Dalam keadaan sekarang PAS mungkin begitu berhati-hati dalam menangani sesuatu isu demi menjaga hubungan dengan rakan-rakan politiknya (barangkali?). Apabila meletakkan PAS di titik tengah, seperti yang dikatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi di Harakahdaily, ini bermakna PAS terlalu bergantung kepada isu untuk menyambung talian hayat politiknya.
Sebagai sebuah organisasi yang mengaku sebagai Islam sebagai asas perjuangan, PAS sepatutnya bergerak atas dasar dakwah. Sebaliknya, apa yang terjadi PAS umpama menyorok di sebalik banir “pohon Islam” dan hanya akan keluar apabila orang ramai terkial-kial mencari jalan keluar dari rimbunan hutan kesesatan. Seterusnya, tidak akan menunjukkan jalan keluar yang sepatutnya dan hanya akan menunjukkan arah setelah mengenal pasti kecenderungan arah tujuan orang tersebut, walhal PAS sendiri maklum bahawa ada jalan pintas untuk keluar dari rimba tersebut.
Tidakkah ini bermakna amalan berpolitik sedemikian, selayaknya digelar sebagai politik yang bersifat opportunistik?
PAS seperti juga UMNO, sebuah organisasi yang telah terasas melebihi setengah abad. Ini bermakna, bukan masanya untuk menerap kefahaman, sebaliknya menerap perlaksanaan. PAS yang sekelambu dengan PKR dan DAP atas nama Pakatan Rakyat telah pun mempunyai kuasa di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Jadi dalam soal ini, tidak perlu berpatah balik untuk memberi faham kepada rakan-rakan kerana gerakan ini telah lama terasas. Berpatah balik bermakna kegagalan PAS sendiri.
Bersama rakan-rakan sepakatannya, menuduh UMNO pembuli, bersifat sebagai tuan, rasis dan pelbagai tuduhan lagi yang menjatuhkan maruah batang tubuh UMNO. Hakikatnya, itulah kelebihan UMNO yang suaranya dihormati dan disegani (meskipun mungkin wujud ketidakpuasan hati segelintir ahli komponen BN tetapi sekadar boleh merungut). Sepatutnya dalam hal kepentingan Islam dan Melayu, PAS harus bersama untuk memperkukuhkan suara dan kuasa yang sedia ada dimiliki dan bukannya menyorok dan terhendap dibelakang banir pohon Islam, sambil menunggu ruang dan peluang untuk berkokok umpama ayam ayam jantan yang memberitahu tuannya yang hari sudah hampir siang!
Menyentuh isu larangan pekerja Islam di MPSJ, sepatutnya Nasrudin mengajukan soalan kepada Khalid Ibrahim dan bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan berikut,
“Demikianlah isu pekerja muslim di premis arak. Saya bersetuju dengan cadangan Yb Khalid Samad dari Shah Alam yang menegaskan agar terlebih dahulu kerajaan yang berkuasa mewujudkan peluang pekerjaan halal untuk memindahkan pekerja dari premis haram ke premis halal tanpa perlu mencetuskan polemik [ kecuali kepada mereka yang sengaja engkar selepas daripada itu ], namun tindakan mempertegaskan hukum dan meletakkan syarat yang menepati hukum syara' sebagaimana yang dipertegaskan oleh pihak MPSJ dan Yb Dato' Hassan Ali juga wajar disokong penuh agar ummat Islam menginsafi bahawa premis haram tidak layak untuk mereka mencari rezeki”.
Sila ajukan persoalan kepada MB Selangor itu berhubung perlaksanaan Skim Latihan Pekerja Mahir, yang diumumkan diawal pentadbirannya sebagai MB. Dibawah ialah janjikan Khalid Ibrahim untuk renungan bersama:-
“Salah satu yang perlu saya lakukan ialah menyelesaikan masalah pengangguran belia yang berumur 21 hingga 35 tahun.
Saya tidak nampak mengapa belia yang duduk di negeri Selangor tidak boleh mendapat pekerjaan. Ini kerana negeri Selangor mempunyai lebih 1.5 juta orang dari luar negara datang bekerja di Selangor.
Satu daripada objektif kita pada jangka panjang ialah mengurangkan pergantungan kita dengan pekerja asing. Jadi ia satu jawapan yang mesti kita lakukan, kita mesti kurangkan. Ini bermakna semua belia kita ini mesti dilatih untuk mendapat kemahiran supaya mereka dapat bekerja. Jika mereka mendapat pekerjaan maknanya pekerjaan itu akan dapat mengurangkan beban kita untuk mencari pekerja-pekerja asing.
Walau bagaimanapun strategi kita mesti betul sebab kalau belia hendak jadi buruh kasar maknanya rugilah kita sebab pekerja-pekerja asing sanggup bekerja sebagai buruh kasar dengan gaji yang lebih rendah. Oleh sebab itu, kita mencari latihan-latihan yang sesuai untuk belia-belia kita supaya mereka mendapat kemahiran. Umpamanya sebagai contoh, kalau belia kita dilatih jadi pakar dalam kimpalan, pendapatan mereka adalah pendapatan buruh mahir dan biasanya pada peringkat antarabangsa gajinya melebihi USD2,000 ke USD3,000 sebulan.
Kalau itu berlaku maknanya kita sudah dapat tingkatkan buruh kita. Dengan cara itu kita akan naikkan taraf belia-belia kita walaupun dia tidak lulus dan tidak boleh masuk universiti. Tapi yang universiti hanya 20 peratus, yang 80 peratus yang kita buat.
Kalau itu berhasil maknanya pendapatan per kapita negeri Selangor akan bertambah dan jurang pendapatan antara mereka yang berada dan tidak berada pun dapat dikurangkan.
Jadi saudara akan tanya macam mana kita boleh menyelesaikan. Salah satu cara yang saya nak cadangkan kalau kita ada 1.5 juta pekerja asing yang duduk di negeri Selangor, saya minta setiap majikan bayar saya RM100 setahun dan maknanya RM10 sebulan untuk saya gunakan bagi melatih belia-belia ini sebagai usaha untuk mengurangkan tekanan buruh asing. Saya dapat mengutip RM150 juta setahun. Dari segi skill saya kena ajar. Itu sebab saya kena ada dana untuk mengajar latihan itu semua.
Kalau kita dah ada duit maknanya kita boleh panggil dalam negeri atau luar negeri untuk datang beri pelajaran. Cuba kita perhatikan dia punya konsep sekarang kita kata kita ada masalah dan ini akan menyelesaikan banyak masalah. Kalau ramai belia tak bekerja maknanya harapan untuk masalah sosial lebih tinggi.
Kalau kita dapat kurangkan pendatang haram dan digantikan dengan pekerja-pekerja mahir kita akan dapat menyelesaikan masalah sosial. Jadi kedua-dua projek ini mengatasi masalah belia ini dan menyelesaikan banyak masalah-masalah sampingan.
Kita akan ada beberapa peringkat bila mereka masuk latihan. Kita akan tanya keupayaan dan kemahiran mereka. Jadi kita ada senarai pekerjaan. Ada setengah tu nak jadi pengatur cara, ada setengah tu nak jadi pembawa kapal. Jadi kita sesuaikanlah.
Biasanya pekerjaan-pekerjaan ini lebih daripada buruh kasar. Jadi kita aturkan dia tapi kalau dia dapat pendapatan kurang daripada RM2,000 maknanya kemahiran dia tak diterima. Kalau pekerja mahir dapat kurang dari RM2,000 maknanya ada sesuatu yang tak kena.
Bila semua orang, belia kita dapat gaji RM2,000 atau lebih maknanya dia telah menambah pendapatan per kapita keluarga kita.
Selangor sahaja yang boleh buat projek ini kalau setengah negeri tidak boleh, sebab setengah tu tidak cukup pekerjaan, tidak cukup industri.”
Kenyataan penuh Khalid boleh dirujuk di SINI.
Kenyataan Khalid di atas adalah bertarikh 30 Jun 2008. Adakah Skim Latihan itu memakan masa 5 tahun, sama seperti kursus perubatan? Sudah adakah keluaran produk tenaga mahir tersebut? Atau skim tersebut tidak pernah terlaksana dan masih dalam perancangan?
Dalam hal ini samada Nasrudin mahupun Khalid Samad mesti halakan muncung senapang kepada Khalid Ibrahim. Persoalkan beliau dengan soalan-soalan di atas. Ini bukan masanya untuk berdalih-dalih. Anda semua telah berada dalam pentadbiran negeri, malah mempunyai hak politik dan ada kuasa mempengaruhi keputusan kerajaan negeri. Jika anda sendiri gagal melaksanakan, bermakna anda sebenarnya gagal menyaingi kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh UMNO dan BN!
No comments:
Post a Comment