Thursday, August 7, 2008

Catatan Peribadi, Sebelum Terlupa (1)

1974 terlalu mentah untuk mengerti, bila nampak ribuan pelajar universiti dan mereka yang bersimpati, berpiket di tepi bukit Kg Kerinci dekat dengan Angkasapuri, dalam kata lain di tepi Lebuhraya Persekutuan, lebuhraya pertama di dalam negeri. Dengar cerita ada yang kebuluran di Baling.

1975 mula dikenalkan dengan KPIM, ABIM bila guru sementara yang sedang menunggu keputusan STP, mendapat pendidikan dari sekolah persendirian Yayasan Anda, mengajar Bahasa Malaysia. Terpengaruh juga bila dengar ceritanya. Usia dibelasan tahun minat sangat dengan majallah Bambino, maka selalu pergi kedai buku dan curi-curi baca Mimbar Sosialis, lidah rasmi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PRSM). PRSM pada masa tu tak iktiraf Malaysia.

1976 mula faham politik sikit-sikit. Dato’ Harun mendapat sokongan golongan muda yang menjadi “pressure group”. Pernah juga ikut serta dalam rally yang kebetulan di tempatku dan curi dengar dari otai-otai bahawa Dato’ Harun disuruh letak jawatan MB Selangor. Malah dia orang kata Dato’ Harun nak kena “buang negeri” jadi Wakil Tetap di PBB, New York. Tun Razak meninggal dunia di London, Tun Hussein ganti dan Dato’ Harun dipecat dari UMNO. Pada tahun itu juga semacam ada pertembungan puak sosialis dengan nasionalis. Kuatkuasa ISA pada masa itu, samada di Malaysia mahu pun Singapura akan dikaitkan dengan komunis.

1977-1980 tak banyak ingat peristiwa politik masa itu. Macamana nak ingat, tengah kemaruk zaman remaja dan sibuk dengan SPM dan STP. Apa tidaknya, masa tu bermulanya era disko. Filem-filem seperti Saturday Night Fever & Grease, ditonton lebih dari sekali. Cuma pada tempoh itu US berundur dari Vietnam dan politik lokal dalam tempoh tersebut, PAS disingkir dari BN dan Kelantan jatuh ke tangan BN melalui kerjasama UMNO dan Berjasa. Ibrahim Ali terlibat mastermind demontrasi di Kelantan dan akhirnya negeri tersebut diisytiharkan darurat, seterusnya membawa pembubaran DUN Kelantan bagi membolehkan pilihanraya Negeri Kelantan.

1981 tunggu keputusan STP, jadi guru ganti mengajar Sejarah dan Bahasa Malaysia tingkatan 3-5 di sebuah sekolah misionari (sekarang semua dah jadi SMK). Kali ni dah pandai menyampuk guru-guru senior yang borak pasal politik. Masa tu tengah hangat peralihan kuasa Tun Hussein – Tun Dr Mahathir. Tun Musa berentap dengan Ku Li untuk jawatan nombor dua parti. Nak beritahu, ini tahun penting untuk bangsa Melayu yang suka simpan duit bawah tilam, Amanah Saham Nasional telah dilancarkan. Duit-duit bawah tilam, dalam tempayan, celah tiang semua dikumpulkan untuk beli syarikat-syarikat utama dalam dan luar negeri.

1982-1984 masuk IPT dan pecah berita di kampus, Anwar Ibrahim masuk UMNO dan jadi calun di Permatang Pauh. Politik negara dan kampus condong kepada Islam. PAS begitu agresif dengan generasi mudanya seperti Haji Hadi, Ustaz Fadzil Nor dan juga Ustaz Nakhaie yang dah masuk UMNO. Al-Arqam melalui Abuya juga ada masuk ke kampus. Beliau datang dengan Mercs hijau yang rasanya mahal juga harganya! Ekonomi mula meleset pada tempoh ini. Bila masuk dewan makan, makanan dah tak semewah dulu.

1985-1991 bermula alam pekerjaan dengan institusi kewangan. Proton mula memasuki pasaran. Ekonomi masih meleset. Retrenchment khususnya di sektor pembuatan begitu banyak berlaku. UMNO bergolak, Semangat 46 muncul dan tokoh korporat memimpin MCA. Macam-macam hal timbul yang antara lain isu kejatuhan koperasi-koperasi pengambil deposit, skandal Pan El, BMF, Maminco dan macam-macam lagi, termasuk isu kehakiman. Tapi politik dan ekonomi dah mula stabil, dipenghujung tempoh ini, malah gila. Contohnya, harga kereta kalau dibeli pada harga RM18,000 pada tahun 1985 boleh dijual pada harga yang sama pada tahun 1991. Tak pernah dalam sejarah kereta tidak ada depreciation value.

AKAN BERSAMBUNG………..