Sunday, May 11, 2008

INTEGRITI

Merujuk kepada kamus Oxford integrity bermaksud "the quality of being honest and having strong moral principles". Pada hari ini, masyarakat secara umumnya bila bercakap tentang integriti, selain dari maksud yang diungkai oleh kamus tersebut, ialah lebih menjurus kepada masyarakat bebas rasuah.
Sememangnya, adalah menjadi keperluan bagi kita untuk bersifat ikhlas, tulus dan jujur dalam kehidupan yang selaras dengan Islam sebagai pembawa akhlak yang baik. Tanpa integriti maka akan menjurus diri kita kearah sifat menzalimi dan mendorong kepada kemungkaran. Berikut adalah beberapa kes yang berkaitan dengan integriti untuk direnungi:-
Kes 1
Saya pernah berbincang dengan seorang rakan berhubung dengan satu urusan. Kemudian terpacullah perkataan dari beliau yang antara lain menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan bahawa negara kita rasuah dalam keadaan yang begitu berleluasa. Cuma yang menutup keadaan tersebut ialah kehidupan majoriti daripada kita adalah selesa, justeru menutup kepincangan yang ada. Sebaliknya, jika dibandingkan dengan suasana kehidupan rakyat negara tetangga kita yang begitu susah, maka amalan tersebut adalah suatu perbuatan hina.
Kes 2
Suatu hari saya berbual dengan seorang kakitangan sebuah organisasi yang kebetulan saya menjadi vendor kepada organisasi tersebut. Beliau masih muda (awal 20an) dan mempunyai pengaruh dalam membuat keputusan di organisasi ia berkerja. Tanpa silu beliau menyatakan, bahawa beliau mempunyai beberapa projek di tangan dan beliau boleh memberi kerja tersebut jika ada pemanis. Malang sekali, insan yang begitu muda pun boleh berkata demikian!
Kes 3
Seorang kenalan yang berjawatan kanan di sebuah organisasi telah difitnah oleh kakitangan bawahannya. Beliau telah dikatakan sebagai meminta komisyen terhadap urusniaga yang dibuat kakitangan jualannya. Aduan telah dibuat ke pihak pengurusan tertinggi dan akibatnya beliau telah diambil tindakan 'gantung kerja' sehingga siasatan dibuat keatasnya. Perkara pokok yang dinyatakan disini ialah bukan soal fitnah atau ingin mempertahankan kenalan saya tetapi sikap ambil berat organisasi tersebut terhadap soal integriti.
Kes 4
Selang seminggu dari peristiwa di atas, saya yang menjadi vendor sebuah organisasi multi nasional telah mendapat borang perisytiharan yang di hantar oleh pengurusan organisasi. Saya telah diminta untuk mengisytiharkan bahawa tidak mempunyai hubungan/kaitan dengan mana-mana kakitangan atau bekas kakitangan organisasi. Rupanya mereka begitu prihatin terhadap integriti.
Kesimpulannya, rasuah dan kronisme seolah-olah telah diterima menjadi suatu budaya dalam masyarakat kita. Hakikatnya, kehidupan kita di dunia adalah untuk membawa akhlak yang baik. Seharusnya untuk menjadi insan dan membentuk masyarakat yang bertamaddun, ketinggian ilmu dan nilai integriti yang sempurna adalah penyumbang kearah itu. Mungkin juga keputusan PRU12, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor integriti.
Dengan mengambil sikap positif, dalam pentadbiran kerajaan pasca PRU12, tanpa mengira BN mahupun PR mereka yang berkuasa akan berusaha kearah pemulihan integriti. Namunbegitu, saya juga ingin menzahirkan rasa terkejut saya, apabila seorang teman apabila diminta standby kerana sahabatnya akan tolong untuk dapatkan projek di sebuah negeri yang telah ditawan oleh PR. Kini saya sedang menunggu episod seterusnya..............