya, perhimpunan tersebut seolah dirancang begitu rapi yang secara sendirinya akan menjatuhkan Khalid Ibrahim disamping sengaja mencabar pentadbiran Najib Razak untuk menguatkuasakan darurat di Selangor. Najib mungkin boleh bersabar, soalnya sekarang, bolehkah pula rakyat bersabar?
Khalid harus berhati-hati dalam perancangan ini. Andai tersilap, marilah bersama-sama kita ucapkan SELAMAT DATANG PENTADBIRAN ALA-MAGERAN SELANGOR!
No comments:
Post a Comment