Saya teruja untuk bersetuju dengan pandangan Aspan Alias yang Satim Diman umpama akar. Namun begitu, saya tidak bersetuju jika akar (Satim Diman), dibandingkan dengan rotan.
Aspan sendiri mengakui yang beliau tidak mengenali Satim, maka secara tidak langsung menimbulkan keraguan Aspan terhadap Satim.
Seperti juga Aspan, saya juga tidak mengenali Satim. Akan tetapi, perlu diingat bahawa Satim merupakan salah seorang ‘pemain lama’ didalam Perhubungan UMNO Selangor. Melihat dari jauh, Satim hakikatnya adalah Ketua UMNO yang telah berpenggal-penggal menjadi Ketua UMNO Bahagian di Serdang dan kemudiannya Puchong (selepas persempadanan semula).
Hakikatnya, bukan mudah untuk mengekalkan kedudukan Ketua UMNO Bahagian tanpa bertanding, andainya tidak membuat kerja dan tidak disukai oleh ahli UMNO dan rakyat. Ketika, kebanyakan wakil rakyat BN yang berada “di selatan Sungai Selangor dan di utara Sungai Langat” tumbang, Satim masih kekal sebagai ADUN meskipun hanya dengan majoriti 60 undi. Tidakkah ini menunjukkan kekuatan ‘akar’ Satim?
Kecuali TS Abu Hasan Omar, TS Muhammad Mohd Taib dan DS Khir Toyo merupakan tokoh yang tidak dikenali semasa dilantik sebagai MB Selangor. Sebenarnya, isunya bukanlah Satim Diman sebagai MB Selangor, tetapi keperluan untuk Satim mengisi jawatan Ketua Pembangkang DUN Selangor. Kalau selaku Ketua Pembangkang, asyik sering mengabaikan kawasannya, alamat Ketua Pembangkang akan dibedal oleh rakyat yang diwakilinya sendiri.
Dalam keadaan ini, bukannya kekuatan ‘rotan’ Satim untuk melibas, tetapi kekuatan ‘akar umbi’ Satim untuk membawa UMNO/BN untuk bertapak semula di Selangor!
No comments:
Post a Comment