Wednesday, December 17, 2014

Menggeletar Lim Kit Siang Dengan Team Transformasi UMNO Selangor, Hingga Terpacul Dari Mulutnya Kerajaan PR Tumbang Di Selangor

Jika PAS masih bertegas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, Penasihat DAP Lim Kit Siang membayangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan tumbang.

Melalui tulisannya di The Rocket, Kit Siang menjangka Pakatan Rakyat akan sekadar mendapat 21 kerusi melalui DAP-11, PKR-5 dan PAS-5 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada PRU14.

Ini bermakna BN diramalkan akan menang 35 kerusi dan seterusnya dapat memerintah Selangor.

Apakah UMNO Selangor benar-benar bersedia untuk menang di Selangor?

Sejujurnya, saya cuba untuk berdiam diri dari mengulas apa yang berlaku dalam UMNO Selangor, apatah lagi untuk mengulas tempelakan Presiden UMNO DS Najib Razak yang menyifatkan UMNO Selangor sebagai lembab, dalam ucapannya sempena Konvensyen UMNO Selangor lebih sebulan yang lalu.

Namun dalam tempoh beberapa hari yang lalu, telah menjadi viral di media sosial dengan apa yang dinamakan sebagai keperluan 'Team Transformasi', yang bermula dengan cadangan 8 nama pemimpin UMNO oleh blog KL Chronicle untuk rombakan dalam kepimpinan utama UMNO Selangor; telah menarik minat saya untuk mengulas isu yang dibangkit oleh Najib.

Rentetan dari cadangan blog berkenaan, timbul pula poster berikut dengan sedikit penambahan beberapa nama seperti berikut:


Dari poster di atas, selain DS Noh Omar, penjawat-penjawat Ketua UMNO Bahagian ialah YB Mat Nadzari (Hulu Selangor), Dato' Zein Isma (Subang), Dato' Nasaruddin (Klang), Dato' Kamaruzzaman (Kota Raja), Dato' Sulaiman Karli (Kuala Langat), Dato' Azhari (Shah Alam) dan Dato' Yusoff Haniff (Kelana Jaya).

Selain dari nama-nama di atas, mereka adalah terdiri dari kalangan bukan Ketua Bahagian.

Saya berpandangan untuk merombak kepimpinan UMNO Selangor bukanlah suatu perkara yang mudah, kerana perlantikan Noh sebagai Pengerusi Perhubungan selepas PRU13 adalah cadangan majoriti Ketua-Ketua Bahagian dan bukan atas pilihan Najib.

Dari awal lagi saya agak musykil dengan kaedah perlantikan tersebut (yang pernah saya tulis SINI) apabila,
  • Perlantikan Noh dibuat atas cadangan (desakan?) Ketua-Ketua Bahagian dan bukan penyerahan mandat kepada Presiden untuk membuat pilihan; dan
  • Pengumuman Noh sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dibuat mendahului pengumuman Presiden.
Memetik sumber tanpa mendedahkan identiti, Antara Pos yang melaporkan 'pengumuman tidak rasmi' Noh sebagai Pengerusi Perhubungan ketika itu, turut menyebut ikrar yang mewakili Ketua-Ketua Bahagian;
“Dalam pada itu, Umno akan melakukan bedah siasat dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca prestasi buruk parti pada PRU-13 dan bersedia lebih awal untuk PRU-14. Banyak pengajaran kita peroleh daripada kekalahan ini, terutama dari aspek komunikasi sesama ketua Umno bahagian sendiri."
Apabila 'aspek komunikasi' dibangkitkan dalam kenyataan di atas, adalah mudah untuk ditafsirkan bahawa ia adalah ditujukan kepada DS Zin Mohamed, yang sebelum itu adalah Setia Usaha Perhubungan merangkap ko-ordinator BN Selangor.

Zin telah menjadi sasaran dan telah dianggap sebagai punca kekalahan teruk UMNO dan BN di Selangor pada PRU13. Akhirnya, Zin bukan sahaja terkeluar dari senarai kepimpinan utama UMNO Selangor, malah telah gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sepang.


Soalnya sekarang, apakah berulang kembali kelemahan 'aspek komunikasi' dalam UMNO Selangor?

Membandingkan situasi terdahulu (tatkala Noh dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan) dengan situasi sekarang, 11 dari 22 Ketua Bahagian berkenaan adalah terdiri dari muka-muka baru. Kesemua jawatan-jawatan peringkat pengurusan parti adalah terdiri dari muka-muka yang sama seperti perlantikan terdahulu, kecuali Ketua Penerangan disandang oleh Zein Isma (mengganti Dato' Amirudin Sutero yang gagal mempertahankan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor).

Keadaan inilah yang mungkin mendorong kepada timbulnya desakan untuk mencuba 'Team Transformasi". Namun, apakah Najib sedia menerimanya?

Saya berpandangan bahawa tidaklah semudah yang dijangka untuk Najib menerima cadangan untuk merombak kepimpinan UMNO Selangor, kecuali kesemua 22 Ketua Bahagian menyerahkan kembali 'kuasa mutlak' kepadanya untuk melakukan perubahan drastik.

Hal ini sebenarnya telah ditunjukkan oleh blog Medan Info Kita, namun penyampaiannya yang agak vokal hingga barangkali tidak terlihat oleh kepimpinan UMNO Selangor, yang anda boleh baca SINI.

Berikut luahan hati Najib yang saya kutip dari blog berkenaan,
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau bersedia melakukan perubahan 'drastik' berhubung kepimpinan Umno Selangor sekiranya diberikan 'kuasa mutlak' untuk bertindak sedemikian. 
"Kalau dia (ahli Umno) hendak saya membuat perubahan yang drastik, dia kena beri sokongan dan mandat sepenuhnya," kata Najib kepada Mingguan Malaysia. 
"Tetapi kalau dipertikaikan, berbelah bagi dan sebagainya, susahlah saya hendak berbuat sesuatu kalau penyelesaian itu memerlukan penyelesaian yang drastik," tegas beliau.  
"Kalau mandat diberikan yang memerlukan penyelesaian drastik, tahulah apa saya hendak buat. Tapi kalau saya ambil tindakan drastik, tidak dapat sokongan parti, tindakan saya boleh dipertikaikan," kata Presiden Umno.  
"Ya, mandat tambahan. Beri saya kuasa mutlak," kata Najib.  
 Kenyataan Najib itu menyusul sehari selepas Datuk Seri Noh Omar berkata beliau diberikan mandat oleh Najib untuk terus menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri. 
Jelas bahawa Najib memberi isyarat supaya kesemua 22 Ketua Bahagian menyerahkan semula kuasa perlantikan kepimpinan Perhubungan UMNO Selangor kepadanya dan bukan melalui kaedah sebelumnya iaitu melalui pilihan Ketua-Ketua Bahagian, disamping mengharapkan sokongan sepenuhnya dari mereka.

Jika ini gagal diselesaikan, baik apa jua team yang diketengahkan maka akan menempah kekalahan.

Tuesday, December 16, 2014

Lim Kit Siang Ramal Kerajaan PAS Kelantan Akan Tumbang Pada PRU14


Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang memberi amaran bahawa perlaksanaan hukum hudud di Kelantan bukanlah jaminan untuk PAS mempertahankan Kelantan pada PRU14, sebaliknya membayangkan mereka akan kehilangan tampuk pemerintahan negeri berkenaan.

Pandangan Kit Siang yang dimuatkan di The Rocket menyimpulkan, jika PAS berterusan dengan isus hudud, antara lain meramalkan undi bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat akan merosot sebanyak 20% dan akan menjejaskan peluang mempertahankan bilangan kerusi gabungan berkenaan pada PRU14.

Antara natijah yang bakal ditanggung oleh Pakatan Rakyat, bukan sahaja akan kehilangan Kelantan tetapi turut meramalkan Selangor juga akan dirampas semula oleh Barisan Nasional.

Secara terperinci, beliau meramalkan di Selangor Pakatan Rakyat akan hanya menang 21 kerusi ((DAP 11, PKR 5, PAS 5) berbanding BN yang akan menang 35 kerusi. Kecuali Pulau Pinang yang dijangka olehnya masih boleh dipertahankan, tetapi kerusi bakal merosot kepada 25 (DAP 17, PKR 7,PAS 1) berbanding 30 kerusi yang dimiliki hari ini.

Pandangan ini, bagai mana pun disanggah oleh PAS melalui Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato' Mohd Amar Nik Abdullah apabila mengungkit, semasa PRU13 isu hudud tidak disebut, namun Pakatan Rakyat tetap gagal menawan Putra Jaya.

Meskipun tekanan terhadap PAS yang diberikan oleh Kit Siang, adalah sukar bagi mereka untuk mereka menarik balik perancangan melaksana hudud di Kelantan, memandangkan isu berkenaan telah diberikan publisiti yang meluas Tindakan menarik balik, bermakna bencana besar bakal menimpa PAS.

Kita tunggu dan lihat samada sejauh mana DAP dan PAS dapat bertahan dengan karenah masing-masing. Apakah selepas ini ada episod penyingkiran atau keluar dari gabungan?

Andai DAP merasakan kurang selesa dengan PAS, molek benar mereka mengusulkan penyingkiran parti Islam berkenaan. Jika ini berlaku, tidak mustahil DAP akan meminda parti bagi memboleh sayap ulamak dalam parti berkenaan.

Siapakah calon untuk mengetuai sayap ulamak DAP? Sudah pasti, kalau tak Mat Sabu, tentunya Khalid Samad!

Sunday, December 14, 2014

PAS Kelantan Buat Hal - Tawar Diri Untuk Disingkir Dari Pakatan Rakyat


Melihat tindak tanduk PAS dan DAP mutakhir ini, yang saling cuit mencuit antara satu sama lain, tidak lain adalah ujian terhadap ketahanan kepimpinan ulamak dalam PAS.

Tiada kesepakatan dalam memilih MB Selangor menggantikan TS Abdul Khalid Ibrahim tidak berakhir, meski pun Azmin Ali telah secara rasmi mengambilalih jawatan berkenaan.

Bermula dari itu, DAP acap kali mencuit PAS yang antara lain membangkitkan ketidak hadiran Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sehinggalah kepada pertembungan PAS dengan DAP dalam pemilihan Timbalan Speaker DUN Selangor, yang akhirnya menyaksikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Persidangan DAP Nasional yang berlangsung hari ini, meneruskan serangan terhadap Hadi malah dengan berterus terang seorang perwakilan yang berucap, telah meminta beliau berundur sebagai Presiden PAS, baca SINI.

Namun begitu, PAS tidak berdiam diri. Melalui MB Kelantan Dato' Ahmad Yakob, PAS mengumumkan akan membentangkan pindaan Enakmen Jenayah Syariah II 1993, yang jelas beliau pindaan tersebut adalah sebahagian dari prosedur kepada pembentangan rang undang-undang persendirian yang bakal dibentang di parlimen bagi mendapatkan kelulusan perlaksanaan hudud di negeri berkenaan. (Baca laporan NST).

Pertembungan PAS - DAP ini kelihatan bahawa masing-masing mengambil pendekatan terlalu berhati-hati. DAP tentunya mengharapkan PAS akan keluar secara sukarela dan jika tindakan itu berlaku, maka kelompok ulamak akan berdepan dengan tekanan dari kelompok pro Pakatan Rakyat yang menguasai Jawatan Kuasa PAS Pusat.

Sebaliknya, jika DAP mengusulkan penyingkiran PAS dari gabungan berkenaan, ia akan memberikan impak negatif kepada DAP dalam meraih sokongan Melayu.

Dalam konteks ini, MB Kelantan bagai cuba 'memancing' DAP melalui hudud, yang secara langsung merupakan penawaran PAS untuk disingkir dari Pakatan Rakyat.

Malahan, kini bagai disengajakan sebaran di media sosial yang kononnya UMNO dan PAS telah sepakat untuk berkerjasama.


Tidak dapat dipastikan pihak mana yang memulakan, tetapi tentunya mempunyai hubung kait dengan kedinginan hubungan PAS - DAP.

Perwakilan DAP Perak Usul Hadi Awang Berundur Untuk Diganti Oleh Gandingan Mat Sabu & Khalid Samad


"Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali dan keputusan itu wajib dihormati. Mana-mana pemimpin yang ingkar, keputusan itu, harus berundur dan tidak layak memimpin parti itu," - Wong Kah Wah, Perwakilan DAP Perak
Di atas adalah saranan dari perwakilan yang berucap di Persidangan Nasional DAP 2014, yang jika diamati adalah adalah usul khusus kepada Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang supaya mengundur diri dari terus memimpin PAS.

Saranan tersebut adalah ekoran dari kemelut dalaman Pakatan Rakyat yang pada pandangan perwakilan DAP Perak Wong Kah Wah adalah berpunca dari segelintir kepimpinan PAS dan bukan dari organisasi berkenaan secara keseluruhannya.

Wong berpendapat bahawa Mohamad Sabu dan Khalid Samad adalah tokoh-tokoh yang menjadi sandaran DAP untuk terus menyaksikan PAS kekal dalam Pakatan Rakyat.