Sebenarnya, adalah menjadi hasrat saya ingin menulis mengenai Neo-Feudal di dalam UMNO dan secara kebetulan, hari ini YB Dato' Sharir Samad menyentuh tentang amalan feudal yang semakin menebal di dalam UMNO (Sila rujuk http://www.agendadaily.com). Pada beliau, sindrom ini membuatkan ahli-ahli UMNO takut bersuara dan seterus menghakis keyakinan rakyat untuk menyokong dan menyertai UMNO.
Namun begitu saya lebih suka menggunakan istilah Neo-Feudal dan akan berhujah dari perspektif yang berlainan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ciri-ciri feudal terdapat di dalam UMNO. Tanpa menafikan wujud ciri-ciri tersebut di peringkat nasional dan negeri, tetapi tulisan saya ini khusus memberi fokus di peringkat cawangan dan bahagian.
Ciri utama yang berlaku ialah penguasaan yang begitu dominan oleh Ketua terhadap jawatan-jawatan utama dan sayap-sayap parti. Misalnya Ketua Cawangan yang menyusun anak, isteri adik-beradik, saudara mara dalam jawatan utama dan ahli-ahli yang tidak mempunyai pertalian lebih berfungsi sebagai pengikut. Kecenderungan ini, pada hemat saya berlaku apabila berlaku berbezaan pendapat dengan penyandang-penyandang jawatan yang sebelumnya dan seterusnya menganggap bahawa hal itu akan menggugat kedudukannya. Justeru, berlakulah proses memancung dan sebagai ganti, mereka yang mempunyai pertalian diletakkan di jawatan-jawatan utama bagi memastikan kedudukan ketua tidak terancam.
Adalah menjadi lumrah pada hari ini, kelayakan seseorang itu untuk memimpin UMNO haruslah mempunyai kemampuan wang ringgit. Kekayaan menjadi tanda aras melayakkan seseorang itu untuk menjawat jawatan tinggi di dalam parti. Tanpa wang, kita sebagai ahli bawahan akan dihadiahkan 'cermin' untuk mencermin diri kita sebelum menawarkan diri untuk jawatan-jawatan utama. Dengan keadaan yang sedemikian ini, maka seolah-olah cawangan mahupun bahagian telah menjadi cartel dan syarikat sendirian berhad. Seterus ahli-ahli cartel dan pemegang-pemegang saham syarikat sendirian berhad inilah yang akan menguasai dan mewarnai parti.
Lebih memparahkan lagi ialah bila timbul kecenderungan untuk melahirkan seramai mungkin pengikut dan pada masa yang sama, tiada sebarang usaha yang diambilkan untuk melahirkan pemimpin pelapis. Proses tekanan dan kekangan diambil supaya tidak ada tunas-tunas baru tumbuh dan seterusnya menjadikan parti sebuah organisasi yang berfikir didalam kotak yang mereka bina sendiri, tanpa menghasilkan idea-idea yang baru.
Sekiranya tiada sebarang usaha diambil untuk memperbetulkan keadaan ini maka mereka yang berkelayakan dari segi pemikiran, pentadbiran dan pengurusan serta akademik akan terus tersisih. Dari sudut psikologinya juga, perasaan rendah diri dikalangan akan semakin menebal. Apabila UMNO sudah di pandang sebagai organisasi feudal, maka tidak hairan satu lagi revolusi akan berlaku akibat dari kekecewaan golongan marhaen. Saya percaya sekiranya ini berlaku, komunisme akan wujud kembali bagi melenyapkan jurang antara kumpulan marhaen dan kumpulan neo-feudal ini.
2 comments:
Feudalism dalam UMNO ini berlaku kerana ramai yang mahu memastikan bahawa jawatan dan kuasa mereka terjamin. Langkah mudah adalah dengan meletakkan anak, adik, abang, saudara-mara bersama dalam jawatan-jawatan penting supaya pengaruh mereka terus kekal dan tidak mudah terhakis.
Assalamualaikum Sdra,
Saya mmg tidak nafikan amalan sebegini telah lama berakar umbi di dalam parti Umno.
Pada saya, inilah yg akan terjadi sekiranya sesorg yg memegang jawatan beranggapan dia sedang memegang kuasa, bukan memegang amanah.
Kuasa dan amanah mempunyai makna dan kesan yg jauh berbeza.
Sekadar satu pdgn peribadi.
Post a Comment