Dengan merujuk kepada Negeri Selangor dan dari sudut populariti dikalangan orang-orang Melayu, saya sebenarnya masih tertanya-tanya, siapa yang lebih kuat, samada UMNO, PKR atau pun PAS?
Persoalan ini menjurus apabila dalam banyak hal kerajaan Pakatan Rakyat menjual nama hak rakyat, dan dakwaan kononnya Kerajaan Selangor adalah kerajaan pilihan rakyat. Misalnya isu air dan isu SUK.
Saya akui bahawa tulisan saya ini bukan dibuat melalui kajian terperinci dan hanya sekadar pemerhatian. Selain dari itu, saya tidak memasukkan sekali DAP dalam perbandingan kerana Pakatan Rakyat hanya wujud selepas pilihanraya. Khusus untuk PRU 12 (2008), gabungan hanya antara PAS dan PKR atas nama Barisan Alternatif berserta dengan manifesto bersama mereka. Ini bermakna fokus gabungan PAS dan PKR hanya di kawasan majoriti Melayu dan kawasan yang berkedudukan antara kaum 50-50.
Mungkin para pembaca artikel ini (khusus pemastautin Selangor) boleh merujuk kepada masyarakat sekeliling di kawasan masing-masing. Cuba anda perhatikan siapa Pengerusi JKKKN, Pengerusi JKKKP, Nazir Masjid dan Barisan AJKnya, YDP PIBG, Pengerusi Belia dan apa juga jawatan-jawatan utama lain didalam komuniti tersebut. Realitinya, kebanyakan masih dipegang oleh orang-orang UMNO.
Kemudian bandingkan pula dari segi penonjolan, penampilan, pengaruh dan populariti. Saya tidak perlu mempengaruhi jawapan anda tetapi hakikatnya bagi pemimpin masyarakat yang pro-UMNOlah yang lebih menonjol. Manakala, pemimpin PAS dan PKR tempatan lebih bersifat inferior. Malah dalam banyak majlis yang melibatkan MB, Khalid Ibrahim sendiri tidak begitu ghairah diburui oleh rakyat jelata untuk bersalaman.
Disamping itu, perhatikan pula mesyuarat agong parti-parti UMNO, PAS dan PKR di peringkat cawangan/ranting, mahupun diperingkat bahagian/cabang/kawasan. Mana yang lebih meriah? Itu belum lagi bilangan cawangan/ranting di bahagian/cabang/kawasan masing. Hakikatnya UMNO masih mendepani dalam hal ini. Dalam hal ini, PAS dan PKR jangan berkecil hati kalau saya katakan bahawa kehadiran Mesyuarat Agung Kawasan/Cabang PAS dan PKR sekadar menyamai kehadiran Mesyuarat Agung Cawangan UMNO.
Berbalik kepada pilihanraya 2008, ia pada dasarnya adalah satu medan bagi ahli-ahli UMNO untuk menghukum kepimpinan UMNO di bahagian masing-masing. Secara tidak langsung hal ini memberi ruang dan peluang kepada kemenangan PAS dan PKR. Harus diingat, kepimpinan UMNO dikebanyakan bahagian telah berubah, selepas pemilihan pada tahun yang sama dan dengan itu dapat mengurangkan persoalan terhadap kepimpinannya.
Dalam keadaan kedudukan kerusi DUN di Selangor untuk UMNO/BN, PAS dan PKR yang masing-masing 23-8-13, bolehkah PAS dan PKR mengekal atau menambah kerusi tersebut? Ditambah dengan isu-isu yang berlaku di Selangor pada hari ini, saya meragui peluang PAS dan PKR akan dapat menambah kerusi, malah tidak mustahil ia akan semakin berkurangan!
No comments:
Post a Comment