Pada 20 Januari 2015 yang lalu, Perdana Menteri DS Mohd Najib Abdul Razak melalui perutusan khasnya, telah memberi taklimat dan menjelaskan perkembangan ekonomi semasa negara rentetan dari terbitnya kebimbangan ekoran dari kejatuhan harga petroleum dan penurunan nilai ringgit.
Dalam membentangkan langkah-langkah khusus dan proaktif dalam meletakkan kedudukan ekonomi Malaysia (yang keseluruhannya anda boleh baca SINI) kekal pada landasan sebenar, PM antara lain telah menyatakan secara khusus untuk menambah baik 'last mile connectivity' ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik, bagi mempercepatkan pelaksanaan logistik dan fasilitasi dagangan.
Seperkara yang perlu diakui oleh pembuat-pembuat dasar, mereka perlu mengakui bahawa mereka telah terlepas pandang terhadap potensi Pelabuhan Klang sebagai transhipment hub untuk menyaingi Singapura di rantau ini. (Rujuk ulasan sebelumnya SINI).Walhal sepatutnya ia lebih awal dimasukkan dalam program transformasi ekonomi 'Greater KL/Klang Valley'.
Perlu diingatkan bahawa antara inisiatif Greater KL/KV ialah 'Greater KL Connect', namun ia hanya memberi tumpuan kepada menghubungkan KL - Singapura dengan sistem keretapi berkelajuan tinggi dan pembinaan sistem rel bandar bersepadu (MRT).
Oleh yang demikian, jika PM benar-benar mahu melihat kejayaan Pelabuhan Klang sebagai transhipment hub, maka sewajarnya ia dimasukkan sebagai sebahagian dari inisiatif Greater KL Connect yang termaktub dalam perancangan Greater KL/KV.
Bukan itu sahaja, inisiatif 'Greater KL Connect' akan menjadi lebih memberikan impak besar jika sistem rel dipertingkatkan bukan sahaja ke Singapura, tetapi turut memasukkan hubungan ke Padang Besar di sebelah utara.
Greater KL/KV merangkumi 10 PBT seperti ditunjukkan oleh peta di bawah:-
Cadangan ini adalah mengambil kira kepada jajaran Ekspressway Lembah Klang Selatan turut melintasi kawasan PBT berkenaan. Malah, kawasan berkenaan juga mempunyai potensi untuk berperanan dalam menyumbangkan matlamat yang diimpikan oleh PM.