Tuesday, April 21, 2009

Jangan Zalimi Sekolah Agama Rakyat

Saya berasa sukar untuk bersetuju mahupun menerima kenyataan bahawa Sekolah Agama Rakyat (SAR) menerima tekanan yang hebat dari Kerajaan BN atau dalam kata yang lebih kasar menutup atau menghentikan operasi Sekolah Agama Rakyat. Sesungguh saya agak terkeliru dengan kenyataan ini. Meski pun ia telah lama berlalu, tapi saya masih lagi terbaca dakwaan ini di alam siber.

Hakikatnya, saya telah terlibat secara lansung dalam Jawatan Kuasa Pengurusan Sekolah Agama Rakyat, semenjak 1998 di tempat tinggal saya. Sepanjang pengetahuan saya, Sekolah Agama Rakyat di Selangor ditubuh dan dikawal dibawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam, Enakmen No.2 tahun 1988. Perkenan Diraja bertarikh 28 Jun 1988.

Dalam kes SAR yang saya terlibat ini, penubuhannya adalah atas inisiatif masyarakat setempat dan perniagaan teras kami ialah pengajaran dan pembelajaran fardu ain dengan berasaskan kururikulum Sekolah Rendah Agama (SRA) Negeri Selangor yang dikendalikan oleh JAIS. Pihak kami juga telah diberikan sijil pendaftaran dan adalah layak untuk beroperasi dari sudut perundangan.

Sumber kewangan operasi sekolah datangnya JAIS dan JAKIM, dalam bentuk pembiayaan elaun bulanan guru-guru. JAIS juga serta Kerajaan Negeri Selangor dan MAIS serta masjid kariah kami turut membantu didalam pembinaan dan selenggaraan baik pulih bangunan. Disamping itu derma wakaf dari organisasi perniagaan dan orang perseorangan, serta yuran dari murid-murid (RM6 sebulan – yang terendah didalam daerah) adalah menjadi punca dana untuk membolehkan sekolah untuk terus beroperasi.

Alhamdulillah, sekolah kami beruntung kerana mempunyai ahli kejiranan yang baik, umpamanya Northport Corporation Berhad, Kolej WIT (dibawah kendalian Dato’ Zainal Rampak, mantan Presiden MTUC), usahawan-usahawan kecil dan para dermawan yang begitu pemurah membantu kami.

Namun begitu, seperkara yang saya yakin ramai dikalangan tidak menyedari dan mengetahui bahawa Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran ada menyalurkan bantuan per kapita atas kiraan RM60.00 bagi setiap murid. Bagi kes SAR saya, geran tahunan ini bernilai sekitar RM20,000.00 (berasaskan bilangan murid). Daripada amaun tersebut, kami disyaratkan supaya mengaggihkan 75% kepada tenaga pengajar dan 25% lagi untuk menampung kos pentadbiran.

Isu pemberhentian bantuan per kapita ini timbul, seingatan saya pada tahun 2002. Pada tahun tersebut, semua SAR termasuklah sekolah kami tidak mendapat geran tahunan tersebut. Namun pada tahun berikutnya, kami tanpa sebarang kegagalan menerima bantuan tersebut dari Kementerian Pelajaran. Malahan pada tahun lepas, meskipun Kerajaan Negeri Selangor dibawah pentadbiran PR, kami tetap menerima agehan tersebut.

Pemberhentian agehan bantuan per kapita tersebut, meskipun tidak dijelaskan secara terbuka tetapi ada desas desus mengatakan berlaku dikalangan pihak pengurusan sekolah tidak melaksanakan syarat agehan 75:25 yang ditetapkan. Apa pun, ekoran pemberhentian bantuan tersebut, khabarnya guru-guru di sekolah-sekolah terbabit diberi pilihan untuk diserapkan dibawah perkhidmatan kerajaan.

Atas alasan-alasan tersebut di atas dan merujuk kepada kes yang saya sendiri alami, adalah mengelirukan malah amat sukar bagi saya untuk menzahirkan rasa setuju diatas dakwaan berlaku kezaliman seperti yang didakwa. Sebagai seorang yang berbahasa, dua kalung ucapan terima kasih saya ucapkanmasing-masing kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan (lama dan baru)Malah secara peribadi juga, saya lebih rela jika SAR yang saya terlibat ini dijadikan SRA oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sekurang-kurangnya dapat membendung fitnah dan tohmahan ke muka tebal kami Jawatan Kuasa Pengurusan Sekolah yang sering menadah tangan memohon sumbangan dari pihak-pihak yang tersebut di atas. Akan tetapi itu sekadar melepaskan beban kami , sebaliknya adakah kami di pihak Jawatan Kuasa Pengurusan berlaku adil kepada guru-guru yang saban tahun menikmati agehan dari Kerajaan?

Saya kurang pasti adanya kebenaran disebalik dakwaan tersebut? Mungkin tafsiran SAR mengikut negeri yang berbeza-beza? Atau pun sekolah agama swasta juga pernah mendapat keistemewaan ini, hingga mendapat pengiktirafan sebagai SAR? Respons dari pembaca-pembaca artikel ini amat saya alu-alukan bagi menjelaskan kekeliruan yang wujud dalam diri saya.

1 comment:

melayuangkat said...

Assalamualaikum Saudara Azlan,

Terharu saya baca nukilan ini. Kalaulah semua Khalifah Allah swt di muka bumi ini beriltizam dan berusaha seperti Saudara dan AJK lain yang terlibat seperti yang saudara Azlan blogkan, Selamatlah orang Melayu, Agama dan Negara.

Saya hanya mampu berdoa agar Saudara Azlan dan yang lain yang telah berusaha gigih selama ini akan diberkati Allah swt di dunia apatah lagi di Akhirat.

Teruskanlah selagi saudara boleh ke arah ini. Saya tidak arif dalam hal ini atau tahu menahu jadi saya tidak boleh komen. Hanya Berdoa yang terbaik untuk SAR atau apa sahaja Sekolah atau Pengajian Agama Islam khasnya di Malaysia ini.

Salam.