Friday, April 24, 2009

Selamat Berkhidmat YB Rodziah!




Kelmarin, lepas pekena teh tarik dan roti canai, terus tuju Stadium Shah Alam. Bukan apa, sekadar memenuhi hajat anak-anak yang 5 orang tu yang ingin sangat menyaksikan final Piala FA, Selangor vs Kelantan. Dalam perjalanan balik, anak remaja saya ajak singgah ke Rimba Jaya, kawasan setinggan yang menjadi kontroversi, malah dikatakan antara punca tumbangnya Kerajaan BN Selangor, pimpinan YB Dato’ Seri Khir Toyo.

Pelik juga budak ni, dulu masa berusia 2 tahun kalau pergi ke Rimba Jaya, alamat duduk dalam kereta tak mahu keluar. Bukan main sombong, sebab perumahan setinggan Rimba Jaya umpama rumah bagan. Memang pada masa itu, tempat tu kawasan berpaya. Yang ada cuma jalan yang boleh dilalui sebiji kereta. Sementara dari jalan ke tiap-tiap rumah dihubungkan oleh titi kayu. Rumah di bendang pun ada halaman tanah, tapi tidak di Rimba Jaya pada masa itu persekitarannya digenangi air.

Sesampainya kami ke tempat itu didapati kawasan tersebut telah berpagar yang menggambarkan pembangunan atau pembinaan sedang berjalan. Saya pun keluar dari kereta, pergi menjenguk di celah-celah tembok zink. Sunyi sepi sahaja dan tiada sebarang tanda projek sedang berjalan.

Apa sudah jadi? Dulu dengan penuh yakin YB Rodziah Ismail, ADUN PKR Batu Tiga, Selangor berkata melalui kenyataan media di Malaysiakini masalah boleh selesai dalam masa terdekat dan saya cukup kagum padanya.

Setelah lebih setahun berlalu, masih lagi tak bergerak.
Kalau Nampak kemajuannya boleh juga dipanjangkan idea YB tersebut dalam membangunkan semula tapak asal perumahan kos rendah di Seksyen 16, Shah Alam yang sebelum ini penghuninya telah diarahkan berpindah ke Seksyen 20. Seterusnya, tapak perumahan kos rendah itu juga boleh dijadikan kawasan perumahan selesa bagi bekas setinggan. Tindakan kena segera, jika tidak, hasrat “buka pintu nampak tanah” akan menjadi “buka pintu dah asa dalam tanah”.

Kepada Dato’ Salamon, berat mata memandang berat lagi bahu memikul dan kini YB Rodziah pun dah faham kot? Beruntung YB Rodziah kerana tak perlu menyinsing kain mengharung air bila melawat ke Rimba Jaya!

Thursday, April 23, 2009

Oh, Begitu Seninya Politik!

Saya dah semakin seronok melihat “Permainan Politik Di Malaysia”. Saya telah mula nampak kelicikan yang penuh dengan seni, muslihat , strategi dan taktik yang begitu tersusun. Penyokong fanatik hanyalah sebagai penyumbang kemeriahan apatah lagi di alam siber ini.

Bermula dengan lompatan Dato’ Nasarudin ke PKR. Reaksi dalam UMNO menyumpah-nyumpah dan ada yang minta dikosong kerusi DUN Bota. DSAI sendiri pun isytihar bahawa ada lagi ADUN BN yang akan menyeberang ke PR. Kemudian pecah berita 2 Exco Perak hilang dan selanjutnya dengan 2 kerusi yang diwakili oleh Exco berkenaan diistiharkan kosong. Kemuncak kepada turutan peristiwa ini berakhirlah Kerajaan PR Negeri Perak yang cuma bertahan selama 11 bulan.

Terkini gendang berikut dimainkan dengan perletakan Mohamad Fairus Khairuddin sebagai TKM1 dan pengosongan kerusi DUN Penanti. Riuh rendah mula kedengaran bila BN dikatakan tidak akan bertanding. Disebelah PR mengalu-alukan dan sementara dikalangan penyokong PR dan BN timbul pelbagai polemik yang dibahaskan.

Kelam kabut timbul. Dalam BN nak tentukan samada harus bertanding di Penanti atau tidak. Dari segi moral pun PR sudah menang sebab BN dah takut dengan kekuatannya. Dalam PR pun bergolak kerana TKM1 belum dilantik, barangkali nak menunggu calon dari Penanti.

Dalam pada penyokong PR dah jalan kembang dada dan penyokong BN jalan tunduk muka, awas petanda-petanda apa nak jadi berikutnya dah mula timbul:-

1. PAS Permatang Pauh buat ketetapan nak bertanding
2. DSAI dah minta maaf dengan LGE
3. Fairus dakwa dia bebas dari pendakwaan
4. SPR masih tak tetapkan tarikh PRK

Kita lihat siapa yang kena!

Tuesday, April 21, 2009

Jangan Zalimi Sekolah Agama Rakyat

Saya berasa sukar untuk bersetuju mahupun menerima kenyataan bahawa Sekolah Agama Rakyat (SAR) menerima tekanan yang hebat dari Kerajaan BN atau dalam kata yang lebih kasar menutup atau menghentikan operasi Sekolah Agama Rakyat. Sesungguh saya agak terkeliru dengan kenyataan ini. Meski pun ia telah lama berlalu, tapi saya masih lagi terbaca dakwaan ini di alam siber.

Hakikatnya, saya telah terlibat secara lansung dalam Jawatan Kuasa Pengurusan Sekolah Agama Rakyat, semenjak 1998 di tempat tinggal saya. Sepanjang pengetahuan saya, Sekolah Agama Rakyat di Selangor ditubuh dan dikawal dibawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam, Enakmen No.2 tahun 1988. Perkenan Diraja bertarikh 28 Jun 1988.

Dalam kes SAR yang saya terlibat ini, penubuhannya adalah atas inisiatif masyarakat setempat dan perniagaan teras kami ialah pengajaran dan pembelajaran fardu ain dengan berasaskan kururikulum Sekolah Rendah Agama (SRA) Negeri Selangor yang dikendalikan oleh JAIS. Pihak kami juga telah diberikan sijil pendaftaran dan adalah layak untuk beroperasi dari sudut perundangan.

Sumber kewangan operasi sekolah datangnya JAIS dan JAKIM, dalam bentuk pembiayaan elaun bulanan guru-guru. JAIS juga serta Kerajaan Negeri Selangor dan MAIS serta masjid kariah kami turut membantu didalam pembinaan dan selenggaraan baik pulih bangunan. Disamping itu derma wakaf dari organisasi perniagaan dan orang perseorangan, serta yuran dari murid-murid (RM6 sebulan – yang terendah didalam daerah) adalah menjadi punca dana untuk membolehkan sekolah untuk terus beroperasi.

Alhamdulillah, sekolah kami beruntung kerana mempunyai ahli kejiranan yang baik, umpamanya Northport Corporation Berhad, Kolej WIT (dibawah kendalian Dato’ Zainal Rampak, mantan Presiden MTUC), usahawan-usahawan kecil dan para dermawan yang begitu pemurah membantu kami.

Namun begitu, seperkara yang saya yakin ramai dikalangan tidak menyedari dan mengetahui bahawa Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran ada menyalurkan bantuan per kapita atas kiraan RM60.00 bagi setiap murid. Bagi kes SAR saya, geran tahunan ini bernilai sekitar RM20,000.00 (berasaskan bilangan murid). Daripada amaun tersebut, kami disyaratkan supaya mengaggihkan 75% kepada tenaga pengajar dan 25% lagi untuk menampung kos pentadbiran.

Isu pemberhentian bantuan per kapita ini timbul, seingatan saya pada tahun 2002. Pada tahun tersebut, semua SAR termasuklah sekolah kami tidak mendapat geran tahunan tersebut. Namun pada tahun berikutnya, kami tanpa sebarang kegagalan menerima bantuan tersebut dari Kementerian Pelajaran. Malahan pada tahun lepas, meskipun Kerajaan Negeri Selangor dibawah pentadbiran PR, kami tetap menerima agehan tersebut.

Pemberhentian agehan bantuan per kapita tersebut, meskipun tidak dijelaskan secara terbuka tetapi ada desas desus mengatakan berlaku dikalangan pihak pengurusan sekolah tidak melaksanakan syarat agehan 75:25 yang ditetapkan. Apa pun, ekoran pemberhentian bantuan tersebut, khabarnya guru-guru di sekolah-sekolah terbabit diberi pilihan untuk diserapkan dibawah perkhidmatan kerajaan.

Atas alasan-alasan tersebut di atas dan merujuk kepada kes yang saya sendiri alami, adalah mengelirukan malah amat sukar bagi saya untuk menzahirkan rasa setuju diatas dakwaan berlaku kezaliman seperti yang didakwa. Sebagai seorang yang berbahasa, dua kalung ucapan terima kasih saya ucapkanmasing-masing kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan (lama dan baru)Malah secara peribadi juga, saya lebih rela jika SAR yang saya terlibat ini dijadikan SRA oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sekurang-kurangnya dapat membendung fitnah dan tohmahan ke muka tebal kami Jawatan Kuasa Pengurusan Sekolah yang sering menadah tangan memohon sumbangan dari pihak-pihak yang tersebut di atas. Akan tetapi itu sekadar melepaskan beban kami , sebaliknya adakah kami di pihak Jawatan Kuasa Pengurusan berlaku adil kepada guru-guru yang saban tahun menikmati agehan dari Kerajaan?

Saya kurang pasti adanya kebenaran disebalik dakwaan tersebut? Mungkin tafsiran SAR mengikut negeri yang berbeza-beza? Atau pun sekolah agama swasta juga pernah mendapat keistemewaan ini, hingga mendapat pengiktirafan sebagai SAR? Respons dari pembaca-pembaca artikel ini amat saya alu-alukan bagi menjelaskan kekeliruan yang wujud dalam diri saya.

Monday, April 20, 2009

Jangan Percaya Pemimpin Ini

Orang awam diingatkan supaya berhati-hati dengan pemimpin ini. Beliau telah mempergunakan wanita dan kanak-kanak, dalam merealisasikan impian, visi dan misi peribadinya. Ramai yang telah terpedaya dengan dakyah, rayuan dan pujukan pemimpin ini. Pemimpin ini sering menjadikan empat awam sebagai sasaran kempennya.

Saya telah mempercayai malah telah terpengaruh dengan kisahnya dan seterusnya bersimpati kepada pemimpin ini. Namun pada 18 April 2009 yang lalu, saya telah menyaksikan dengan mata kepala sendiri tentang salah laku pemimpin ini. Saya berasa amat marah dan hampir-hampir melepaskan penumbuk kepada beliau.

Kisah bermula apabila PEMIMPIN KELUARGA ini mendekati saya, ketika berurusan di Wisma Anggerik, Seksyen 26, Shah Alam dimana terletaknya premis CIMB Bank dan Courts Mammoth, pada 15 April 2009. Dengan membawa anaknya seramai 3 orang (antara usia 2 – 10 tahun) dan disertai oleh isterinya, saya telah didendangkan dengan masalah yang dihadapinya. Kononnya, dia ingin membuat pengeluaran di mesin ATM tetapi gaji belum masuk, meski pun sudah jam 9 malam. Jadi , dia memohon bantuan kewangan dari saya kerana tiada sebarang makanan dirumahnya. Maka dia pun menunjukkan anggota keluarganya.

Saya maklumkan kepada pasangan muda ini, yang saya anggarkan di bawah umur 35 tahun, bahawa saya tidak kenal mereka tetapi atas peri kemanusiaan saya berikan juga wang khusus untuk 3 orang anaknya.

Rupa-rupanya, mengikut maklumat yang diterima oleh isteri saya, pasangan tersebut ialah PENIPU. Kebetulan, ketika saya melalui tempat tersebut tiga hari kemudian, saya ternampak sepasang suami -isteri sedang memberi wang kepada si lelaki penipu. Saya pun menjerit dan hampir-hampir melepaskan penumbuk kepada lelaki tersebut. Pasangan tersebut tergamam, dan saya menceritakan keadaan yang sebenarnya kepada pasangan tersebut.

Sunday, April 19, 2009

Nasib 2 ADUN Melayu PKR P.P Umpama Labu Labi



Betapa sukarnya untuk memilih antara 2 ADUN untuk dijadikan TKM1 Pulau Pinang hinggakan terpaksa diadakan PRK untuk DUN Penanti.

Saya terjumpa lagu “Yang Mana Satu” di blog Pak Cu My. Nampaknya, semakin terserlah bahawa filem Allayarham P. Ramlee telah mendahului zamannya. Apa yang melucukan kedua-dua watak Labu dan Labi dilakunkan oleh orang Pulau Pinang!

Cuba hayati senikatanya pada, khususnya pada baris “mungkinkah jauh berbatu-batu, atau di balik awan yang biru”. Bayangkan apabila Wan Azizah yang menjadi pilihan sebagai calun untuk PRK tersebut, pastinya ia sepadan dengan frasa tersebut.

Apa pun yang sedihnya, kedua-dua ADUN yang sedia ada bukanlah pilihan “sebab perangai kurang siuman” seperti Labu dan Labi (?)