Friday, November 7, 2008

Perjuangan

­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­Sengaja mendiamkan diri tanpa sebarang entri untuk seketika. Lebih banyak memandang dan mendengar berbanding bersuara. Memandang gerak dan telatah, mendengar gosip, propaganda dan kadangkala fitnah (?). Tidak nampak keperluan untuk bersuara kerana emosi mengatasi kewarasan. Hati minat, tangan tak tergapai. Banyak halangan, cabaran dan dugaan.

Perjuangan politik pada pandangan banyak orang, adalah terlalu peribadi. Mungkin betul, kerana saya juga mengejar kepuasan peribadi. Saya akan berasa puas bila kezaliman dapat dihapuskan. Pemimpin tidak sepatutnya menzalimi pengikut dan pada masa yang sama, pengikut tidak juga boleh memiliki lesen untuk menzalimi pemimpin.

Pastinya saya akan selesa bila kepimpinan yang adil dapat dihidupkan. Adilkah kita bila memimpin dalam keadaan ‘bias’ dan penuh muslihat demi mengekalkan kekuasaan? Mungkin kita berdalih dengan alasan lumrah politik membenarkan yang sedemikian. Namun begitu, peraturan iman dan akhlak sesungguhnya tidak membenarkan.
Kesamarataan mungkin sukar malah masih punya jurang untuk dirapatkan. Protokol, budaya dan persepsi masyarakat mengikat tahap kemuliaan setiap insan. Dasar taqwa dan keimanan yang menjadi asas kemuliaan disisi Allah dikesampingkan. Sebaliknya, material dan keterampilan menjadi asas kemuliaan disisi insan.

Bagaimana pula dengan berjanji setia dan ketaatan? Pastinya ia terikat kepada perkara-perkara yang bukan berbentuk kemungkaran. Malang sekali, kiranya pemimpin yang baik boleh kita lahirkan tetapi pada masa yang sama kita gagal melahirkan pengikut yang baik. Sebenarnya, hal inlah yang menjadi keluhan Saidina Ali bin Abi Talib. Keberantakan diera pemerintahannya berpunca dari dikalangan pengikutnya tidak bersikap seperti mana beliau menjadi pengikut kepada khalifah-khalifah sebelum beliau.

Perjuangan adalah pengorbanan. Perjuangan bukan mengejar laba dan habuan. Sejarah telah membuktikan bahawa kebanyakan pejuang mati dalam kemiskinan. Justeru, kalau mengejar kekayaan maka berniagalah. Anda mungkin mati sebagai jutawan dan meninggalkan jariah kepada agama bangsa dan negara. Kalau ingin berpolitik, jadilah seorang pejuang yang berjasa dan mewariskan kemakmuran muka bumi serta kesejahteraan kepada generasi berikutnya.

Jelajah dan semarakkan erti perjuangan tidak kira di cawangan atau ranting anda huni, malah bahagian atau kawasan yang anda berada. Sesungguhnya anda dan saya bermaksud ‘kita’. Seterusnya, janganlah lupa bahawa kita adalah umat yang beragama, berbangsa dan bernegara. Tidak perlu menunggu orang lain untuk berjuang, mengapa tidak kita yang memulakan?