Suatu ketika dulu, Ajai komposer yang terkenal di persada hiburan tanahair pernah menghasilkan lagu yang bertajuk 'Keliru' dan didendangkan secara berduet dengan Nurul. Lagu 'Keliru' ini pernah memenangi Juara Lagu TV3, namun terdengar juga kontroversi disebalik kemenangan tersebut. Bagi saya, yang bukan ahli dalam muzik, malah buta seni pula menerima sahaja keputusan yang telah dibuat oleh para juri. Apakah hak saya untuk membuat ulasan tentang keputusan tersebut? Akan tetapi, bila mendengar soksek itu timbul, sedikit sebanyak mendorong diri saya untuk menjadi keliru!
Merujuk kepada suasana politik pada hari ini, satu persatu isu timbul. Menjelajah dari blog ke blog, para blogger ada yang mengandai bahawa Malaysia kaya dengan isu (http://aspanaliasnet.blogspot.com/2008/07/malaysia-kaya-isu.html), disamping ada menyatakan teori konspirasi ciri politik Malaysia (http://kadirjasin.blogspot.com/2008/07/teori-konspirasi-ciri-politik-malaysia.html) dan lain-lain blog yang penuh dengan pelbagai pendapat pro dan kontra. Pandangan, pendapat malah penghujahan membuat akar umbi menjadi keliru. Betapa tidaknya, analisis bukan sahaja terfokus kepada isu sebaliknya mengundang penemuan pelbagai teori.
Disamping itu, tokoh-tokoh seperti Jamalladin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh dipertikaikan kredibiliti masing-masing seperti yang terdapat di (http://korban-demokrasi.blogspot.com/2008/06/cloak-of-religious-man-jubah-orang-alim.html. Biarpun mungkin artikel tersebut bertujuan sebagai pembetulan persepsi, sedikit sebanyak akan menimbulkan kekeliruan dikalangan khalayak.
Secara peribadi, perbezaan pendapat adalah baik. Sewajarnya, perbezaan pendapat haruslah dianggap sebagai suatu proses pencarian resolusi yang terbaik. Cuma dalam keadaan si penghujah dan si pendengar hujah saling berbantah maka tercetuslah polemik yang berterusan dan hilang kewarasan masing-masing. Namun begitu, diam bukan bemakna keliru sebaliknya membuat analisis dibenak pemikiran dalam mencari kewarasan dan kewajaran. Sesungguhnya, kekeliruan tidak timbul pada mereka yang berpendirian (tidak kira pro mahupun kontra), cuma ia akan wujud dikalangan yang tidak berpendirian. Mungkin, apabila kekeliruan lebih terserlah, akibat dari sesuatu isu terlalu dipropagandakan; ketika itu nanti akan datang hero (mungkin opportunis?) yang muncul ditengah-tengah kekusutan dan kecelaruan tersebut. Oleh itu, tunggu dan nantilah kemunculannya. Jika keadaan adalah sebaliknya, maka tunggulah saat kehancuran kita semua!