Saturday, June 21, 2008

Laksa 2

Sahabat blogger kuanderas mengingatkan saya bahawa laksa KELANTAN dipanggil laksam. Saya mengucapkan terima kasih dan kalau tak silap ia kuahnya seakan-akan laksa JOHOR, cuma warna putih kuahnya ada sedikit kehitaman, barangkali ada ditambah belacan atau asam?. Kalau benarlah telahan saya, bagus juga tu malah lagi memudahkan bagi mereka yang ingin membuat malah menjual laksa JOHOR. Betapa tidaknya, jika ada pelanggan tidak suka hanya laksanakan modifikasi keatas laksa JOHOR iaitu tambah belacan atau asam maka jadilah ia laksa KELANTAN @ laksam! Kepada mereka yang pakar tentang masakan ini, tolong betulkan saya, chef yang tak berkelayakan ini.

Seorang lagi sahabat blogger, melayuangkat memberitahu beliau juga suka laksa Kedah asli dan di mana boleh diperolehi. Malangnya saya tidak tahu laksa KEDAH yang sedap di sekitar Lembah Klang. Dulu ada, tapi baru-baru ni ada sedikit masalah dengan PBT, maka penjual laksa KEDAH merajuk dan enggan untuk berniaga lagi. Dengar ceritanya, kalau YDP bertukar orang, kemungkinan besar beliau akan berniaga semula.

Memperkatakan tentang laksa, saya teringat pula yang sebenarnya ada makna lain disamping bermaksud sejenis makanan. Oleh kerana saya tidak memiliki Kamus Dewan, maka saya pun membuka kamus dwibahasa Oxford Fajar (ingat, saya bukan bertanya dengan siswazah Universiti Oxford saya cuma merujuk Kamus Oxford Fajar) dan untuk laksa 2, ia bermaksud "ten thousand". Kalau berlaksa-laksa maknaya tens of thousand. Oh, tersasar jauh sama sekali rupanyanya. Terus terang saya katakan, selama ini saya beranggapan bahawa laksa bermaksud "billion"!

Sesungguh insaf bercampur sedar bila mengetahui sebanyak mana nilai 1 laksa itu. Sekiranya pendapatan tahunan sebanyak 1 laksa maka selayaknya rumah PPRTlah kita. Hari ini pun kalau pendapatan bulanan dibawah 1/2 laksa, maka tercungap-cungaplah kita untuk meneruskan kehidupan berkeluarga, apatah lagi di Lembah Klang.

Sepanjang minggu ini, persoalan ditimbulkan tentang CEO GLC yang mendapat 10 laksa sebulan. Bukan sombong, jika saya berkelayakan menjadi CEO pun, pasti saya pun letakkan penanda aras pada 10 laksa. Betapa tidaknya, di organisasi multi-nasional sememang ditahap itulah ukurannya. Tambahan pula, mereka ini bertanggung jawab sepenuhnya terhadap operasi syarikat, waimah sekeru tanggal pun mereka kena menanggung beban tanggung jawab daripada pemegang-pemegang saham. Jika kita masih terus mempersoalkan, bermakna kita tidak mahu menyokong bangsa Malaysia (saya tak mahu sebut bangsa Melayu, nanti orang kata rasis). Namun, suka saya ingatkan kepada CEO-CEO berbangsa Malaysia supaya disamping memaksimumkan pulangan organisasi dan pemegang saham, janganlah lupa terhadap tanggung jawab sosial dan negara, khususnya dalam kemelut ekonomi yang melanda negara.

Pada 1997, Pergerakan Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Dato' Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan gerakan menambah bilangan 'Golongan Kelas Menengah Melayu' dan kalau saya tidak silap ukuran golongan kelas menengah diukur pada pendapatan bulanan yang melebihi 1/2 laksa. Selepas 10 tahun, tentunya telah ramai orang Melayu yang telah tergolong dalam masyarakat kelas menengah Malaysia. Justeru, tentunya usaha-usaha kearah itu tidak perlu dilaksanakan lagi. Tambahan pula jika usaha-usaha tersebut diteruskan, bermakna anda telah melanggari etika lanskap politik hari ini dan sesungguhnya anda akan dilabel sebagai 'rasis yang ketinggalan zaman'(?).

Akhir sekali, ini bukan berkenaan LAKSA MAKAN mahun pun LAKSA UKURAN NILAI tetapi ingin menyampaikan ucapan tahniah berserta angkat topi kepada DAP. Ucapan rasmi saya berbunyi "TAHNIAH DAP KERANA KAMU TELAH MENCAPAI MATLAMAT KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA SEBELUM KAMU MEMERINTAH NEGARA".

Thursday, June 19, 2008

Laksa & Aneka Makanan Malaysia

Laman Blog Dunia Tiger, ada menyentuh tentang keputusan mahkamah berhubung kerusi DUN Perlis, Sanglang (http://duniatiger.blogspot.com/2008/06/kerusi-sanglang-kosong.html). Seperkara yang menarik perhatian saya, bukannya berhubung keputusan mahkamah tetapi bila beliau menyentuh sedikit berkenaan laksa Kuala Perlis.

Fikiran saya mula melayang dan terbayangkan kelazatan laksa yang merupakan satu dari pelbagai aneka makanan Malaysia. Memang diakui bahawa untuk menikmati laksa yang lazat di negeri kelahiran dan kediaman saya, Selangor memang agak sukar. Setakat laksa biasa, siapa-siapa pun boleh buat dan mudah dibeli di pasar. Sebaliknya yang membezakan kelazatan laksa ialah ramuannya atau lebih tepat bergantung kepada kuahnya.

Ketika remaja iaitu di awal 1980an, saya dan abang saya telah berkunjung meziarahi keluarga bapa saudara di Alor Star. Maklumlah, semalaman perjalanan dengan bas ekspress dari KL ke Alor Star membuat kami mengantuk, lalu kami menjadikan alasan untuk bersiar-siar di bandar sebagai helah untuk keluar rumah. Sebenarnya kami ingin mencari tempat tidur kerana malu rasanya kalau seharian tidur baring di rumah. Lalu kami pun menuju ke perkarangan Stadium Darul Aman, mencari bangku-bangku untuk berbaring dan tidur. Bila hari semakin panas dan tidur pun semakin tidak selesa maka kami pun bangun. Kebetulan kami nampak ada penjual laksa dan terasa pula untuk mencuba laksa KEDAH. Wah, memang lazat laksa KEDAH. Kini lebih suku abad berlalu dan kelazatan masih terasa-rasa. Hari ini, kalau hendak dicari belum pasti dapat berjumpa lagi. Apa yang pasti, mungkin penjual laksa itu sudah pencen dan tidak berniaga lagi.

Sememangnya menjadi buah mulut orang laksa PENANG juga sedap. Meskipun Pulau Pinang menjadi satu desinasi yang kerap saya kunjungi, namun laksa PENANG tidak begitu menarik perhatian saya. Sebaliknya, nasi kandar menjadi pilihan utama saya. Tambahan pula makanan tersebut begitu sinonim dengan negeri tersebut. Pernah juga mencuba laksa PENANG, iaitu sekitar 2004 di espalanade dan rasanya boleh tahan juga. Namun, dalam kunjungan terbaru pada 2008 ini, buat kali kedua saya mencuba laksa PENANG tetapi terasa seolah-olah hambar kuahnya. Macam ada yang kurang dan lebih teruk lagi saya terkena sakit perut yang teramatnya. Justeru, saya berasa serik malah sudah tidak teringin menjamah untuk kali ketiga.

Apapun memang diakui, kalau memperkatan tentang laksa, tentunya laksa utara memang sedap. Teringin juga untuk mencuba laksa KUALA PERLIS. Rasanya, kalau minta Pak Teh bawa untuk makan di sana, mungkin dia dengan tangan terbuka akan membawa kita ke sana.

Disamping laksa utara yang sudah saya uji, di Kuantan juga sebenarnya ada laksa. Bapa mertua abang saya ada mengusahakan pembuatan laksa mentah dan di jual di pasar Kuantan. Biasanya kalau saya menziarahi beliau, laksa mentah akan dibekalkan kepada saya untuk dibawa pulang. Saya tidak pasti samada laksa PAHANG juga setanding, mengikut selera saya seperti laksa KEDAH. Cuma bagi ujian laksa PAHANG ini , ia dinikmati dengan kuahnya dimasak oleh emak saya di rumah.

Sebenarnya laksa, tidak kira di Kedah, Pulau Pinang, Perlis mahupun Pahang, bentuk kuahnya hampir serupa. Kalau kita menjelajah ke selatan tanah air, kuah laksanya begitu berlainan. Laksa JOHOR berkuahkan santan dan kelihatan lemak dan disulami juga dengan cili padi. Terus terang saya katakan bahawa laksa JOHOR tidak pernah saya mencuba. Namun begitu, mengikut ceritanya boleh tahan juga dan kalau ada peluang teringin juga untuk mencuba. Sementara itu di Johor Bahru, banyak juga orang menjual OTAK-OTAK, tetapi tidak pula teringin untuk mencuba, cuma tengok-tengok sahaja.

Suatu hari, tidak berkaitan dengan laksa, saya telah dihidangkan dengan daging panggang. Ia dihidangkan dengan sos yang kelihatan seperti air asam. Sebenarnya itu bukanlah air asam tetapi budu KELANTAN. Kalau saya tahu seawal lagi bahawa itu budu, sudah pasti saya tidak menjamahnya. Yalah, akibat kesombongan diri sendiri, akhirnya mengakui kelazatan budu KELANTAN!

Di SELANGOR pun tidak kurang juga aneka makanannya. Sebelum Mac 2008 memang saya mudah menikmati makanan seperti sate, tempeh goreng, lontong dan lain-lain lagi. Pelik juga kenapa sekarang mereka tidak lagi berniaga. Walau pun begitu telah berlaku satu trend perkembangan industri MAKANAN SEGERA di Selangor tetapi bisnes francais. Pada 2004 cuma ada 1 outlet, tapi ditutup pertengahan jalan sebelum mencapai fasa 4 tahun pertama. Satu perkara yang menarik, outlet ini bercambah 3 sekali gus pada tahun ini. Bagi saya yang berada dikelompok akar umbi ni, hakikatnya tidak berkemampuan mengunjungi ke restoran dan membeli MAKANAN SEGERA. Oleh itu, masak sendiri dan makan sendiri.

Tuesday, June 17, 2008

Pembelaan Agama dan Bangsa

Kini ungkapan yang berbentuk semangat perkauman mahupun berbentuk keagamaan begitu allergic kepada semua pihak dan kaum. Kita akan dilabel sebagai rasis andainya pandangan kita lebih terarah kepada kaum yang dari mana kita datang. Begitu juga apabila hal yang berkaitan dengan keagamaan, maklum balas malahan mungkin dalam bentuk serangan mahu pun sindiran akan dilemparkan kepada pihak yang membuat kenyataan.

Hakikatnya, kegagalan BN mempertahankan 4 negeri yang dikuasainya adalah dikaitkan dengan ketidakpusan hati dikalangan masyarakat majmuk kepada konsep Ketuanan Melayu. Oleh kerana konsep tersebut disalahertikan dan diputarbelitkan, maka ini mendorong kepada prejudis dikalangan para pendokong pro-meritrokrasi. Saya telah menulis khusus berkenaan keperluan kepada pembelaan bangsa, yang pada hemat saya tidak pun bermaksud menafikan pengiktirafan kepada warganegara yang bukan berbangsa Melayu. (Sila rujuk http://azlantaib.blogspot.com/2008/06/ketuanan-melayu-atau-pembelaan-melayu.html).

Pertembungan antara UMNO dan PAS pada dekad 1980an hingga awal alaf baru lebih terarah kepada siapa yang lebih Islamic. Malah hal ini mengundang kegusaran kepada Karpal Singh yang pernah membuat kenyataan, antara lain meminta kedua-dua parti tersebut tidak terlalu bersaing untuk menunjukkan siapa yang lebih Islamic. Kenyataan ini mungkin didorong oleh kebimbangan yang mendorong kepada kewujudan sebuah negara Islam yang secara dasarnya didalamya terdiri dari masyarakat berbilang etnik dan agama.

Kematangan PAS dalam mengatur strategi politik ekoran dari kepimpinan yang tidak dikuasai sepenuh oleh mereka yang berlatarbelakang pendidikan agama, akhirnya mengakui keperluan perkongsian kuasa seperti yang diamalkan oleh UMNO melalui BN. Justeru itulah bagi menghadapi PRU12, PAS telah memetrai kerjasama bersama PKR dan DAP dalam menyaingi BN.

Oleh kerana lebih terdorong dengan keperluan dan kehendak politik pada masa itu, persefahaman lebih kepada hal meletakkan calon-calon bagi menyaingi BN. Hakikatnya, gabungan PAS, PKR dan DAP telah terlepas pandang dalam menggariskan idealisme perjuangan dan halatuju pakatan tersebut. Hal ini mengakibatkan sedikit kecelaruan, walhal 5 negeri telah dikuasai oleh gabungan tersebut. Malahan, hanya selepas PRU12 barulah secara rasmi persefahaman diikat, lalu tertubuhlah kerajaan yang dinamakan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah disamping Kelantan yang sememangnya dibawah pemerintahan PAS.

Meskipun PR telah menubuhkan kerajaan namun, jika sebelum ini tuduhan dilemparkan keatas UMNO sebagai parti perkauman, kini PAS pula menjadi mangsa terbaru. Hal ini adalah seperti yang ditulis oleh blogger Roslan SMS di http://n32.blogspot.com/2008/06/sebut-sahaja-islam-kena-serang-ada.html.

Mengambil iktibar ini, seolah-olah ada konspirasi yang khusus untuk melemahkan pembelaan Melayu dan mempertahankan Islam. Ironinya, mengapa UMNO dan PAS yang menjadi kambing hitam? Mungkinkah PKR yang bukan berasaskan kaum dan agama tidak menjadi bahan sindiran dan kecaman kerana mereka mempunyai ideologi yang serupa dengan DAP? Dalam menentang arus ini, kepada pihak mana yang harus diletakkan tanggungjawab ini? Justeru ditahap mana pun pembelaan agama dan bangsa ini diletakkan; samada agenda utama mahupun agenda sampingan, perjuangan demi agama dan bangsa harus digerakkan dalam membentuk bangsa Melayu beragama Islam yang dinamik lagi perkasa dalam bersama memakmurkan Malaysia yang pelbagai etnik ini. Meminjam kata bistari, Islam itu matlamat bukan alat.