Saturday, May 10, 2008

Bila bercakap tentang akar umbi, tentunya ia tersembunyi di bawah tanah. Apakah dengan mata kasar kita boleh nampak akar? Hakikatnya, yang kita nampak ialah batang yang menjadikan pokok berdiri dan daun-daun yang menjadi penghias kecantikan pokok itu.

Saya adalah sebahagian daripada akar umbi, yang kecil lagi terselindung didalam tanah. Maka berselirat kami para akar-akar untuk membekalkan air dan makanan kepada keseluruhan objek yang bernama pokok. Tanah yang padat menjadikan kami terhimpit tetapi kami amat rapat dan saling tunjang menunjangi untuk menegakkan pokok tersebut.

Bila musim kemarau, makin dalamlah kami menjalar ke perut bumi untuk mencari sumber air. Tanpa menafikan peranan daun, bunga, buah malahan batang tetapi kami yang di dalam tanah tiada siapa pun nampak. Cuma yang mengiktiraf sahaja yang nampak peranan kami. Sebaliknya secara zahir, cuma daun, bunga dan batang yang boleh dipandang.

Secara relatif kepada proses politik, batang ialah tokoh, daun sebagai pengikut yang setiap hari menghurungi tokoh dan bunga umpama agen kepada penghasilan hasrat sang tokoh. Seterusnya akar umbi ialah mereka yang hakikat membekalkan input untuk tokoh terus kekal di persada politiknya.