Sekitar tahun 2001, saya telah mewakili organisasi yang saya anggotai untuk menyertai suatu sessi 'brainstorming' yang mengkaji hala tuju politik Malaysia, ekoran kemunculan Parti KeAdilan Malaysia (sekaran Parti Keadilan Rakyat Malaysia - PKR). Sessi tersebut diadakan secara tertutup dan dihadiri kira-kira 50 orang peserta.
Saya masih ingat, komposisi para serta adalah mewakili semua golongan yang terdiri dari pemimpin belia, pemimpin pelajar, jawatankuasa masjid, ahli akademik, wakil rakyat (DUN dan Parlimen), Ketua Jabatan, aktivis masyarakat dan pelbagai lagi individu samada rendah mahu pun tinggi pangkatnya.
Setiap peserta telah diminta memperkenal diri dan menyatakan latarbelakang akademik serta profesion masing-masing, disamping diberikan peluang untuk memberikan pendapat dan maklum balas terhadap politik semasa ketika itu.
Berdasarkan pengalaman peribadi, saya telah menyatakan di sessi tersebut bahawa adalah naluri semula jadi bagi golongan muda untuk bersikap pro-pembangkang. Golongan lebih kritis disamping didorong oleh rasa keseronokan untuk menjadi pembangkang. Umpama menghadiahkan anak kecil berusia 5 tahun dengan diberi pilihan antara cokelat dan emas. Sudah pasti anak tersebut memilih cokelat kerana tahap pemikirannya belum sampainya keperingkat faham akan nilai sesuatu. Sebaliknya rasa sedap cokelatlah yang menjadi faktor kanak-kanak tersebut untuk memilih cokelat.
Seorang Ahli Parlimen berpendapat, Dr Mahathir (TDM) telah mengambil risiko yang tinggi apabila memecar Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai TPM kerana pada waktu itu sel-sel jaringan Anwar begitu kuat. Kegagalan TDM untuk memecahkan sel-sel jaringan itulah yang menyebabkan DSAI mendapat simpati yang besar malah berupaya membawa gelombang gerakan reformasi.
Setelah 9 tahun berlalu, saya dapat merasai dan melihat sel-sel ini semakin lemah. Semenjak era reformasi, kita sendiri melihat satu persatu samada pemimpin mahu pun anggota parti keluar meninggalkan PKR. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Dr Chandra Muzaffar, Ruslan Kasim, Zainur Zakari dan Mohd Ezam Mohd Nor dan yang terbaru sperti Dato' Nala, Zul Kulim, Zahrain dan lain-lain lagi.
Semasa peringkat awal gerakan reformasi, ramai sahabat di atas pagar malah yang dari UMNO pun dengan mudah melompat menyokong KeAdilan. Apabila kes DSAI disebut di mahkamah, maka berbondong-bondong, bukan ditaja berarak menuju mahkamah sebagai tanda sokongan kepada DSAI.
Keadaan pada hari ini berlaku sebaliknya. Perarakan semakin kecil bilangannya, dan hanya beberapa kerat yang hadir untuk memberikan sokongan moral kepada DSAI.
Saya pernah bertanya kepada beberapa orang sahabat dikalangan kelompok awal dari bekas ahli PKR (bukan ahli biasa tetapi bekas penyandang utama PKR negeri dan kebangsaan) akan sebab musabab mereka keluar PKR.
Pada mereka, dulu TDM memecat dan kemudian mendakwa. Oleh itu, sukar bagi mereka untuk menerima, samada pertuduhan mahu pun pemecatan. Sebaliknya, apa yang berlaku pada hari ini memberi petunjuk bahawa wujud hal yang meragukan dalam kehidupan peribadi DSAI. Masakan wujud satu konspirasi yang seakan-akan sama skripnya?
Saya juga pernah bertanya kepada rakan sekolah saya, yang pernah menjawat Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian (antara yang awal menyertai KeAdilan pada masa itu) dan juga pernah menjadi orang kuat seorang Menteri Besar, berhubung dengan pendirian politiknya pada hari ini. Beliau menjawab, memang agak sukar untuk mempercayai segala tohmahan terhadap DSAI. Namun tambah beliau, apabila seseoang dikalangan yang rapat dengan DSAI memberitahunya bahawa kehidupan peribadi DSAI diragui maka pendirian menjadi goyang malah luntur sama sekali.
Apabila mereka yang pernah malah rapat dengan DSAI pun boleh berubah pendiriannya maka apatah lagi mereka yang tiada sebarang hubungan seperti saya!