Saturday, September 20, 2014
Strategi Terbaru Anwar Ibrahim - Terpaksa Korban Azizah Untuk Halang Adun PAS Jadi MB Selangor
Meskipun kenyataan terbaru PKR yang dilaporkan oleh The Malay Mail menyebut parti berkenaan tidak berganjak dengan keputusan asal mahukan DS Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun blog Akar Umbi melihat ia adalah tekanan untuk menghalang Adun PAS dari dilantik sebagai MB Selangor.
Umum telah mengetahui bahawa 2 Adun PAS (Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus Khairi) telah dipanggil mengadap ke istana, disamping Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dalam bentuk yang disifatkan sebagai 'temuduga' bagi jawatan MB negeri berkenaan.
Strategi 'berkeras' oleh PKR kelihatan lebih cenderung untuk memastikan wakil tunggal mereka dalam 'temuduga' berkenaan, Azmin terpilih berbanding 2 pesaing dari PAS.
Tambahan pula, agen-agen Anwar dalam PAS telah menjalankan tugasan gerak saraf dengan menakut-nakutkan ahli dan pemimpin PAS melalui kenyataan-kenyataan mereka dalam Muktamar PAS Pusat yang baru sahaja melabuhkan tirai mereka petang tadi, kononnya hayat penyandangan jawatan adalah tidak lama dan bakal berdepan dengan usul undi tidak percaya.
Ugutan untuk membawa perlantikan ke mahkamah dan disamping mengusulkan undi tidak percaya di DUN hingga membawa kepada pembubaran DUN adalah tidak lebih sebagai menimbulkan keraguan terhadapan pemilihan Adun PAS sebagai MB, walhal laporan The Malay Mail itu menyebut Azmin turut hadir dalam mesyuarat tersebut.
Tidakkah ini menunjukkan bahawa strategi terbaru PKR ialah mengorbankan Azizah dan pada masa mempromosi Azmin tanpa saingan dari 2 Adun PAS berkenaan?
Mahfuz Omar Dedah Presiden PAS Kena Baling Dengan Naib Presiden Dalam Mesyuarat
Hari ini Muktamar PAS Pusat dikejutkan dengan pendedahan bila mana seorang Naib Presiden membaling Presiden PAS dengan kertas, gara-gara perbezaan pandangan dalam mesyuarat.
Tanpa berfikir panjang dalam mendedahkan perkara tersebut, Mahfuz telah memecahkan tembelang PAS bahawa dikalangan pemimpin-pemimpin PAS adalah terdiri dari kalangan mereka yang ganas.
Namun kejadian itu, sebenarnya berlaku semasa jawatan Presiden PAS disandang oleh Ustaz Yusof Rawa.
Dalam perkembangan yang sama, reaksi para perwakilan telah membangkitkan kemarahan AJK PAS Pusat Hanifa Maidin. Hal ini berpunca apabila Hanifa menyatakan kurang keyakinan jika PAS menerima jawatan MB Selangor. Sebaliknya para perwakilan menjerit "Boleh!", lantas dibentak oleh Hanifa, "Apa yang boleh?".
Nampaknya isu MB Selangor masih belum dapat disepakati dalam PAS.
Betapa Kelam Kabutnya Menjelang Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor 23 September
Pengumuman berkenaan Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baru telah dibuat pada Khamis 18 September yang lalu. Pengumuman yang dibuat oleh pihak istana itu, menetapkan tarikh 23 September 2014 dan akan berlangsung pada jam 10 pagi di Istana Alam Shah, Klang.
Bermakna, dalam tempoh 5 hari sudah memadai untuk penyempurnaan bagi unit protokol menyempurnakan persiapan untuk Majlis berkenaan tanpa sebarang kelam kabut.
Disaat-saat pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri menyiapkan suratcara perlantikan dan surat jawatan, serta disamping kesibukan petugas-petugas unit protokol dan petugas-petugas pejabat istana melaksanakan persiapan majlis, tiba-tiba keadaan kelam kabut berlaku kepada PKR dan PAS.
Biro Politik PKR menjadi kelam kabut memanggil mesyuarat tergempar dan membuat ketetapan memohon mengadap Sultan.PKR mohon mengadap bukan untuk bertolak ansur, tetapi untuk menunjukkan ketegasan mahukan Wan Azizah diperkenankan oleh Sultan.
Sementara PAS pula menjadi kelam kabut dalam muktamar yang sedang berlangsung, bila bercanggah sesama sendiri samada untuk menerima atau menolak jawatan, jika salah seorang Adun mereka diperkenan oleh Sultan untuk dilantik sebagai MB.
Sehingga saat ini pun, kita masih tidak mengetahui siapa yang bakal menjadi MB Selangor. Malah dalam satu kenyataan pihak istana, pengumumannya dijangka akan dibuat pada Isnin depan.
Seperkara yang perlu diketahui mengenai Sultan Sharafudin Idris Shah, baginda adalah seorang yang teliti dalam membuat keputusan.
Pernah saya diberitahu oleh petugas unit protokol diawal pemerintahan baginda, berkenaan penganugerahan kebesaran dan pingat sempena hari keputeraan baginda. Petugas berkenaan memberitahu, hinggakan kepada pingat-pingat kecil seperti PJK, baginda membuat tapisan sendiri yang ketat.
Dimaklumkan juga bahawa senarai penerima-penerima pingat telah beberapa kali ditolak oleh Sultan, sebelum senarai muktamat diumumkan.
Bayangkan kalau anugerah sekecil PJK pun baginda titahkan untuk disemak, apatah lagi dalam hal menurunkan kuasa eksekutif kepada MB, tentunya penilitian dan pengiraan yang ketat pasti diambil oleh baginda sebelum membuat keputusan.
Perlu difahami, kuasa eksekutif negeri Selangor adalah terletak dan terlaksana keatas Sultan Selangor dan inilah yang tidak difahami oleh Anwar Ibrahim. Baca SINI, untuk lebih memahami kedudukan Sultan sebagai Ketua Eksekutif.
Friday, September 19, 2014
Maklumat Siapa MB Selangor Dah Bocor Di Muktamar PAS
Apabila kebanyakan perwakilan di Muktamar PAS Pusat 2014 mengusulkan supaya PAS mengambil ketetapan menolak jawatan MB Selangor, maka ia membawa maksud kemungkinan besar salah seorang Adun PAS akan dilantik untuk jawatan tersebut.
Perwakilan Perlis misalnya meminta muktamar agar membuat ketetapan menolak jawatan MB Selangor.
Sebaliknya, perwakilan Negeri Sembilan meskipun bersetuju, mengajukan soalan "Totapi kok lopeh ni Sultan nak yo kek kito, apo nak buek an?". "Sekurang-kurangnya kito telah menjawab dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, seluruh anggota telah bersama dengan Presiden untuk kekal dengan Pakatan Rakyat... Tapi apo yang berlaku adalah kohondak dari Sultan.... Jadi terlopehlah kito," tambahnya dengan sambutan gelak tawa perwakilan.
Perwakilan Dewan Muslimat mengambil pendirian yang neutral, apabila sekadar meminta pendirian kepimpinan terhadap isu berkenaan.
Dalam pada itu, saya memerhatikan sesuatu yang tidak kena dengan pemilihan perwakilan Dewan Permuda yang kelihatan berlawanan dengan mood Muktamar Pemuda tempohari. Jika anda baca SINI, majoriti perwakilan pemuda memihak kepada Presiden dan Majlis Ulamak.
Begitu memeranjat apabila wakil Dewan Pemuda membuat cadangan supaya PAS menolak jawatan MB Selangor. Cadangan tersebut mendapat reaksi protes dari para perwakilan, yang saya yakin datang dari golongan muda dan Ketua Pemuda kawasan yang menjadi perwakilan ke Muktamar PAS Pusat. Beberapa kali ucapannya diganggu hingga memaksa Pengerusi Tetap menasihatkan mereka untuk bertenang.
Malah ketika memberi reaksi terhadap protes tersebut, jurucakap pemuda yang tidak membawa pendirian Dewan Pemuda PAS Pusat itu berkata, "Kalau nak tolak (cadangan), tolaklah....". Tindak tanduk perwakilan seolah-olah beliau menjadi jurucakap Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang konon pengamal 'politik budiman', yang mungkin menyerahkan segala budinya kepada PKR dan DAP.
Mengambil giliran selepas Dewan Pemuda ialah Dewan Ulamak dan wakilnya telah dengan penuh ketegasan menyeru para perwakilan untuk bersama dengan pendirian Presiden DS Abdul Hadi Awang yang bersetuju dengan apa juga pilihan Sultan. Kenyataan itu juga bagai menyokong saranan perwakilan Terengganu seperti video di bawah;
Mengimbas kembali kenyataan awal Mat Sabu di awal Muktamar semalam, beliau menegaskan PAS mesti menolak jawatan MB kerana ia tidak akan mendapat sokongan PKR dan DAP.
Hakikatnya kenyataan dan alasan adalah petanda awal pertembungan pendirian kumpulan ulamak dengan kumpulan Anwarinas. Perkara ini terbawa-bawa ke sidang muktamar, dengan pandang pro dan kontra.
Ini bagai menggambarkan bahawa pilihan Sultan sebagai MB yang akan mengangkat sumpah Selasa depan ialah Adun PAS. Malangnya, PAS sendiri bertelagah sesama sendiri samada hendak mengikut cakap Tok Guru Hadi atau pun Ketum Anwar.
Bakal MB Selangor - Wajahnya Kelihatan Samar, Susuk Tubuhnya Macam..........???
Bagi tempoh 1949 hingga 1959, Menteri Besar-Menteri Besar adalah terdiri dari kalangan pegawai -pegawai kerajaan negeri. Senarai penuh MB untuk tempoh tersebut, boleh anda rujuk SINI.
Hanya selepas pilihan raya negeri yang pertama pada tahun 1959, barulah MB dari kalangan Adun mula dilantik dan ia bermula dengan pemilihan Dato' Abu Bakar Baginda sebagai MB pertama dan ia berterusan hingga TS Abdul Khalid Ibrahim, meskipun telah meletak jawatan tetapi meneruskan perkhidmatan atas titah Sultan, sementara menunggu perlantikan baru.
Ramai beranggapan termasuk Anwar Ibrahim, perlantikan MB Selangor adalah melalui pilihan rakyat, iaitu melalui pilihan raya. Walhal semenjak kewujudan jawatan MB di Selangor, perlantikan adalah dibuat oleh Sultan.
Perkara 50 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 (UUTS 1959) adalah amalan yang berterusan sejak dulu, yang memperuntukkan kepada Sultan. Rujuk kepada petikan dibawah.
Apakah hak Anwar untuk mempertikai malah mencemarkan Institusi Raja di Selangor sedangkan adalah menjadi hak Sultan untuk memperturunkan kuasa eksekutif yang dimiliki baginda?
Dalam pada itu, sudah semestinya Sultan akan mengambil kira kandungan UUTS 1959 dalam melantik MB dan tentunya selari dengan peruntukan di bawah:-
Tidak cukup dengan itu Anwar sanggup pula mengkhianati PAS dengan melarikan 2 Adun PAS semata-mata untuk membuktikan kepada Sultan yang isterinya mempunyai majoriti sokongan sejumlah 30 Adun.
Sedangkan kanun bertulis seperti UUTS 1959 pun dilanggarnya, bayangkan kalaulah Anwar Negeri Sembilan, maka alamat huru hara adat pepatih dikerjakannya.
Kelmarin telah pun diumumkan bahawa majlis angkat sumpah MB Selangor yang baru bakal berlangsung jam 10 pagi, 23 September 2014. Oleh itu, kita tunggulah siapakah yang bakal diperkenankan Sultan.
Thursday, September 18, 2014
Mat Sabu Ditegur Perwakilan Kerana Menjulang Jokowi Mengatasi Hadi Awang
Perwakilan Selangor Sallehin Muhyi yang disindir sebagai 'Orang Kaya Berempat' (kerana Sallehin adalah salah seorang 4 exco PAS dalam kerajaan Khalid Ibrahim), membidas Mat Sabu kerana menjulang Jokowi mengatasi Hadi Awang.
Sallehin berpendapat PAS harus fokus terhadap gerakan akidah dan bukan mengambil pendekatan populis seperti yang dicadangkan oleh para perwakilan yang berucap sebelumnya.
Dalam mempertahankan Hadi, beliau mengingatkan agar menjaga akhlak dan adab dalam menegur pemimpin.
Mungkin merujuk kepada road show PasMa di Selangor, Sallehin menyatakan ketidak selesaan apabila menegur sebilangan pemimpin-pemimpin PAS yang menggunakan platform berkenaan untuk menzahirkan perbezaan pandangan terhadap sesama pemimpin.
Mengulas isu MB Selangor, wakil Selangor itu menegaskan bahawa mereka akan patuh kepada pucuk pimpinan, majlis surah ulamak, disamping menerima apa juga keputusan dari pihak istana.
Diakhir ucapannya, Sallehin sempat berjenaka "Jangan tanya saya siapa MB Selangor," sambil disambut gelak ketawa dari para perwakilan. Mungkinkah ini bermaksud bakal MB adalah dari PAS?
Kebetulan pada masa itu telah pun pecah berita mengatakan majlis angkat sumpah MB Selangor akan diadakan pada Rabu, 23 September depan, melalui kenyataan pihak istana.
Lintas Langsung Muktamar PAS - Petanda-Petanda Serangan Terhadap Hadi Mula Muncul
Perwakilan dari Kedah memulakan serangan halus dalam membangkitkan kelemahan dalam mengurus krisis.
Selain itu, beliau cenderung menekankan pengukuhan sistem 2 parti, yang secara berlangsung mahukan Hadi hubungan akrab dengan Pakatan Rakyat, walau pun tindak tanduk Hadi cuba menunjukkan ketegasan pendirian kepada DAP dan PKR.
Dalam pada itu, perwakilan Perak membidas pemuda-pemuda pro Hadi yang meninggalkan dewan ketika Mat Sabu mula ucapan di Muktamar Pemuda.
Malah perwakilan Perak menyarankan kesemua mereka dirujuk kepada Lembaga Disiplin, walhal kumpulan tersebut yang kuat mempertahankan pendirian Hadi.
Lintas Langsung Muktamar PAS - Perwakilan Johor Cadang Forum, Dialog, Diskusi, Perbahasan Sesama Pemimpin Lebih Kerap Dianjurkan
Perwakilan Johor telah mencadangkan supaya forum, dialog, diskusi dan perbahasan sesama pemimpin lebih kerap diadakan.
Cadangan itu bertitik tolak dari perselisihan pendapat yang berlaku kebelakangan ini.
Kalau begitu cadangannya, alamat sibuklah kepimpinan pertengkaran antara sesama pemimpin, tanpa memikirkan memajukan agama, bangsa dan negara.
Nadanya seperti nada yang ditulis oleh Khalid Samad di blognya.
Bila pula masa mereka untuk memikirkan masalah kita sebagai rakyat?
Lintas Langsung Muktamar PAS - Perwakilan Terkejut Bila Bendahari Agung Dedah Bangunan Ibu Pejabat Bukan Milik Parti
Penyata Kewangan PAS baru sahaja dibentangkan sebentar tadi oleh Bendahari Agung PAS, Asmuni Awi.
Seorang perwakilan telah bertanya mengenai bangunan Ibu Pejabat yang tidak dimasukkan sebagai aset tetap parti.
Bendahari memberi alasan jika berlaku perpecahan seperti yang berlaku antara Team A dengan Team B di dalam UMNO, maka akan berlaku kesukaran dalam mempertahankan aset berkenaan.
Buat masa ini bangunan tersebut didaftarkan dibawah sebuah syarikat sendirian berhad.
Jika itu ditakdirkan sekarang, misalnya pertembungan PAS dengan PasMa, maka bukankah mudah bangunan ibu pejabat itu mudah dilarikan oleh syarikat berkenaan?
Wednesday, September 17, 2014
Langkah Bergaya Hadi Tanpa Gangguan Anwar
Saya mengikuti Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat 2014 dengan penuh minat, kerana berpendapat inilah benteng utama kepada Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang yang berdepan dengan serangan demi serangan dari sesama rakan dalam Pakatan Rakyat dan kelompok anwarinas dalam PAS.
Beberapa minggu sebelum Muktamar PAS 2014 yang bakal berlangsung esok, beberapa isu dan konsep bagai sengaja dibahaskan secara terbuka, yang saya yakin ia adalah bentuk serangan cara halus untuk mencemarkan nama baik Hadi.
Berpunca dari keengganan Hadi dan Majlis Syura Ulamak untuk memperakukan DS Wan Azizah sebagai MB Selangor menggantikan TS Khalid Ibrahim, maka beberapa polemik sengaja diperbesarkan dan dipersoalkan, antaranya;
- Baiah hanya untuk Allah dan Rasul tanpa melibatkan ketaatan kepada Presiden
- Mempersoal kuasa dan peranan Majlis Syura Ulamak
- Serangan terhadap golongan Ustaz Muda
- Penubuhan PasMa
Melalui gembar-gembur terhadap perkara-perkara di atas, Hadi dilihat akan menerima nasib seperti Allahyarham TS Asri Haji Muda, Presiden PAS yang tersingkir dari jawatannya melalui Muktamar PAS 1982, yang sejarahnya tercatat di SINI.
Namun melalui Muktamar Dewan Pemuda PAS yang melabuhkan tirainya petang tadi, saya yakin bahawa Hadi menarik nafas yang lega.
Sidang pemuda hari ini ternyata menjadi medan menjulang semula imej Hadi dalam PAS, apabila perwakilan-perwakilan pemuda mengambil pendirian menyokong kepimpinan Hadi, menjulang dan memperakui peranan Majlis Syura Ulamak, disamping menggunakan nas dan hadis dalam mempertahankan baiah tidak terhad terhadap Allah dan Rasul tetapi termasuk kepada ketua (Presiden) selagi tidak menyalahi syarak.
Malahan pemuda juga kelihatan bersungguh-sungguh mempertahankan ulamak, meskipun melalui jenaka yang begitu sinis, seperti yang ditunjukkan di SINI. Para perwakilan juga dengan berani dan berterus terang menyebut nama Anwar Ibrahim, sebagai orang tidak dikendaki dalam PAS.
Perlu diingat imej Hadi mula tercalar apabila mendepani isu Selangor. Menariknya, muktamar pemuda kali ini memperlihatkan penguasaan perwakilan-perwakilan pemuda dari Selangor. Sekadar menyebut beberapa kawasan seperti Klang, Sabak Bernam, Puchong, Sepang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Sungai Besar memainkan peranan aktif dalam muktamar tersebut.
Kesemua mereka bagai mengambil tanggungjawab memulihkan imej Hadi dan ini sudah cukup menjadi isyarat kepada DAP dan PKR Selangor, jangan sesekali memandangkan kepada gerakan pemuda PAS Selangor.
Kita tunggu episod berikutnya, samada kelompok anwarinas berani mencipta arus mereka untuk bertembung dengan kelompok ustaz muda yang mereka perlekehkan dalam medan sebenar, Muktamar PAS Pusat yang akan membuka tirainya esok.
Apa pun, Hadi kini dalam keadaan yang lebih yakin untuk melangkah ke dewan muktamar dengan bergaya.
Janji Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat Dalam Muktamar Pemuda - Bagi 2 Ketul Ayam KFC Pada Setiap Perwakilan
Dalam pembuka kata ucapan penggulungannya, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat telah membuat 'janji bodoh' iaitu akan memberikan sekotak ayam goreng KFC kepada setiap perwakilan.
Namun janjinya tertakluk kepada syarat, jika PAS dapat menawan Johor.
Bagai orang kemaruk duit melihat berkepuk-kepuk duit J-Corp (pemegang saham utama KFC), itulah hasrat pertamanya untuk mencekau duit konglomerat milik Kerajaan Negeri Selangor untuk diagihkan kepada ahli-ahli PAS.
Dengan niatnya yang lari dari 'kerana Allah', maka sukarlah jua Allah akan memakbulkan hasratnya.
Satu lagi perangai buruk Suhaizan di muktamar tersebut, ialah mengaibkan bekas Pesuruhjaya PAS Johor Dr Daeng Sanusi kepada para perwakilan pemuda PAS dengan mengatakan bekas tokoh PAS Johor itu gemar bermain 'terup keling'.
Seperti juga ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda, kecuali untuk beberapa kali, penggulungan oleh Suhaizan juga sepi dari laungan takbir dari mereka yang berada dalam dewan muktamar.
Lawak Berunsur Lucah Jadi Bahan Perwakilan Muktamar Pemuda PAS Menyindir Mat Sabu
Menjelang berlangsungnya Muktamar Pemuda PAS Pusat, AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Aziz menyanggah saranan Mat Sabu yang mencadangkan PAS 'membuka baju', iaitu merujuk kepada keperluan anjakan PAS dalam menyesuaikan diri dalam proses perubahan lanskap politik.
Nik Abduh secara berkias menjawab, "Ada desakan supaya PAS maju ke depan. Dan kenyataan beliau (Mat Sabu) pada saya seolah-olah menyuruh PAS pecat (buka) baju sedangkan kita ini kalau nak suruh nampak menarik tak perlu pecat baju, kita kena basuh baju."
Saya sempat mendengar ucapan seorang perwakilan dari Kelantan, yang saya yakin punya kaitan dengan isu di atas melalui Hijau FM.
Ceritanya lebih kurang seperti berikut:-
Seorang pemuda lepasan pengajian pondok, tidak pernah memakai seluar melainkan hanya berkain pelikat. Pemuda ini mempunyai hubungi cinta dengan seorang gadis, anak kepada seorang profesional.
Pasangan kekasih tersebut ingin pergi lebih jauh iaitu menjadi pasangan suami isteri.
Si gadis berkenaan mencadangkan si pemuda supaya berkenalan dengan bapanya, tetapi mensyaratkan agar si pemuda memakai seluar, bagi menyesuaikan dengan bakal mertua yang seorang profesional.
Maka untuk memenuhi cadangan itu, si pemuda telah membeli kain yang agak panjang ukurannya bagi menempah sepasang seluar dengan seorang tukang jahit dan bermakna ada lagi lebihan bahagian kain selepas seluar siap dijahit.
Tiba pada hari yang dijanjikan, maka si pemuda mengenakan seluar berkenaan tetapi turut memakai kain dibahagia luar seluar berkenaan. Malangnya semasa dalam perjalanan, si pemuda telah mengalami sakit perut yang teramat sangat. Lalu untuk melepaskan hajatnya, singgahlah pemuda itu ke tandas di sebuah masjid.
Selesai membuang air besar, pemuda berkenaan terlupa mengenakan semula seluar yang dipakai sebelum ini, sebaliknya beliau hanya memakai kain pelikat sperti kelaziman dalam kehidupan hariannya.
Sesampai di rumah kekasihnya, si gadis telah bertanya mengapa tidak memakai seluar seperti yang disarankan.
Si pemuda yang tanpa sedar bahawa seluarnya tertinggal di tandas masjid, terus menjawab "Ada dalam kain ni".
Si pemuda secara spontan terus menyingkap kainnya dengan keyakinan seluar berkenaan telah dipakai olehnya.
"Wow! Panjangnya," jerit si gadis dengan rasa terperanjat.
"Ini pun masih ada 1.5 meter lagi tinggal kat rumah," jawab pemuda itu dengan selamba.Cerita dari perwakilan berkenaan telah menggamat dewan muktamar.
Namun begitu, disebalik humor, perwakilan dari Kelantan itu telah menghantar signal yang amat bermakna kepada para pemimpin mereka dalam AJK PAS Pusat.
Bala Tentera Hadi Tawan Pentas Muktamar Pemuda PAS - Mereka Bertindak Malukan Anwar Ibrahim
Tiada seorang pun perwakilan di Muktamar Pemuda PAS Pusat yang berani bangun, bila perwakilan Selangor, Hanapi Zulkapli membuat cabaran kepada mereka, "Siapa yang boleh setuju Khalid (Ibrahim) hilang integriti dalam pentadbirannya. Bangun!".
Menurut The Malaysian Insider, tiada perwakilan yang bangun menyangkal kenyataannya sebaliknya sambil menepuk meja, semua perwakilan menyatakan sokongan menteri besar Selangor itu berintegriti dalam pentadbirannya.
Malah Anwar Ibrahim menerima malu yang amat besar bila 2 orang Adun Selangor, Saari Sungib dan Hasnul Baharudin yang di'beli'nya telah dilabelkan sebagai pengkhianat dalam muktamar berkenaan.
Melihat keadaan ini, adalah amat sukar untuk 'anwarinas' untuk terus bertapak dalam PAS. Bak kata Saidina Ali,“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini,” dan sesungguhnya ini adalah petanda 'anwarinas' ketandusan kader dalam barisan pelapis sayap berkenaan.
Begitu juga dengan kegagalan menunjukkan pendirian untuk cenderung bersama ulamak, Ketua Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat telah dimalukan bila dikaitkan dengan 'pengundi hantu' dalam mendapatkan jawatan yang disandangnya.
Baca tentang kekecohan dalam muktamar berkenaan pada sesi malam tadi di SINI.
Kekecohan Di Muktamar Pemuda PAS - Kemenangan Suhaizan Kaiat Sebagai Ketua Pemuda Disebabkan Pengundi Hantu
Saya dari awal menelah yang Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat berdepan masalah dengan perwakilan di Muktamar Pemuda PAS (melalui posting sebelum ini), apabila ucapannya tidak mendapat sambutan laungan takbir 'Allahu Akbar' terhadap ucapan dasarnya, seperti kelaziman dalam persidangan parti berkenaan yang terdahulu.
Malah Harakah Daily dalam mengulas suasana yang jarang berlaku dalam sejarah Pemuda PAS, menyebut;
"Sepintas lalu ucapan dasar ketua pemuda pada muktamar kali ini bagaikan 'bercakap depan mayat' yang tiada lagi gerak gentanya. Sekian lama muktamar dihiasi dengan laungan takbir dan laungan sorak apabila beberapa point penting ditekankan ketua-ketua pemuda, namun kali ini bagaikan sepi tak bersahut."Sebaliknya, selepas menyambung sidang di sebelah malam keadaan telah berubah, apabila Pengerusi Tetap muktamar terpaksa berdepan dengan perwakilan yang dianggap sebagai 'mayat' di sebelah siang, tiba-tiba menjadi sesak nafas dan dikejarkan ke hospital, gara-gara berdepan dengan 'mayat' yang tiba-tiba bangun menghangatkan sidang sebelah malam.
Menurut laporan The Star, perwakilan dari Sabak Bernam Mohd Labib Abdul Jalil telah mencabar Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan 2013, dengan dakwaan 5 kawasan termasuk 4 adalah dari Johor iaitu Sembrong, Labis, Pengerang dan Pulai telah tidak mengadakan meyuarat tahunan sebelum pemilihan sayap parti berkenaan.
Perwakilan tersebut kemudiannya mengajukan soalan samada pemilihan saf kepimpinan sayap berkenaan yang memilih Suhaizan sebagai ketua itu boleh dianggap sah?
Dalam pada itu rakannya yang juga dari Selangor, Mohd Rosharizan Mohd Roslan (perwakilan Puchong) mendakwa mempunyai bukti terhadap perkara yang dibangkitkan.
Keadaan ini memperlihatkan Suhaizan kini berdepan dengan krisis kepercayaan, apatah lagi serangan yang dibuat adalah terhadap sasaran 4 kawasan dari Johor, negeri asal Ketua Pemuda PAS itu sendiri. Malah sebelum dikejarkan ke hospital, Pengerusi Tetap sempat memberi tahu para perwakilan bahawa beliau akan memanjangkan isu berkenaan untuk tindakan kepimpinan tertinggi PAS.
Amat sukar untuk dinafikan bahawa keadaan ini berlaku, rentetan tindak tanduk Suhaizan yang tidak memihak kepada Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang, dalam mendepani kemelut perlantikan MB Selangor. Lantas muktamar ini menjadi platform untuk melucut jawatan yang disandang oleh Suhaizan.
Sesungguhnya, isu ini dengan sendirinya membawa mesej yang kemenangan Suhaizan sebagai Ketua Pemuda PAS adalah atas sokongan pengundi hantu dari Sembrong, Labis, Pengerang dan Pulai.
Tuesday, September 16, 2014
Kejayaan Awal Mat Taib Dalam PAS - Berjaya Sunyikan Muktamar Pemuda PAS Hari Ini Tanpa Laungan 'Allahu Akbar'
Para perwakilan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat yang berlangsung hari ini bagai menyahut saranan bekas MB Selangor TS Muhamad Mohd Taib (yang kini ahli PAS) supaya PAS tidak hanya bergantung kepada sentimen 'Allahu Akbar', apabila Harakah Daily melaporkan muktamar tersebut melalui hari pertamanya tanpa laungan takbir.
Portal berkenaan menyebut,
"Sepintas lalu ucapan dasar ketua pemuda pada muktamar kali ini bagaikan 'bercakap depan mayat' yang tiada lagi gerak gentanya. Sekian lama muktamar dihiasi dengan laungan takbir dan laungan sorak apabila beberapa point penting ditekankan ketua-ketua pemuda, namun kali ini bagaikan sepi tak bersahut."Sebenarnya, bukan saranan Mat Taib yang menjadi punca, tetapi kesilapan itu berpunca dari Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, apabila tidak mempertahankan Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang melalui kesempatan menyampaikan ucapan dasarnya di muktamar berkenaan..
Suhaizan gagal membaca arus dikalangan pemuda yang begitu menyanjung ulamak, malah tidak mempertahankan kelompok 'Ustaz Muda' yang menjadi sasaran serangan AJK PAS Pusat Khalid Samad, menjelang hari muktamar.
Tentunya dengan respons hambar para perwakilan, sudah memadai bagi Suhaizan untuk memahami isyarat penolakan pemuda terhadap dirinya.
Menurut satu teks mesej yang dihantar oleh pemerhati di muktamar berkenaan, sebaik Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memulakan ucapan (jam 4:42 petang), majoriti perwakilan Pahang yang berjaket khas "Kami Bersama Presiden & Majlis Syura Ulamak telah bangun meninggalkan dewan muktamar.
Mesej itu menambah, tindakan itu disusuli juga oleh sebahagian perwakilan Terengganu, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu demi menutup malunya, Mat Sabu dilaporkan oleh TMI memberi alasan para perwakilan beredar untuk menunaikan solat asar (waktu Asar di Kota Tinggi ialah 4.03 petang).
Apabila Timbalan Presiden Sendiri Sudah Hilang Keyakinan PAS Sebagai Harakah Islam, Maka Tunggulah Saat Kemusnahannya
Saya suka menyimpulkan bahawa PAS menbuat langkah yang silap apabila memilih untuk menjadi opportunistic berbanding kekal istiqamah dalam pendirian dan perjuangan politiknya.
PAS menyerlahkan sikap opportunisticnya setiap kali berlaku krisis didalam UMNO, dengan memihak kepada fraksi penentang kepada kepimpinan UMNO.
Contohnya PAS pada memihak kepada serpihan UMNO, parti Semangat 46 pada 1988 apabila berlaku krisis Dr Mahathir - Ku Li dan memihak kepada Anwar Ibrahim ketika era Reformasi 1998, walhal dalam kedua-dua keadaan krisis-krisis berkenaan tidak sama sekali mempunyai kaitan dengan mereka.
Walau pun untuk 2 situasi berkenaan, jelas menguntungkan PAS iaitu apabila berjaya menawan Kelantan pada PRU1990, disamping menawan Terengganu pada PRU1999, saya melihat bahawa ialah adalah keuntungan bersifat jangka pendek terhadap PAS.
Mungkin berpandukan kepada 2 kejayaan ini, PAS meneruskan langkah berikutnya dengan mengambil pendirian membuat kerjasama dengan DAP dan PKR pada PRU 2008 dan PRU2013, melalui Pakatan Rakyat.
Kita sedia maklum bahawa PAS lahir dari rusuk UMNO itu sendiri, apabila golongan agama dalam UMNO bertindak keluar dari parti berkenaan, lantas menubuhkan parti baru yang didakwa lebih Islamik dengan nama Parti Islam Se Malaya (PAS) pada tahun 1955.
Suatu kebetulan yang amat menarik apabila angka 9 membawa signifikan kepada PAS, iaitu penubuhannya ialah 9 tahun selepas golongan ulamak bersama UMNO (UMNO ditubuhkan pada 1946), berjaya pula menawan Kelantan pada 1990 iaitu setelah 9 tahun Dr Mahathir menjadi PM, kemudian menawan Terengganu pada 1999 yang kebetulan setelah 9 tahun berkerjasama dengan fraksi bekas UMNO yang keluar parti dan akhirnya selepas 9 tahun berikutnya iaitu pada 2008, berjaya pula menafikan majoriti UMNO/BN di parlimen selepas PRU tahun berkenaan, selepas bekerjasama dengan DAP dan PKR.
Berbalik kepada kenyataan saya bahawa keuntungan PAS terhadap sikap oppotunisticnya adalah bersifat jangka pendek, sebenarnya adalah disandarkan consequences yang dihadapi oleh PAS diatas kegagalan untuk beristiqamah dalam perjuangannya.
Kerjasama dengan fraksi-fraksi yang semula jadinya membenci UMNO seperti Semangat 46, PKR dan DAP, sedikit demi sedikit mengubah pendirian dan hala tuju PAS.
Malahan, Timbalan Presiden PAS Mat Sabu sendiri bagai sudah hilang keyakinan dengan harakah Islam yang dibawa oleh PAS, bila menyebut (berdasarkan laporan Malaysikini) bahawa bergantung kepada retorik Islam semata-mata tidak akan membawa PAS kemana-mana.
Kenyataan Mat Sabu ini, tentunya berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya selepas lebih 30 tahun bersama PAS. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Mat Sabu mahu PAS mengadaptasi suasana semasa dalam meraih sokongan rakyat dan kini PAS wajar mengubah haluan dari sebuah parti Islam yang bercita-cita menegakkan syiar dan daulah Islam, kepada parti yang sekadar hanyut mengikut selera semasa.
Jika itulah pendirian Mat Sabu, maka sia-sialah perjuangannya yang lama bersama PAS kerana tidak menampakkan sebarang signifikan dalam meng'Islam'kan rakyat demi kelangsungan perjuangan Islam di Malaysia.
Kita tunggu lagi 9 tahun selepas tahaluf siyasi PAS dengan DAP dan PKR ( pada 2008), apakah bakal menyaksikan peminat hard rock seperti Jokowi akan menjadi Presiden PAS pada 2017?
Bukan kita yang minta (peminat hard rock menjadi Presiden PAS), tetapi Mat Sabu sendiri meminta jamaah PAS untuk bersedia kearah itu!
Ketika itu barulah ahli dan penyokong PAS menyedari, selama persahabatan mereka dengan DAP dan PKR, bukan pemimpin PAS yang berdakwah tetapi pemimpin PAS yang telah didakyah.
Monday, September 15, 2014
Kelebihan Adun PAS Dr Rani Osman Untuk Disokong Jadi MB Selangor Oleh DAP, Sebab Dia Boleh Hadir Majlis 'Yam Seng'
Perhatikan gambar lelaki bersongkok dalam gambar atas yang tidak kekok untuk turut serta dalam majlis 'yam seng' DAP dengan tin beer terconggok di atas meja.
Lelaki bersongkok berkenaan ialah Adun PAS Meru, Dr Rani Osman.
Menurut Subky Latif dalam artikel di Harakah Daily, mendedahkan butiran berikut;
"Lama sebelum wujudnya Langkah Kajang, saya sudah mendengar PKR tidak senang dengan Khalid Ibrahim. Saya dapatkan pandangan akar umbi DAP kemungkin giliran PAS pula sebagai Menteri Besar. Maklum balasnya, ia boleh terima jika ganti itu Dr. Rani, ADUN PAS Meru dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor."Ini bermakna DAP memerlukan MB Selangor dari PAS yang boleh duduk-duduk dengan mereka yang sedang 'yam seng' seperti yang boleh dilakukan oleh Rani!
"Melanggar baiah (dengan Hadi Awang) boleh diselesaikan dengan menyembelih seekor kambing," - Setia Usaha PasMa
Didalam PAS sedang berlaku rasa riak dan takabur dikalangan ahlinya, khususnya ahli-ahli yang bergiat dalam PasMa.
Dengan sifat riak dan takabur itu, mendorong mereka mengambil ringan dalam bab baiah.
AJK PAS Pusat Nasrudin Hassan mendedahkan butiran Perjumpaan PasMa di Kota Baru, pada 31 Ogos lalu menyebut Setia Usaha PasMa Mohd Taib sebagai berkata,
"Baiah yang dibuat oleh pimpinan PAS Pusat boleh dilanggar kerana ia dianggap batil dan melanggar baiah boleh diselesaikan dengan menyembelih seekor kambing (sebagai membayar kifarah)"Bila memerhatikan perkembangan demi perkembangan yang berlaku dalam PAS hari ini, bagai telah berlaku sesuatu yang tidak kena dalam parti berkenaan.
Apakah suasana ini adalah musibah yang berkaitan dengan yang mereka doakan bersama-sama dalam video di bawah?
Hakikat yang perlu diakui oleh PAS adalah doa mereka tidak diterima oleh Allah kerana niat ahli-ahlinya bukan didasarkan kepada Allah, tetapi semata-mata untuk melihat kejatuhan UMNO/BN yang dipimpin oleh Melayu/Islam.
Dalam masa yang sama, PAS yang bertahaluf siyasi dengan kafir DAP dan PKR, telah gagal meletakkan Islam dalam keadaan superior, sebaliknya diletakkan setaraf dengan pelbagai agama dan fahaman ciptaan manusia.
Sunday, September 14, 2014
Khalid Samad Pertikai Hadi Kerana Guna Hadis Untuk Perlekehkan Wan Azizah
AJK PAS Pusat merangkap MP Shah Alam Khalid Samad mempertikaikan penggunaan hadis oleh Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang untuk menolak DS Wan Azizah Ismail sebagai MB Selangor melalui rencananya yang tersiar di portal The Malaysian Insider.
Khalid awalnya, menunjukkan beliau menerima hadis yang disandarkan oleh Hadi yang antara lain disebut oleh Hadi sebagai,
“Barang siapa yang mewakilkan urusan orang Islam dia melantik seseorang memegang jawatan bukan kerana kelayakan tetapi kerana kecenderungan dia, kerana sebab-sebab puak dia, bukan kerana kebolehan dia, Tuhan tak terima tebusan duit, tebusan apa, sehingga diseret ke Neraka Jahannam”.Namun begitu, Khalid bagai mengajar Hadi dan Majlis Syura Ulamak dengan mempericincikan maksud 'kelayakan', disamping menghujah kelayakan utama Azizah ialah, beliau dapat menyatukan Pakatan Rakyat dan PKR.
Jika itulah alasan beliau (demi penyatuan Pakatan Rakyat dan PKR), apakah itu tidak bermakna kecenderungan atas sebab puak dan bukan kerana kebolehan, yang akhirnya menjerumuskan seluruh ahli PAS ke neraka?
Keadaan ini menampakkan betapa sikap 'ujub' dan 'riak'nya bukan sahaja terhadap orang-orang UMNO yang disifatkan sebagai golongan yang nipis iman bak kulit bawang, tetapi telah semakin menebal hingga sanggup pula memperlekehkan ulamak-ulamak dalam PAS.
Kalau dulu Khalid seronok dengan penggunaan nas dan hadis dalam menghentam pemimpin-pemimpin dan dasar-dasar UMNO selama lebih setengah abad, nampaknya beliau tidak pula merasa seronok malah tidak selesa pula, bila perkara yang sama digunakan kepada Azizah!
Akhirnya Kumpulan Erdogan Dalam PAS Akui Tidak Punya Keupayaan Guling Hadi
“Walaupun kumpulan ulama diketuai Hadi cuba menyingkirkan kami, kami akan tunduk pada mereka – untuk masa ini – untuk kepentingan parti,” dedah seorang pemimpin PAS daripada kumpulan Erdogan, yang tidak mahu namanya disebut. - MalaysiakiniPortal Malaysiakini telah melaporkan kenyataan di atas, dengan tajuk laporan 'Bukan masanya untuk singkirkan Hadi'.
Melihat kepada kenyataan diatas, suatu kelemahan yang harus diakui oleh kumpulan Erdogan dalam PAS ialah gerak kerja mereka yang telah berbelas dan mungkin berpuluh tahun dalam PAS, hanya terarah kepada melahir 'jeneral-jeneral tanpa bala tentera'.
Blog Akar Umbi pernah menyebut (baca SINI), revolusi adalah gerakan massa yang perlu penyertaan bala tentera (pengikut) yang ramai, dalam mencipta ombak untuk membadai kumpulan ulamak dalam PAS.
Meskipun penguasaan yang amat ketara kumpulan Erdogan dalam Jawatatan Kuasa PAS Pusat, kelemahan mereka ialah tidak bersedia dengan sokongan kelompok massa di peringkat akar umbi PAS. Apatah lagi, back up dari sayap pemuda dan wanita tidak begitu kuat terhadap mereka.
Veteran PAS dan bekas wartawan politik, Subky Latif mengulas kumpulan erdogan PAS menyebut,
"Belum ada daripada kalangan pimpinan PAS yang boleh menyamai Erdogan bagi pencabar pimpinan yang ada. Jika ada yang jadi macam Erdogan, Erdogan itu hanya ada seorang saja di dunia iaitu di Turki."Seperkara lagi yang membantutkan perancangan mereka untuk menggulingkan Hadi ialah kesan dari gerak kerja penggulingan itu, bila mereka bakal dalam keadaan terpaksa, untuk berketuakan seorang badut (Mat Sabu) sebagai pemimpin mereka.
Tentunya dalam mengejar matlamat itu (menggulingkan kelompok ulamak), kerja mereka menjadi double kerana Mat Sabu yang sekadar memiliki akademik dan pemikiran yang rendah, juga perlu disingkirkan.
Oleh itu, tindakan terbaik buat mereka ialah memendamkan hasrat itu buat sementara waktu.
Subscribe to:
Posts (Atom)