Tuesday, December 22, 2015

Pertembungan Lim Guan Eng Vs Azmin Ali, Siapa Pemenangnya? - Bhgn 2


Dilihat dari mata kasar, adalah sukar untuk menafikan kelebihan tai chi KM Lim Guan Eng berbanding jurus silat DS Azmin Ali, bersandarkan analisa yang di tulis dalam bhgn 1 sebelum ini.

Berdasarkan angka, sudah memadai untuk Guan Eng mengatasi Azmin. Di Pulau Pinang, Guan Eng pada bila-bila masa boleh mendapatkan majoriti mudah melalui pujukannya terhadap Adun PAS Datuk Mohd Saleh Man dan Timbalan KM1 Datuk Mohd Rahid Hasnon.

Malah Guan Eng boleh menggugat kedudukan Azmin sebagai MB Selangor, andai kesemua 15 Adun DAP menarik diri dari kerajaan Selangor.

Namun begitu, Azmin tidaklah semudah itu menyerah kalah dan dalam beberapa siri ucapannya telah mula memuji-muji dasar dan polisi kerajaan BN khususnya kepada pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir.

Contohnya ketika berucap di Persidangan Usahawan Malaysia - China pada November lepas, Azmin menegaskan betapa keberanian Tun Razak mengadakan hubungan diplomatik dengan China (pada 1974), disaat dan ketika kesemua negara ASEAN kecuali Malaysia tidak sama sekali mengambil inisiatif yang serupa.

Dalam majlis berkenaan Azmin turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai 'Father of Nation Quantum Leap'  (Bapa Lonjakan Negara) dan bersetuju dengan 'Dasar Pandang Ke Timur', malah MB Selangor itu turut mencadangkan China turut dimasukkan, selain Jepun dan Korea.

Perkara yang sama diulangi oleh Azmin, apabila sekali lagi memuji Tun Razak ketika merasmikan Kongres Tahunan Wanita dan Pemuda PKR 2015, dengan menyifatkan PM ke2 Malaysia itu sebagai bijaksana apabila memperkenalkan Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Kebudayaan Nasional selepas kancah konflik antara kaum selepas 'tragedi 13 Mei 1969'.

Tindakan Azmin dalam mengiktiraf  Tun Razak sebagai pemimpin besar negara, adalah tidak lain untuk menyakitkan hati Guan Eng, apatah lagi Allahyarham ialah bapa kepada PM DS Mohd Najib Razak.

Pada masa yang sama, tindakan itu dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan 12 Adun BN, setidah-tidaknya bagi mengelakkan pembubaran DUN Selangor, disamping memastikan kedudukannya sebagai MB tidak terlucut melalui usul tidak percaya.

Diandaikan Guan Eng 'buat gila' dengan mengusulkan undi tidak percaya kepada Azmin, sekurang-kurangnya Azmin akan tetap kekal dengan sokongan 26 Adun (PKR-13 dan PAS-13), berbanding 17 menyokong (DAP-15 dan PAN-2), manakala 12 Adun BN berpendirian berkecuali.

Sementara bagi Adun Bebas TS Abdul Khalid Ibrahim, samada memilih untuk berkecuali atau memihak kepada usul DAP ia masih belum cukup untuk melucutkan Azmin.

Dalam hal ini, adalah terlalu sukar bagi Guan Eng untuk mendesak Azmin melaksanakan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.