Ketika artikel ini ditulis, mungkin kabinet sedang membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Khabarnyanya, apa juga keputusan adalah muktamat.
Secara peribadi, saya berpendirian menyokong perlaksanaan PPSMI malah anak-anak saya juga selesa dengan dasar tersebut. Anak saya yang sulung, merupakan pioneer untuk PPSMI di sekolah menengah. Daripada 5 orang anak, 3 memulakan PPSMI di sekolah menengah dan bakinya bermula di sekolah rendah.
Sistem pendidikan di zaman persekolahan saya, wujud 2 aliran iaitu Melayu dan Inggeris. Dengan kekangan budaya, faktor geografi dab ekonomi ketika itu, saya dihantar sekolah Melayu. Tambahan pula, yuran untuk sekolah aliran Inggeris lebih mahal berbanding sekolah Melayu, disamping sekolah yang paling berhampiran ialah sekolah Melayu.
Ketika di IPT, saya terpaksa belajar lebih masa berbanding dari rakan-rakan dari aliran Inggeris kerana terpaksa belajar semua peringkat modul Bahasa Inggeris. Malahan seorang rakan saya tertangguh penyempurnaan diplomanya apabila terpaksa menghadiri 1 semester semata-mata untuk kursus intensif Bahasa Inggeris.
PPSMI, pada saya memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mendapat pendidikan yang setara. Pernah saya diajukan soalan oleh seorang sahabat, dikalangan pelopor-pelopor utama dalam gerakan menentang PPSMI masihkah mempunyai anak yang bersekolah? Bahkan rata-rata adalah terdiri mereka yang sebaya dengan ibu bapa kita.
Soalnya sekarang, apakah matlamat penentangan terhadap PPSMI? Anti-establisment, politik atau pun yang member idea itu seorang insan yang bernama Mahathir? Apa pun, saya masih berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan anak-anak malah berterima kasih kepada terhadap PPSMI yang memberi ruang kepada saya mengeluarkan biaya yang murah untuk satu sistem pendidikan yang diidam-idamkan oleh mereka yang berada.