Mungkin terlewat bagi saya untuk turut serta dalam membicarakan topik Ketuanan Melayu, namun sekurang-kurangnya melalui tulisan ini, suatu ukuran pertimbangan akan dapat dibuat dalam konteks penentuan samada konsep ini masih relevan dalam suasana politik terkini.
Pasca PRU12, beberapa pemimpin parti komponen BN telah mencadangkan supaya disemak semula konsep parti yang berasaskan kaum. Malah PR juga telah meletakkan bahawa tidak ada parti yang dominan dalam perkongsian kuasa yang mereka gariskan. Oleh yang demikian, kaedah ini juga telah berjaya menimbulkan provokasi kepada semua pihak, tidak kira kepada parti-parti politik yang wujud di negara ini, malahan jua mendorong rakyat, khususnya yang bukan Melayu untuk mempersoalkan Ketuanan Melayu. Natijah daripada itu, UMNO telah semakin dibenci dan menjadi sasaran sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman.
Saya secara peribadi, apabila bermulanya krisis Melayu moden (pertembungan UMNO Baru dan Semangat 46) telah meletakkan diri saya sebagai individu Melayu minoriti di negara Malaysia ini. Saya telah menyerapkan sifat-sifat berdikari dari terlalu bergantung kepada kerajaan untuk membangunkan keluarga dalam tujuan bersaing dalam negara yang bersifat masyarakat majmuk ini. Apabila lahir anak saya yang pertama pada tahun 1990, saya mula membeli polisi insurans sebagai persiapan untuk program pendidikannya. Bukan itu sahaja, kesemua 5 orang anak saya telah dibekalkan dengan tabungan yang serupa agar merka tidak berhutang dengan mana-mana pihak untuk belajar di IPT dan tidak terbeban dengan hutang apabila mula bekerja kelak.
Tidak dapat dinafikan, melalui Dasar Ekonomi Baru telah melahirkan masyarakat peniaga Melayu dan disediakan pula segala input dan output untuk merapatkan jurang ekonomi antara bangsa Melayu dengan bukan Melayu. Namun, bagi diri saya yang terjun dalam bidang perniagaan pada tahun 1993 malahan sehingga hari ini, tidak turut serta untuk menjamah kek ekonomi yang disediakan oleh kerajaan. Sebaliknya, tumpuan saya lebih tertumpu kepada organisasi swasta.
Dalam keadaan saya yang sebegini, saya sepatutnya menjadi seorang individu yang tidak menghiraukan tentang konsep Ketuanan Melayu. Buat apa membicarakan konsep itu, kalau perut lapar. Malah sebagai cakap negatifnya, buat apa berbincang hal Ketuanan Melayu kerana yang untung ialah mereka dan keluarga mereka, sementara dipihak kita, apa yang dapat?
Namun begitu, sekiranya Ketuanan Melayu sudah tidak relevan, bagaimana pula dengan Pembelaan Melayu? Berdasarkan fikiran yang rasional dan sementelah pula darah yang mengalir dibadan saya adalah darah Melayu, saya berpendapat agenda Pembelaan Melayu harus diteruskan. Dalam perjuangan kita ini, bukannya bertujuan kita patut merampas milik sahabat kita yang bukan Melayu tetapi memberi peluang kepada saudara kita yang berbangsaMelayu untuk membebaskan diri dari terhimpit dengan kesempitan hidup. Golongan ini harus diberi ruang dan peluang bukan sahaja untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
dengan masyarakat Malaysia yang lain.
Semalam, JPA telah mengiklankan biasiswanya (tambahan). Mungkin ini didorong oleh rungutan sesetengah pihak yang tidak berjaya dalam permohonan mereka. Dalam pada itu, saya menaruh harapan yang tinggi kepada JPA supaya dapat berlaku adil. Memang diakui bahawa agak sukar untuk berlaku adil dan memuaskan semua pihak. Akan tetapi jangan hanya kerana desakan-desakan ini hingga kita terlupa kepada kepada mereka yang berasal dari luar bandar dan bersekolah pula di tempat mereka sendiri. Hakikatnya, dengan segala kedaifan dan kekurangan mereka berusaha meski pun secara relatifnya tidak sebaik mereka yang berasal dari bandar. Secara perbandingan, tidak adilkah bagi JPA memberi peluang kepada pelajar luar bandar yang mendapat 7A3B dan menafikan hak pelajar bandar yang mendapat 10A? Kalau kita menyatakan sebagai tidak adil maka secara tidak langsung pelajar luar bandar ini telah dizalimi. Akibatnya, yang maju terus maju dan yang mundur terus mundur akhirnya.
Sebagai kesimpulan, selagi bangsa Melayu masih berada dibaris belakang, selagi itulah Agenda Melayu harus diteruskan. Tidak kira samada ia agenda utama atau agenda sampingan; dan samada penggunaan istilah Ketuanan Melayu mahupun Pembelaan Melayu, gerakan secara holistiks harus diambil untuk membebaskan bangsa Melayu dari kejahilan. Justeru marilah kita bersatu, bukan UNTUK MEREKA DAN KELUARGA MEREKA tetapi untuk membentuk bangsa Melayu yang berilmu pengetahuan, berdaya saing dalam ekonomi dan berakhlak mengikut acuan Islam yang sejati. Terpulang kepada anda semua untuk menyahut seruan ini kerana bagi saya, telah hampir 2 dekad saya menganggap diri saya hidup dibawah MALAYSIAN MALAYSIA!
2 comments:
Assalamualaikum Sdra Azlan,
Sy tertarik dgn 2 istilah yg Sdra tulis.
Pd sy, salah satu perjuangan Ketuanan Melayu ialah bagi memastikan Pembelaan Melayu akan terlaksana, tanpa menidakkan kepentingan kaum lain. Hakikatnya, ia adalah konsep yg amat baik.
Namun begitu, dek krn digaul dgn rencah politik, maka hasilnya, konsep Ketuanan Melayu telah disalahertikan, mahupun disalahgunakan. Akibatnya, wujudlah penentangan terhadap konsep ini sehingga lahir pihak yg mempertikaikannya.
Sy kurang pasti samada ia sama dgn pdgn Sdra, cuma ini hanya satu pdgn peribadi.
Sdr Zul,
Diakui bahawa terdapat titik persamaan dalam pandangan kita terhadap isu tersebut. Penekanan saya ialah soal tindakan dan matlamatnya. Walau sejauh mana kita rasa bebas dan berdikarinya diri kita, janganlah lupa untuk menyambut huluran tangan-tangan mereka yang ingin naik ke tebing.
Post a Comment