Tun Dr Mahathir dalam tulisannya di blognya (Baca SINI),mengutarakan cadangan yang menarik iaitu mengesyorkan KTM supaya memberi kebenaran kepada keretapi membawa barangan dan kontena antara Bangkok dengan pelabuhan-pelabuhan Malaysia.
Dalam terma sektor pengangkutan ia dipanggil 'transhipment hub' dan telah berpuluh tahun menjadi amalan pelabuhan Singapura, malah ia adalah antara faktor penyumbang dalam kemajuan negara kecil berkenaan.
Dr Mahathir membuktikan yang beliau masih mempunyai ketajaman akal dalam merungkai kerugian RM2.5 bilion yang dialami oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM), disamping saranan yang amat bernas dengan siapnya landasan berkembar dari Padang Besar ke pelabuhan-pelabuhan di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.
Blog Akar Umbi mengharapkan perhatian PM DS Najib Razak atas cadangan bekas Perdana Menteri itu dalam konteks transformasi dalam sektor pengangkutan negara.
Bulan lepas Menteri Pengangkutan DS Liow Tiong Lai mengumumkan projek RM100 juta untuk mendalamkan dasar laut yang menjadi laluan kapal di perairan Pelabuhan Klang.
Namun begitu, difahamkan bahawa projek berkenaan lebih menjurus kepada usaha mendalamkan kawasan laluan selatan (south channel).
Untuk lebih memahami isu yang dibangkit rujuk pada peta di bawah:-
Sebenarnya ada 3 komponen utama dalam operasi Pelabuhan Klang iaitu Pelabuhan Utara, Pelabuhan Selatan dan Pelabuhan Barat.
Pelabuhan Utara dan Selatan diurus oleh Northport Corporation Berhad (pemilikan utama oleh PNB), sementara Pelabuhan Barat dikendali oleh Westports Holding Berhad.
Dulu ada 2 laluan masuk ke Pelabuhan Klang iaitu laluan utara (north channel - merah) dan laluan selatan (south channel - kuning). Namun begitu, laluan utara telah ditutup sejak 2009, ekoran dasar lautnya agak cetek (12 meter) dan tidak sesuai untuk kapal-kapal besar.
Berbalik kepada projek mendalamkan dasar laut Pelabuhan Klang, oleh kerana tumpuan hanya kepada laluan selatan, maka ia akan mendatangkan mudarat kepada Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Selatan dalam jangka masa panjang.
Semua kapal arah ke selatan dari utara terpaksa mengikuti laluan selatan dan ini merugikan dari segi masa (3 jam perjalanan tambahan), disamping tambahan dari segi penggunaan bahanapi.
Suatu tindakan perlu diambil untuk meng'hidup'kan semula laluan utara, memandangkan Northport Corporation adalah dibawah pemilikan PNB, supaya ia dapat bersaing secara adil dengan Westports.
Malah yang lebih penting ialah memberi ruang kepada semua kapal-kapal besar dapat berlabuh di semua dermaga di ketiga-tiga pelabuhan berkenaan (utara, selatan dan barat), dalam konteks menjadi pelabuhan tersebut sebagai 'transhipment hub' yang menyaingi Pelabuhan Singapura.
Dalam pada itu, baru-baru ini TMI melaporkan tentang hasrat Singapura untuk menjadi pelabuhan membekal (bunkering) bahanapi LNG terbesar dunia menjelang 2020. Seharusnya Malaysia berasa malu, memandangkan Singapura bukanlah negara pengeluar LNG, tetapi masih mempunyai cita-cita sebesar itu.
Jadi, elok benar jika pembuat-pembuat keputusan dalam kerajaan kita mengambil langkah-langkah yang berjiwa besar seperti itu, kerana kita mempunyai kelebihan dari segi input berbanding negara berkenaan.
Merujuk kepada peta di atas, pusat 'bunkering' boleh dimajukan di Pulau Carey, memandangkan sebahagian besar pulau itu adalah kawasan estet kelapa sawit milik Sime Darby. Dengan populasinya yang kurang berbanding saiz estet, ia amat sesuai untuk pembinaan depoh bahanapi samada disel mahupun LNG.
Akhir kata, tulisan Dr Mahathir di blognya berkenaan isu-isu di atas, sebenarnya adalah pendek. Namun begitu, ia terlalu panjang untuk dihurai dan diterjemahkan.
No comments:
Post a Comment