Tuesday, June 16, 2009

Perak Anjurkan Selangor Turuti Mereka

Saya tidak pasti kesahihan sumber dari Perak ini. Namun andainya ini benar-benar berlaku, tidak adakah pilihan lain untuk menyediakan kemudahan kepada Ahli-Ahli Majlis yang begitu ghairah untuk berkhidmat? Umpamanya, dengan menyediakan ruang untuk Ahli-Ahli Majlis di pejabat-pejabat cawangan atau di dewan-dewan yang dibawah seliaan pihak berkuasa tempatan.

Saya yakin, jika pilihan tersebut diambil, kos peruntukan untuk tujuan tersebut tidak akan akan mencecah angka RM8 juta.

Sumber kedua juga dari Perak, seolah-olah menganjurkan Selangor menuruti teladan seperti Perak kot?

Monday, June 15, 2009

Selangor Negeri Kebajikan

Selangor di bawah PR merupakan sebuah negeri kebajikan. Begitu juga BN sebelum PRU12, sebagai menjawab manifesto bersama PKR dan PAS menyatakan bahawa Selangor semula jadi adalah negeri kebajikan, kerana namanya sendiri pun dikenali sebagai “Selangor Darul Ehsan”.

Barangkali kerajaan yang dibawah nama “Pakatan Rakyat”, membolehkan rakyat terlalu berkuasa. Bila malam, untuk pergi makan-makan dengan keluarga di Bandar Bukit Tinggi, Klang orang awam boleh buat “double parking” dan menyusahkan pengguna yang lain. Mungkin pihak berkuasa tempatan tidak berani mengambil tindakan semuanya sudah “dirakyatkan”. Apalah ertinya kebebasan diberikan kepada rakyat yang hanya memberikan tiket kepada rakyat untuk membuat “suka-suka hati” melanggar peraturan dan pada yang sama menyusahkan rakyat yang lain. Soalnya, dimanakah penguatkuasaan?

Minggu lepas, ketika duduk bersembang dengan rakan lama di suatu majlis perkahwinan, saya dimaklumkan bahawa ada PBT yang semakin kurang kantungnya. Saya membalas, mana mungkin walhal saya telah membayar cukai taksiran sebelum berakhir tempoh, 28 Februari. Semalam pula, di suatu majlis yang lain terdengar rungutan JKKK pening kepala sebab ketiadaan sumber. Sebelum ini pun, ada rakan yang menganjurkan agar jangan bayar cukai atas alasan negeri kebajikan (alasan yang munasabah?).

Dalam hati cuma boleh berkata, mungkin kegawatan ekonomi atau mungkin terlalu berkebajikan (?). Kalau benar kerajaan Selangor kekurangan sumber dana, maka harapan yang tinggi kepada Dato’ Seri Najib untuk pertimbangkan harga RM9.7 bilion bagi penjualan asset-aset bekalan air negeri Selangor. Sekurang-kurangnya adalah sumber bagi kerajaan PR Selangor untuk terus berkebajikan!