Friday, April 24, 2009
Selamat Berkhidmat YB Rodziah!
Kelmarin, lepas pekena teh tarik dan roti canai, terus tuju Stadium Shah Alam. Bukan apa, sekadar memenuhi hajat anak-anak yang 5 orang tu yang ingin sangat menyaksikan final Piala FA, Selangor vs Kelantan. Dalam perjalanan balik, anak remaja saya ajak singgah ke Rimba Jaya, kawasan setinggan yang menjadi kontroversi, malah dikatakan antara punca tumbangnya Kerajaan BN Selangor, pimpinan YB Dato’ Seri Khir Toyo.
Pelik juga budak ni, dulu masa berusia 2 tahun kalau pergi ke Rimba Jaya, alamat duduk dalam kereta tak mahu keluar. Bukan main sombong, sebab perumahan setinggan Rimba Jaya umpama rumah bagan. Memang pada masa itu, tempat tu kawasan berpaya. Yang ada cuma jalan yang boleh dilalui sebiji kereta. Sementara dari jalan ke tiap-tiap rumah dihubungkan oleh titi kayu. Rumah di bendang pun ada halaman tanah, tapi tidak di Rimba Jaya pada masa itu persekitarannya digenangi air.
Sesampainya kami ke tempat itu didapati kawasan tersebut telah berpagar yang menggambarkan pembangunan atau pembinaan sedang berjalan. Saya pun keluar dari kereta, pergi menjenguk di celah-celah tembok zink. Sunyi sepi sahaja dan tiada sebarang tanda projek sedang berjalan.
Apa sudah jadi? Dulu dengan penuh yakin YB Rodziah Ismail, ADUN PKR Batu Tiga, Selangor berkata melalui kenyataan media di Malaysiakini masalah boleh selesai dalam masa terdekat dan saya cukup kagum padanya.
Setelah lebih setahun berlalu, masih lagi tak bergerak.
Kalau Nampak kemajuannya boleh juga dipanjangkan idea YB tersebut dalam membangunkan semula tapak asal perumahan kos rendah di Seksyen 16, Shah Alam yang sebelum ini penghuninya telah diarahkan berpindah ke Seksyen 20. Seterusnya, tapak perumahan kos rendah itu juga boleh dijadikan kawasan perumahan selesa bagi bekas setinggan. Tindakan kena segera, jika tidak, hasrat “buka pintu nampak tanah” akan menjadi “buka pintu dah asa dalam tanah”.
Kepada Dato’ Salamon, berat mata memandang berat lagi bahu memikul dan kini YB Rodziah pun dah faham kot? Beruntung YB Rodziah kerana tak perlu menyinsing kain mengharung air bila melawat ke Rimba Jaya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment