Saya menonton sepenuhnya video ucapan TS Muhyiddin Yassin di Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Cheras, bagi mendapatkan gambaran sebenar, selepas ia menimbulkan reaksi pro dan kontra di media elektronik.
Antara kandungan ucapan Muhyiddin ialah saranan pemecatan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.
Hanya berselang sehari saranan pemecatan dibuat (Ahad), pada Selasa Muhyiddin akhirnya digugur jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sebagai orang biasa, saya melihat bahawa meskipun Muhyiddin ketika itu dalam posisi sebagai TPM, rupanya ia tidaklah semantap dan segagah barisan jemaah pengarah 1MDB.
Sasaran Muhyiddin tetap kekal dengan kedudukan masing-masing, sebaliknya beliau yang tersingkir.
Saya cuba mencari kekuatan saf jemaah pengarah berbanding Muhyiddin. Akhirnya, penemuan saya mendapati mereka telah berjaya meningkat asset syarikat kepada RM51.4 bilion hanya dalam tempoh 5 tahun, berbanding modal berbayar hanya RM1 juta.
Amat mengkagumkan juga apabila pihak kreditor dengan begitu yakin memberi pinjaman RM42 bilion kepada syarikat berkenaan.
Terfikir dibenak fikiran saya, seandainya seluruh jemaah pengarah dipinjamkan ke Amanah Ikhtiar Malaysia dan Yayasa Tekun Nasional, pasti akan dapat membantu membasmi kemiskinan melalui skim pinjaman mikro kredit.
Dengan mengambil model dari modal berbayar RM 1 juta 1MDB, dengan jumlah kredit yang berjumlah RM42 bilion, pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil adalah seperti berikut:-
- Modal RM1 boleh dapat pinjaman RM42 ribu
- Modal RM10 boleh dapat pinjaman RM420 ribu
- Modal RM100 boleh dapat pinjaman RM4,2 juta
- Modal RM1,000 boleh dapat pinjaman RM42 juta
Cuba bayangkan kalau model ini berjaya, berapa banyak keluarga yang dapat dibebaskan dari belengu kemiskinan?
Harap-harap cadangan ini boleh diberi perhatian.