Tuesday, December 22, 2015

Pertembungan Lim Guan Eng Vs Azmin Ali, Siapa Pemenangnya? - Bhgn 2


Dilihat dari mata kasar, adalah sukar untuk menafikan kelebihan tai chi KM Lim Guan Eng berbanding jurus silat DS Azmin Ali, bersandarkan analisa yang di tulis dalam bhgn 1 sebelum ini.

Berdasarkan angka, sudah memadai untuk Guan Eng mengatasi Azmin. Di Pulau Pinang, Guan Eng pada bila-bila masa boleh mendapatkan majoriti mudah melalui pujukannya terhadap Adun PAS Datuk Mohd Saleh Man dan Timbalan KM1 Datuk Mohd Rahid Hasnon.

Malah Guan Eng boleh menggugat kedudukan Azmin sebagai MB Selangor, andai kesemua 15 Adun DAP menarik diri dari kerajaan Selangor.

Namun begitu, Azmin tidaklah semudah itu menyerah kalah dan dalam beberapa siri ucapannya telah mula memuji-muji dasar dan polisi kerajaan BN khususnya kepada pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir.

Contohnya ketika berucap di Persidangan Usahawan Malaysia - China pada November lepas, Azmin menegaskan betapa keberanian Tun Razak mengadakan hubungan diplomatik dengan China (pada 1974), disaat dan ketika kesemua negara ASEAN kecuali Malaysia tidak sama sekali mengambil inisiatif yang serupa.

Dalam majlis berkenaan Azmin turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai 'Father of Nation Quantum Leap'  (Bapa Lonjakan Negara) dan bersetuju dengan 'Dasar Pandang Ke Timur', malah MB Selangor itu turut mencadangkan China turut dimasukkan, selain Jepun dan Korea.

Perkara yang sama diulangi oleh Azmin, apabila sekali lagi memuji Tun Razak ketika merasmikan Kongres Tahunan Wanita dan Pemuda PKR 2015, dengan menyifatkan PM ke2 Malaysia itu sebagai bijaksana apabila memperkenalkan Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Kebudayaan Nasional selepas kancah konflik antara kaum selepas 'tragedi 13 Mei 1969'.

Tindakan Azmin dalam mengiktiraf  Tun Razak sebagai pemimpin besar negara, adalah tidak lain untuk menyakitkan hati Guan Eng, apatah lagi Allahyarham ialah bapa kepada PM DS Mohd Najib Razak.

Pada masa yang sama, tindakan itu dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan 12 Adun BN, setidah-tidaknya bagi mengelakkan pembubaran DUN Selangor, disamping memastikan kedudukannya sebagai MB tidak terlucut melalui usul tidak percaya.

Diandaikan Guan Eng 'buat gila' dengan mengusulkan undi tidak percaya kepada Azmin, sekurang-kurangnya Azmin akan tetap kekal dengan sokongan 26 Adun (PKR-13 dan PAS-13), berbanding 17 menyokong (DAP-15 dan PAN-2), manakala 12 Adun BN berpendirian berkecuali.

Sementara bagi Adun Bebas TS Abdul Khalid Ibrahim, samada memilih untuk berkecuali atau memihak kepada usul DAP ia masih belum cukup untuk melucutkan Azmin.

Dalam hal ini, adalah terlalu sukar bagi Guan Eng untuk mendesak Azmin melaksanakan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.

Tuesday, December 15, 2015

Pertembungan Lim Guan Eng Vs Azmin Ali, Siapa Pemenangnya? - Bhgn 1


Menurut The Heat Malaysia, bukanlah suatu rahsia bahawa berlaku perselisihan pendapat antara KM Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan MB Selangor Dato' Seri Azmin Ali dalam memilih sekutu, iaitu samada PAN atau PAS.

Meskipun Pakatan Rakyat secara umumnya telah digantikan dengan Pakatan Harapan diperingkat nasional, namun Azmin masih mengekalkan status quo berasaskan model Pakatan Rakyat tanpa membuang PAS sebagai sebahagian komponen pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Sebaliknya, Guan Eng melaksanakan persefahaman yang diikat melalui Pakatan Harapan dengan melakukan pembersihan dengan membuang satu demi satu anggota PAS dari pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Walau pun kedua-dua DAP dan PKR bukanlah memiliki jumlah kerusi yang mutlak untuk memerintah secara bersendirian di Pulau Pinang dan Selangor, namun pertembungan antara gerak tai chi Guan Eng dengan jurus silat Azmin, kelihatan Setia Usaha Agung DAP itu lebih kedepan berbanding Timbalan Presiden PKR tersebut.

Dalam DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, komposisinya adalah terdiri dari DAP (19), PKR (10), PAS (1) dan pembangkang BN (10). Bermakna jika DAP yang mempunyai 19 kerusi memilih untuk memutuskan hubungan dengan PKR, mereka masih belum boleh menubuhkan kerajaan.

Menyedari hakikat ini, tidak hairanlah Guan Eng mengambil pendekatan untuk tidak membuang Adun tunggal PAS (Permatang Pasir) Datuk Mohd Saleh Man sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Malah, Adun PAS berkenaan mengisytiharkan sebagai mesra kerajaan DAP Pulau Pinang.

Guan Eng mengambil kesempatan dari tindakan 5 Adun PKR yang berkecuali terhadap usul BN di sidang DUN Pulau Pinang November lepas, berhubung isu tebus guna 2,600 hektar tanah, KM itu telah melaga-laga kepimpinan PKR Pulau Pinang dengan dakwaan kononnya wujud komplot yang hendak menggulingkan kedudukan Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai Timbalan Ketua Menteri I (TMKI). Malah, Guan Eng telah memberi amaran bahawa pihaknya hanya mengiktiraf Rashid sebagai TMKI Pulau Pinang.

Tindakan Guan Eng sengaja melaga-lagakan dalaman PKR, tidak lain adalah bertujuan untuk memancing Rashid Hasnon supaya kekal menyokongnya, seperti yang dilakukan terhadap Saleh Man. Tidakkah pelik bila Saleh membuat pendirian kekal bersama PAS, tetapi sebelah kakinya disandarkan kepada DAP?

Dengan mengikat Rashid dan Saleh, maka kedudukan Guan Eng akan mendapat sokongan 21 Adun (DAP-19, PKR-1 dan PAS-1). Sesungguhnya itu sudah memadai baginya untuk mendapat majoriti mudah dalam DUN Pulau Pinang, andai hubungannya dengan Azmin gagal dipulihkan.

Dalam pada itu sebagai langkah jangka panjangnya, portal The Heat Malaysia melaporkan DAP sedang giat memperkukuh dan meluaskan pengaruhnya di kawasan-kawasan DUN PKR yang diwakili oleh Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban), kerana mereka ini adalah 4 dari 5 Adun PKR yang berkecuali terhadap usul BN yang disebut di atas. Sementara seorang lagi Adun PKR yang berkecuali ialah Dr Norlela Ariffin (Penanti), yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

Hakikatnya ini adalah pendekatan awal DAP dalam menghadapi sebarang kemungkinan, sebagai persediaan bergerak tanpa PKR dalam PRU14.

Meski pun dari kiraan ini jelas bahawa Azmin ketinggalan dari segi strategi kepada Guan Eng, namun tidaklah bermakna tiada sebarang tindak balas dari MB Selangor itu. Strategi Azmin dalam mengekang Guan Eng melalui tindak balas di Selangor akan dijelaskan yang bakal menyusul pada bahagian 2 berikutnya.

Sesungguhnya pertembungan ini amat menarik kerana antara Guan Eng dan Azmin, masing-masing adalah berkelulusan perakaunan dan seorang lagi dalam bidang matematik!

Thursday, October 15, 2015

Azmin Ali Bakal Pening Kepala Pada November 2015 Untuk Selesaikan Karenah Konco-Konco Hadi Awang & Mat Sabu


Pada November 2015 yang bakal mendatang, MB Selangor Azmin Ali akan berdepan dengan ujian bila ketika itu barisan pengurusan masjid seluruh negeri Selangor akan disenarai pendek.

Di Selangor, adalah menjadi amalan setiap masjid akan mengadakan Mesyuarat Agung Khas Pencalonan bagi memberi peluang kepada ahli kariah untuk Pegawai & AJK Masjid untuk mengurus tadbir masjid di kariah masing-masing.

Berpandukan kepada pengalaman pada 2012, pencalonan untuk jawatan-jawatan utama seperti Nazir, Imam I dan Imam II malah untuk AJK, tidak terikat pada undi tertinggi. Sebaliknya ada campurtangan dari tangan-tangan ghaib, yang disyakki dari Adun mahu pun Penyelaras DUN dalam menentukan perlantikan untuk jawatan-jawatan tersebut.

Pada tahun berkenaan, antara bantahan dan pertikaian terhadap perlantikan yang tidak mengikut pencalonan yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Khas seperti dilaporkan oleh pihak media, melibatkan Masjid Fastabiqul Khairat, Shah Alam; Masjid Nurul Iman, Kuala Selangor; Masjid al-Husna, Petaling Jaya dan Masjid al-Ansar serta Masjid Darul Muttaqin masing-masing di Klang.

Dalam pada itu, banyak lagi masjid yang menghadapi masalah yang serupa, cuma ia tidak dipanjangkan kepada media.

Antara kriteria penolakan terhadap pecalonan ialah calon berkenaan adalah ahli UMNO.

Bagi perlantikan Pegawai & AJK Masjid sesi 2016 -2018, semua masjid telah diarahkan mengadakan Mesyuarat Agung Khas Pencalonan dalam tempoh bermula 8 Oktober hingga 8 November.

Dengan perkembangan politik terbaru yang menyaksikan tertubuhnya Amanah, jadi tidak hairan maka kontroversi bakal tercetus bila berlaku pertembungan antara PAS dengan Amanah.

Sementara itu, bagi UMNO yang telah berpengalaman dengan situasi berkenaan, tentunya dapat menerima keadaan.

Kita tunggu hingga perlantikan rasmi pada November untuk menyaksikan betapa Azmin Ali akan pening kepala melayan karenah konco-konco Hadi Awang dan Mat Sabu.

Wednesday, September 9, 2015

Wajarkah Najib Hantar Wakil Bersemuka Dengan PAS Dalam Kongres Rakyat Pada 12 September 2015?


Dari idea asal dari Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang, Kongres Rakyat dijadualkan bakal berlansung pada 12 September 2015, bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Berkonsepkan 'Dari Rakyat Untuk Rakyat', kongres berkenaan bermatlamatkan pengumpulan usul dan pandangan dalam merangka pelan tindakan membina negara yang sejahtera, disamping membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi dan ketidakstabilan poltik yang menggugat kemakmuran negara.

Meskipun dari segi tugasan pengelolaan diserahkan kepada NGO dan dipengerusikan oleh Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid (baca SINI), peranan PAS dalam menjayakan program berkenaan adalah amat besar.

Dalam wawancara Harakah Daily dengan Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad (klik SINI), menyatakan betapa kehadiran UMNO/BN ke kongres adalah sepatutnya, untuk mendengar sudut pandangan dari rakyat.

Bagi berlaku adil, sewajarnya Idris turut memberi akuan untuk memberi ruang kepada UMNO/BN turut sama, samada memberi pandangan mahu pun mempertahankan dasar-dasar yang sedang dilaksanakan oleh mereka, atas kapasiti pengendali kerajaan yang sedia ada.

Apatah lagi seperti disebutkan oleh Naib Presiden PAS berkenaan, resolusi kongres akan dipanjangkan kepada kerajaan disamping untuk edaran rakyat.

Dalam pada itu perlu diingat, bahawa kongres seumpamanya pernah diadakan pada 11 Mac 1946, di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru, Kuala Lumpur yang disertai oleh 41 pertubuhan Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Kongres Melayu Pertama.

Meskipun ia atas nama Kongres Melayu bukanlah bermakna ia adalah kongres berbentuk perkauman, kerana sesuai pada masa itu orang Melayu adalah rakyat kepada Raja-Raja Melayu, sementara orang Cina dan India masih lagi samada sebagai pendatang, atau pun rakyat British di Negeri-Negeri Selat.

Bertitik-tolak dari kongres berkenaan, resolusi yang dicetuskan ialah:-

1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO
2. Membantah Penubuhan Malayan Union
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu

Berbalik kepada Kongres Rakyat tajaan PAS, jika benar pelawaan terhadap UMNO/BN dan adalah ikhlas dalam penyelesaian permasalahan rakyat dan penyelesaian konflik politik, adalah molek jika mereka mengutus jemputan secara rasmi kepada UMNO/BN.

Mungkin ini adalan titik tolak kearah penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dikemukakan, disamping mencari titik persamaan dalam kepelbagaian pandangan kerana rakyat terbanyak sudah letih dengan politiking yang keterlaluan.

Atau, siapalah tahu kemungkinan resolusi yang dihasilkan akan menjadi pembaharuan terhadap Kongres Melayu Pertama 1946?

Monday, September 7, 2015

LIm Guan Eng Cabar Hadi Awang Hantar Orang Berentap Dengannya di Air Putih


Sebagai respons terhadap niat PAS untuk meletakkan calon di kawasan-kawasan DAP, Lim Guan mencabar DS Abdul Hadi Awang untuk menghantar calon bagi menentangnya di kawasan DUN Air Putih, Pulau Pinang.

Kalau rasa kuat dan diterima, lebih elok Guan Eng berpindah ke kawasan DUN Permatang Pasir yang ketika ini milik PAS.

Jika ini berlaku, barulah boleh dikatakan sebagai berani.

Polis Tak Benarkan 'Himpunan Maruah Melayu, Tanah Tumpahnya Darahku' Pada 16 September

Akhirnya jadi anti-klimaks bila PDRM tidak benarkan Himpunan Maruah Melayu............

Mat Sabu Sahkan Parti Cangkul Akan Ambil Pendirian 'Belukang Mengikut Arus' Dalam Isu Hudud


Pengerusi Parti Cangkul, Mat Sabu membayangkan bahawa 7 ahli parlimen mereka tidak akan menyokong hukum hudud yang dicadang untuk dibetangkan di parlimen oleh PAS.

Dengan menjadikan alasan bahawa ia bergantung kepada konsesus bersama gabungan parti pembangkang, hakikatnya hanya menyerlahkan kecenderungan mereka untuk tidak menyokong.

Kalau dilihat akan komposisi anggota pembangkang di parlimen, ia adalah terdri dari DAP (37), PKR (29 termasuk 1 kerusi diwakili PSM) dan Parti Cangkul (7), sementara PAS yang berada dipihak pembentang usul rang undang-undang berkenaan, mempunyai 14 ahli parlimen, adalah sukar bagi anggota pembangkang untuk menyokong.

DAP dan PKR awal-awal lagi telah mengambil pendirian untuk tidak menyokong, maka dalam keadaan itu pendirian 7 ahli parlimen Parti Cangkul, tidak salah untuk diumpamakan sebagai 'belukang mengikut arus'.

Dalam penolakan Mat Sabu terhadap hudud, beliau menambah sekiranya majoriti mereka, Islam dan bukan Islam, tidak bersetuju dengan hudud.dan sekiranya ia bertentangan dengan perlembagaan, maka tak boleh dipaksa perlaksanaannya.

Pendirian Mat Sabu ini jelas bertentangan dengan pendirian awalnya, walhal isu hudud telah dimainkan oleh PAS sejak PRU1990, malah Mat Sabu sendiri terlibat dan telah menang untuk kerusi Nilam Puri, Kelantan dalam pilihan raya tahun berkenaan.

Apakah selama lebih 30 tahun dalam PAS, Mat Sabu hanya berpura-pura dalam perjuangannya, selain hanya untuk memposisikan dirinya supaya terkenal dalam arena politik semata-mata?

Saturday, September 5, 2015

'Otai Reformasi' Dah Taubat Tak Mahu Demontrasi Jalanan


Dilaporkan oleh The Malaysian Insider, bahawa 20 orang 'otai reformasi' yang mendakwa pernah berdemontrasi jalanan ekoran penyingkiran DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 1998, telah mengadakan Solat Hajat di Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, memohon agar 'Himpunan Maruah Melayu, Tanah Tumpahnya Darahku' yang dijadual berlangsung pada 16 September 2015 dibatalkan.

Dalam kenyataan wakil kumpulan berkenaan, Ronnie Liu (bekas Adun DAP Pandamaran, Selangor) menzahirkan rasa gementar dan fobia mereka bila perkataan 'darah' digunakan dalam moto himpunan berkenaan.

Mereka meminta pihak berkuasa membatalkan himpunan tersebut.

Turut serta dalam kumpulan tersebut ialah Adun katak lompat (dari PAS ke GHB), Saari Sungib.

PAS Terdesak Hingga Terpaksa Swastakan Program Kongres Rakyat?


Meskipun idea asal Kongres Rakyat yang bakal dianjurkan pada 12 September depan, dikatakan dicetus oleh Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang, namun musykil pula apabila penganjurannya tidak dilaksanakan secara total oleh PAS sendiri.

Sebaliknya penganjuran kongres tersebut, telah diswastakan pula kepada Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi.

Perlu diimbas kembali, MAPIM pernah menjadi penganjur 'Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah' pada 2011 di Stadium Shah Alam, ekoran isu kontroversi cubaan murtad di Gereja Methodist, Damansara Utama di Petaling Jaya.

Akan tetapi atas persahabatan dengan DAP ketika itu, PAS melarang penyertaan ahli-ahlinya ke himpunan berkenaan, sehinggalah membawa pemecatan kepada Datuk Dr Hasan Ali yang engkar keatas larangan berkenaan.

Kali ini, bagai keadaan terdesak bagi PAS hingga memerlukan bekerjasama dengan MAPIM dalam menganjurkan program berkenaan.

Sesungguhnya terpaksa diakui bahawa penguasaan 'Kumpulan Anwarinas' dalam kepimpinan PAS ketika berlangsungnya 'Himpunan Sejuta Umat' pada 2011, telah mengekang kerjasama PAS - MAPIM.

Friday, September 4, 2015

2 Ahli Politik Buat Repot Polis Mohon Siasatan Keatas Najib

2 Repot Polis dari 2 individu yang mendakwa diri mereka sebagai ahli politik, telah dibuat di IPD Seri Alam pagi tadi,

Mereka masing-masing adalah Abdul Rahman Abdullah (29 tahun) dan Abdul Rashed Jamaludin (33 tahun) dan kedua-duanya dari Bandar Seri Alam.

Repot Polis berkenaan memohon siasatan keatas Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB (DS Najib), Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB (TS Lodin Wok Kamarudin) dan Presiden 1MDB (Arul Kandasamy).



Budi Sekotak Tisu Buat Mengelap Air Mata Tidak Halang Hanipa Maidin Tolak PAS Sertai Pakatan Rakyat 2.0


Hanipa Maidin pernah menangis  di pentas PAS dan untuk memujuknya Ketua Dewan Pemuda PAS tampil dengan huluran sekotak tisu.

Rupanya peristiwa itu merupakan detik terakhir bagi Ahli Parlimen Sepang itu berucap di atas pentas PAS, setelah memilih haluan bersama Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dalam proses merealitikan penubuhan parti baru atas nama Parti Amanah Negara (PAN).

Meski baru sekadar pengumuman penubuhan, bekas Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim, bagai menangguk mengalu-alukan kehadiran PAN untuk membentuk entiti baru Pakatan Rakyat 2.0, bersama DAP, PKR dan PAS.

Namun alu-aluan Anwar, tidak disenangi oleh Hanipa dengan menjadikan alasan hubungan DAP - PAS yang keruh, tidak memungkinkan saranan tersebut menjadi realiti. Hanipa sebaliknya berpendapat, keakraban dan keselesaan DAP bersama GHB, akan menjadikan Pakatan Rakyat 2.0 lebih signifikan sekiranya tanpa PAS.

Nampaknya Hanipa lebih menjurus kepada penerimaan DAP terhadap GHB mengatasi PAS dalam membentuk Pakatan 2.0, namun hakikatnya beliau gagal membaca kegagalan awal kelompok serpihan PAS itu dalam membawa turun pengikut-pengikut mereka untuk berdemontrasi ketika 'Bersih 4.0' hujung minggu lepas.

Kegagalan itu sudah cukup untuk menjadi bahan tawa para penyokong totok PAS, apabila ia sudah cukup untuk melihat sejauh mana kekuatan GHB.

Melihat kepada perbezaan undi yang besar antara kelompok ulama dengan kelompok GHB dalam pemilihan PAS Jun 2015 yang lalu, sudah cukup untuk menilai kekuatan dan keupayaan GHB.

Dalam pada itu, PAS Johor melalui kenyataan Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz  Mohamed memberi isyarat awal terhadap kekuatan mereka berbanding GHB, apabila dengan yakin akan meletakkan 40 calon untuk kerusi DUN Johor. Kenyataan Mahfodz itu, sudah cukup untuk menutup ruang GHB untuk bertanding di Johor.

Bermakna peluang GHB di Johor kini bergantung sepenuhnya kepada ihsan DAP.

Thursday, September 3, 2015

Dengan Menjamu Beriyani Kambing, Khalid Samad & Dr Mariah Mahmud Yakin Bebas Dari Baiah PAS


Beberapa portal melaporkan Khalid Samad (MP Shah Alam) dan Dr Mariah Mahmud (MP Kota Raja) akan melakukan kafarah dengan menjamu 100 orang miskin dengan menu beriyani kambing, bagi membebaskan mereka dari baiah yang dilafazkan dengan PAS.

Majlis tersebut dijadualkan berlansung malam esok di Dewan Merbau, Seksyen 17, Shah Alam.

Dalam pada itu, Khalid turut menyatakan bahawa lafaz taklik Dr Hatta Ramli (MP Kuala Kerai) adalah tidak sah kerana ada unsur paksaan.

Dengan bermulanya precedent oleh Khalid dan Mariah, bermakna 10 lagi majlis jamuan beriyani kambing untuk golongan miskin bakal menyusul.

Untuk rekod, 7 ahli parlimen dan 5 Adun telah mengisytiharkan menyertai penubuhan Parti Amanah Negara tajaan GHB.

Menyangkul Adalah Yang Terbaik Buat Mat Sabu


Dari awal lagi kami agak skeptikal dengan kenyataan Mat Sabu dan Gerakan Harapan Baru, untuk menjenamakan semula Parti Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Maka dengan sebab itulah kami merumuskan bahawa Mat Sabu dan GHB perlu memilih samada untuk membentuk entiti politik yang berteras 'Sosialis Islam' atau terus menyertai DAP dan membentuk 'sayap Islam' dalam parti pembangkang berkenaan, (Baca SINI).

Setakat kelmarin, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengesahkan bahawa Pendaftar Pertubuhan belum menerima permohonan pendaftaran Amanah. Malahan,  Nur Jazlan dalam turut menghuraikan bahawa GHB tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi perlembagaan parti pekerja itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

Namun begitu, blog AIDCNews mendedahkan bahawa Wikipedia Parti Pekerja-Pekerja Malaysia telah dikemaskini, dengan memasukkan fakta pengambilalian oleh GHB keatas parti berkenaan.

Berdepan dengan kekangan masa dan menuruti prosedur Pendaftar Pertubuhan, sempatkah GHB menepati sasaran pelancaran Parti Amanah Negara secara rasmi pada 16 September depan?

Kita tunggu dan lihat sejauh mana kemampuan Mat Sabu untuk membuang 'batang cangkul' dari logo rasmi Parti Pekerja-Pekerja Malaysia dan digantikan dengan 'bulan sabit dan bintang' menjelang tarikh tersebut.

Andai gagal, maka menyangkul adalah aktiviti terbaik buat Mat Sabu dan rakan-rakan seperjuangan dalam GHB!

Wednesday, September 2, 2015

"Dia tak ada urusan dengan keluarga saya," Tempelak Dr Hatta Ramli Pada MB Kelantan Berhubung Isu Cerai Talak 3


Dengan penuh yakin, Ahli Parlimen Kuala Kerai Dr Hatta Ramli menafikan dakwaan MB Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bahawa beliau kini secara automatik bercerai talak tiga dengan isterinya, lapor Malaysikini.

Sebaliknya, Hatta secara sinis berkata, "Terima kasih dekat dia (Ahmad) kerana mengaturkan hidup saya. Tak ada apa pun.Biarlah. Dia tak ada urusan dengan keluarga saya."

Dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh Hatta itu, bagai mahu membuktikan bahawa beliau tidak pernah menandatangani dokumen baiah cerai talak tiga, seperti yang didakwa.

Kemungkinan itu ada, memandangkan kedudukan Hatta sebelum ini sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan lantaran itu barangkali pucuk pimpinan telah terlepas pandang, hingga Hatta sendiri tidak menurunkan tandatangan seperti dilakukan oleh calon-calon lain.

Bukan Calang-Calang Orang Bacakan Doa Sempena Penubuhan Sayap Islam DAP


Ustaz Ahmad Awang bukanlah calang-calang orang. Pernah menjadi Pengerusi Persatuan Ulamak Malaysia, malah pernah juga memegang jawatan tinggi dalam sektor awam, disamping yang terbaru pernah menjadi calon Presiden PAS (tetapi tewas) menentang DS Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan PAS pada Jun 2015 yang lalu.

Tokoh ini telah dilihat memimpin bacaan doa sempena pra-pelancaran Parti Amanah Negara yang ditaja oleh Gerakan Harapan Baru (GHB), iaitu kumpulan bekas pemimpin-pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti berkenaan.

Meskipun, Datuk Dr Mujahid Yusuf sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa GHB Gerakan Harapan Baru (GHB) akan mengambil alih parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan bercadang melancarkan semula parti berkenaan (baca SINI), namun kumpulan serpihan PAS berkenaan telah cuba mendaftarkan parti baru atas nama 'Parti Progresif Islam'.

Usaha mereka walau bagai mana pun gagal, kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menolak penggunaan perkataan 'Islam' seperti yang dipohon oleh mereka.

Tanpa kembali kecadangan asal (rebranding keatas KITA), sebaliknya GHB telah mengumumkan secara rasmi pada 31 Ogos lalu, telah memilih sebuah pertubuhan politik dormant, Parti Pekerja yang ditubuhkan oleh Ganga Nayar pada tahun 1978 dan bakal dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (PAN) dengan pelancaran rasmi pada 16 September 2015.

Dalam kenyataan Mat Sabu yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatan Kuasa Penaja, penjenamaan semula Parti Pekerja akan turut membawa kepada pindaan perlembagaan yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan PAN.

Oleh kerana Parti Pekerja masih wujud dalam rekod pendaftaran ROS, bermakna parti berkenaan masih aktif dari segi dokumentasinya.

Namun, timbul persoalan samada penyandang-penyandang jawatan dalam Parti Pekerja berserta dengan seluruh ahlinya merelakan untuk melaku pindaan perlembagaan, dari bersifat perjuangan sosialis kepada perjuangan Islam?

Andai berlaku penolakan oleh majoriti penyandang jawatan Parti Pekerja terhadap teras perjuangan parti yang berlandaskan Islam, apakah pula tindakan GHB selanjutnya?

Dengan hanya berbaki dua minggu menjelang tarikh perlancaran, GHB kini mempunyai pilihan untuk berkompromi menjadi parti 'Sosialis Islam' seperti pari Ba'ath di Iraq, yang pernah dipimpin dalam zaman kegemilangan Saddam Hussein.

Atau pun, mungkin lebih baik secara terang-terangan bergerak dibawah naungan DAP, melalui penubuhan 'Sayap Islam' dalam parti berkenaan!

Tambahan pula dari segi struktur kepimpinan jawatan kuasa penaja PAN, ia adalah jelas mengambi model struktur kepimpinan DAP. Mereka tidak menggunakan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, sebaliknya menggunakan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Naib Pengerusi. Malah seperti juga DAP, PAN juga mewujudkan jawatan Setiausaha Organisasi.

Lihat senarai Jawatan Kuasa Penaja PAN yang mirip model struktur kepimpinan DAP seperti di bawah:-
Penasihat Umum : Ustaz Ahmad Awang 
Pengerusi : Hj Mohammad Sabu 
Timbalan Pengerusi : Hj Salahuddin Ayub 
Naib PengerusiDato' Dr Mujahid Yusof, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus 
Ketua Wanita : Dr Mariah Mahmud 
Ketua Pemuda : Mohd Sany Hamzan
Setiausaha : Mohd Anuar Tahir 
Timb. Setiausaha : Abang Ahmad Kardee Abang Masagus
Bendahari : Hj Asmuni Awi 
Setiausaha Organisasi : Suhaizan Kaiat  
Ahli Jawatankuasa
Dr Mohd Hatta Ramli 
Dr Dzulkefly Ahmad
Ir Khalid Samad
Ir Izham Jashim
Hj Adly Zahari 
Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi
Dato Seri Muhammad Nizar Jamaluddin
Mazlan Aliman 
Aminolhuda Hassan
Mohd Hanipa Maidin 
Dato' Fakhrulrazi Zawawi 
Saari Sungib
Zulkifli Mohd Omar 
Hu Pang Chaw 
Gopalan K Papachan
Dato Wan Abd Rahim Abdullah 
Hasnul Baharuddin

Saturday, August 1, 2015

Tanda Ikatan Seia Sekata Bersama DAP - Geng Mat Sabu Tubuh Parti Baru Bernama DIP?


Menurut laporan BERNAMA, Gerakan Harapan Baru (GHB) akan mengambil alih parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan bercadang melancarkan semula parti itu 31 Ogos ini, dan perkara ini disahkan oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Sebelum ini pun telah didengari soksek-soksek dikalangan ahli-ahli PAS berkenaan ura-ura tersebut, malahan khabarnya akan dilakukan rebranding terhadap parti berkenaan dengan nama 'Democratic Islamic Party' (DIP).

Kalau begitu jadinya, inilah adalah peluang terbaik bagi Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia, TS Abdul Kadir Sheikh Fadzir untuk turut melakukan rebranding keatas parti yang dilancar pada 15 Mei lalu.

Elok benar, parti pimpinan Kadir ditukar nama kepada 'Democratic Unified Party' (DUP) untuk melengkapi entiti 'DAP DIP DUP'!

Friday, July 31, 2015

Masih Sah, Laku & Belum Tamat Tempohkah Tawaran RM1,000 Dari Muhyiddin?

 

Meskipun ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Cheras, pada Ahad lepas telah mengundang kontroversi, namun dicelah ucapan tersebut turut terkandung tawaran RM1,000 kepada ahli-ahli UMNO Bahagian Cheras.

Tawaran berkenaan bukan untuk tiap-tiap ahli UMNO Cheras, sebaliknya khusus kepada ahli yang dapat memberikan idea untuk mencetus wow factor dalam UMNO demi meraih sokongan rakyat kepada parti berkenaan.

Khabarnya Bahagian Kluang dan Kemaman mengambil pendirian untuk meneruskan undangan kepada Muhyiddin untuk merasmikan persidangan tahunan masing-masing.

Soalnya, apakah tawaran Muhyiddin masih sah, laku dan belum tamat tempoh kepada ahli-ahli UMNO Cheras, disamping tawaran baru akan dibuat kepada ahli UMNO di Kluang dan Kemaman?

Wednesday, July 29, 2015

Selang Sehari Cadang Lembaga Pengarah 1MDB Disingkir, Muhyiddin Sendiri Yang Gugur Sebagai TPM


Saya menonton sepenuhnya video ucapan TS Muhyiddin Yassin di Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Cheras, bagi mendapatkan gambaran sebenar, selepas ia menimbulkan reaksi pro dan kontra di media elektronik.

Antara kandungan ucapan Muhyiddin ialah saranan pemecatan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

Hanya berselang sehari saranan pemecatan dibuat (Ahad), pada Selasa Muhyiddin akhirnya digugur jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai orang biasa, saya melihat bahawa meskipun Muhyiddin ketika itu dalam posisi sebagai TPM, rupanya ia tidaklah semantap dan segagah barisan jemaah pengarah 1MDB.

Sasaran Muhyiddin tetap kekal dengan kedudukan masing-masing, sebaliknya beliau yang tersingkir.

Saya cuba mencari kekuatan saf jemaah pengarah berbanding Muhyiddin. Akhirnya, penemuan saya mendapati mereka telah berjaya meningkat asset syarikat kepada RM51.4 bilion hanya dalam tempoh 5 tahun, berbanding modal berbayar hanya RM1 juta.

Amat mengkagumkan juga apabila pihak kreditor dengan begitu yakin memberi pinjaman RM42 bilion kepada syarikat berkenaan.

Terfikir dibenak fikiran saya, seandainya seluruh jemaah pengarah dipinjamkan ke Amanah Ikhtiar Malaysia dan Yayasa Tekun Nasional, pasti akan dapat membantu membasmi kemiskinan melalui skim pinjaman mikro kredit.

Dengan mengambil model dari modal berbayar RM 1 juta 1MDB, dengan jumlah kredit yang berjumlah RM42 bilion, pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil adalah seperti berikut:-

  • Modal RM1 boleh dapat pinjaman RM42 ribu
  • Modal RM10 boleh dapat pinjaman RM420 ribu
  • Modal RM100 boleh dapat pinjaman RM4,2 juta
  • Modal RM1,000 boleh dapat pinjaman RM42 juta
Cuba bayangkan kalau model ini berjaya, berapa banyak keluarga yang dapat dibebaskan dari belengu kemiskinan?

Harap-harap cadangan ini boleh diberi perhatian.

Tuesday, July 28, 2015

4 Ahli Parlimen Hilang Kelayakan Duduki Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negara


Rombakan kabinet oleh PM DS Najib Razak bukan sahaja menyaksikan gugurnya beberapa tokoh termasuk TS Muhyiddin Yassin, namun ia turut membawa kepada hilang kelayakan 4 orang Ahli Parlimen sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, disamping 2 orang anggota PAC iaitu DS Reezal Merican (Timbalan Menteri Luar) dan Datuk Mas Ermiyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan).

Sementara itu seorang lagi anggota PAC Datuk Madius Tangau lebih bernasib baik, apabila dilantik sebagai menteri penuh bagi portfolio Sains, Teknologi dan Inovasi.

Bermakna, siasatan terhada isu 1MDB bakal tertangguh, sementara menunggu perlantikan Pengerusi dan 3 lagi anggota Jawankuasa berkenaan.

Wednesday, June 17, 2015

Setelah Tewas Timbalan Presiden, Mat Sabu Anggap PAS Sebuah Parti Tak Berakhlak


Tergamak betul bekas Timbalan Presiden PAS Mat Sabu, hingga sanggup menganggap PAS sebagai sebuah parti tidak berakhlak.

Dalam himpunan otai-otai reformasi bertempat di Restoran Amjal di Lembah Pantai yang berlansung Ahad lepas, Mat Sabu membuat ikrar bahawa perjuangannya selepas ini adalah membawa akidah seiring dengan akhlak.

Berdasarkan pengalaman atas kekalahannya dalam saingan Timbalan Presiden PAS, kemungkinan beliau nampak dengan suasana tersebut di dalam PAS dan berazam untuk memperbetulkan keadaan.

Dengarkan sendiri kenyataan Mat Sabu berkenaan isu berkenaan SINI.

Maaf! Ini Bukan Salam 1Malaysia Tapi Salam 0-6 Dari Presiden Palestin Kepada Rakyat Malaysia


Banyak ikhtibar yang boleh yang boleh diambil dari kekalahan 0-6 Malaysia kepada Palestine dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

Soal semangat juang, kerja berpasukan, memandang enteng pihak lawan dan yang lebih penting adalah soal maruah.

Bukan mengungkit tetapi sekadar untuk renungan, meski pun ada sumbangan Malaysia memberi makan mahu pun memberi sebiji bola untuk ditendak oleh anak-anak Palestin, namun itu semua bukan jadi pertimbangan untuk pemain-pemain Palestin, bila bertembung dengan Harimau Malaya di atas padang!

Tuesday, June 16, 2015

Akhirnya Dengan Bantuan Adun PAS, Lim Guan Eng Berjaya Tumbangkan Kuasa Eksekutif Kerajaan Islam Selangor!


Hari ini, secara rasmi Setia Usaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, selepas DAP mengambil pendirian menerima keputusan Muktamar PAS 2015 yang memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Dalam pada itu, Lim turut membuat gesaan kepada MB Selangor supaya “membentuk semula” kerajaan negeri Selangor, yang bermaksud secara langsung mengenepikan wakil PAS sebagai sebahagian kuasa eksekutif kerajaan Selangor.

Mungkin setelah membuat pertimbangan dan menilai kekuatan, Lim dengan berani dan yakin membuat gesaan di atas.


Keyakinan beliau timbul apabila 2 Adun PAS iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Mohd Hasnol Baharuddin (Morib), (foto atas kiri dan kanan Lim Kit Siang) sedang dalam 'keterlenaan', gara-gara dijulang sebagai hero ketika kedua-dua Adun berkenaan bertindak melanggar arahan pucuk pimpinan PAS untuk tidak menyokong DS Wan Azizah, dalam kemelut perlantikan MB Selangor bagi menggantikan TS Khalid Ibrahim.

Komposisi DUN Selangor yang dianggotai oleh 56 Adun adalah diwakili oleh DAP (15), PAS (15), PKR (13), BN (12) dan Bebas (1).

Jika PAS disingkir dari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bermakna kedudukan akan menjadi PR (28), PAS (15), BN (12) dan Bebas (1).

Secara matematikalnya, kelihatan bahawa DUN Selangor bakal tergantung tanpa majoritu. Namun begitu, dengan keyakinan Lim yang 2 Adun PAS bakal belot sekali lagi, maka PR akan membentuk majoriti mudah dengan 30 kerusi berbanding 26.

Akan tetapi, tindakan tersebut akan memberikan impak kepada hilangnya penguasaan politik Melayu/Islam dalam badan eksekutif dan perundangan Selangor.

Perhatikan data-data berikut.

Populasi Selangor adalah terdiri dari Melayu (57.1%), Cina (28.6%), India (13.5%) dan lain-lain bangsa (0.8%) yang membentuk 5.4 juta penduduk.

Dalam pada itu, komposisi mengikut agama ialah Islam (57.9%), Kristian (3.8%), Buddha (24.4%), Hindu (11.6%) dan lain-lain anutan (2.3%).

Tambah menarik, komposisi Adun PR mengikut agama akan mementuk DAP (Islam 0, Bukan Islam 15), PKR (Islam 10, Bukan Islam 3) dan 2 Adun PAS yang mungkin belot membentuk (Islam 2).

Bermakna secara kesuluruhan bilangan Adun PR yang menguasai kerajaan ialah Islam (12) berbanding bukan Islam (18)!

Maka, dari angka tersebut dirumuskan bahawa penguasaan badan eksekutif tidak lagi dibawah orang Islam.

Sebaliknya, diandaikan Adun Hulu Klang dan Morib memilih untuk mematuhi keputusan parti, kedudukan kerusi bakal menjadi 28-28, yang bermakna tanpa majoriti.

Kini terpulang kepada Azmin untuk memilih, samada untuk bersekongkol membentuk kerajaan majoriti bukan Islam di Selangor atau membubarkan DUN.

Sementara bagi Saari dan Hasnol, jika memilih untuk terus khianat kepada PAS, maka mereka juga bersengkongkol dalam merealisasikan impian DAP untuk menjatuh kerajaan Melayu/Islam di Selangor.

Monday, June 15, 2015

Walhal Agen DAP Kelantan Dah Tahu Persoalan Hukum Tapi Wakil Rakyat Islam PKR Masih Nak Minta Dalil Al-Quran


Rasanya tidak perlulah Ahli Parlimen PKR Johari Abdul mencabar UMNO, khususnya Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Dato' Seri Mustapa Mohamad supaya membuktikan dalil Al-Quran yang melarang pembinaan masjid oleh orang bukan Islam, kerana ia lebih menyerlahkan kejahilannya.

Cabaran Johari dibuat ekoran dari komen Mustapa yang menyifatkan cadangan DAP untuk membina masjid di Pasir Tumboh, Gua Musang sebagai penghinaan satu penghinaan kepada umat Islam.

Selain Johari, Ahli Parlimen Islam DAP Arif Sabri turut menyelar komen Mustapa berkenaan dan kenyataan-kenyataan tersebut boleh diamati dalam video di bawah:-


Berbalik kepada perkara pokok, respons Mustapa tentunya berasaskan tajuk berita Malaysiakini berikut;


Walhal, DAP melalui agennya di Kelantan iaitu NGO Gabungan Impian Kelantan kelihatan kelam kabut dengan pembetulan kenyataan melalui laman media sosialnya (SINI).


Mungkin Johari dan Ariff Sabri tidak pernah mendengar kisah arahan perobohan Masjid Dhirar oleh Rasulullah, namun persoalan Johari dengan sendirinya terjawab di SINI.

Beranikah Lim Kit Siang Teruskan Pembinaan Masjid DAP Di Kelantan? Yang Pasti, Kerajaan PAS Akan Robohkan


Sabtu lalu, A. Samad Said telah secara rasmi disahkan sebagai ahli DAP yang pengumumannya sengaja dibuat di negeri majorit Melayu/Islam Kelantan.

Turut dilaporkan ialah kesanggupan Samad untuk menjadi hamba DAP.

Dalam pada itu, DAP juga telah mengumumkan akan membina sebuah masjid di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang.

Apakah DAP akan dapat merealisasikan cadangan tersebut?

Jika disandarkan pada sirah Rasulullah, baginda pernah dijemput untuk merasmikan sebuah masjid yang dibina oleh puak munafik.

Namun, Alllah s.w.t menurunkan larangan beribadah di masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar tersebut, melalui firmannya yang bermaksud;
Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. (At-Taubah 107)
Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (At-Taubah 108)
Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.(At-Taubah 109)
(Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah 110)
Mengambil kira perpecahan dalam PAS pasca Muktamar 2015, tentunya pimpinan MB Dato' Ahmad Yaakob akan menyemak ciri-ciri Masjid Dhirar yang antara lain adalah bakal memudharatkan ummah, mendedahkan kekufuran dikalangan kaum muslimin, disamping memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam di Kelantan.

Justeru, pasti Kerajaan PAS Kelantan akan menentang cadangan DAP tersebut.

Thursday, February 5, 2015

Najib & Last Mile Connectivity - Apa Benda Tu?


Pada 20 Januari 2015 yang lalu, Perdana Menteri DS Mohd Najib Abdul Razak melalui perutusan khasnya, telah memberi taklimat dan menjelaskan perkembangan ekonomi semasa negara rentetan dari terbitnya kebimbangan ekoran dari kejatuhan harga petroleum dan penurunan nilai ringgit.

Dalam membentangkan langkah-langkah khusus dan proaktif dalam meletakkan kedudukan ekonomi Malaysia (yang keseluruhannya anda boleh baca SINI) kekal pada landasan sebenar, PM antara lain telah menyatakan secara khusus untuk menambah baik 'last mile connectivity' ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik, bagi mempercepatkan pelaksanaan logistik dan fasilitasi dagangan.

Seperkara yang perlu diakui oleh pembuat-pembuat dasar, mereka perlu mengakui bahawa mereka telah terlepas pandang terhadap potensi Pelabuhan Klang sebagai transhipment hub untuk menyaingi Singapura di rantau ini. (Rujuk ulasan sebelumnya SINI).Walhal sepatutnya ia lebih awal dimasukkan dalam program transformasi ekonomi 'Greater KL/Klang Valley'.

Perlu diingatkan bahawa antara inisiatif Greater KL/KV ialah 'Greater KL Connect', namun ia hanya memberi tumpuan kepada menghubungkan KL - Singapura dengan sistem keretapi berkelajuan tinggi dan pembinaan sistem rel bandar bersepadu (MRT).

Oleh yang demikian, jika PM benar-benar mahu melihat kejayaan Pelabuhan Klang sebagai transhipment hub, maka sewajarnya ia dimasukkan sebagai sebahagian dari inisiatif Greater KL Connect yang termaktub dalam perancangan Greater KL/KV.

Bukan itu sahaja, inisiatif 'Greater KL Connect' akan menjadi lebih memberikan impak besar jika sistem rel dipertingkatkan bukan sahaja ke Singapura, tetapi turut memasukkan hubungan ke Padang Besar di sebelah utara.

Greater KL/KV merangkumi 10 PBT seperti ditunjukkan oleh peta di bawah:-


Andai inisiatif 'last connectivity ke Pelabuhan Klang' dimasukkan dalam program Greater KL/KV, saya berpandangan Majlis Daerah Kuala Langat wajar dimasukkan sebagai PBT ke 11 dikalangan PBT awal yang dirancang.

Cadangan ini adalah mengambil kira kepada jajaran Ekspressway Lembah Klang Selatan turut melintasi kawasan PBT berkenaan. Malah, kawasan berkenaan juga mempunyai potensi untuk berperanan dalam menyumbangkan matlamat yang diimpikan oleh PM.

Monday, February 2, 2015

Apa Kena Mengena Husam Dengan Pusat Karaoke Di Ipoh?


Hairan juga apabila tiba-tiba sebuah pertubuhan atas nama Gabungan Impian Kelantan (GIK) ditubuhkan, dengan dakwaan dianggotai oleh 39 NGO dan pertubuhan politik.GIK dilaporkan telah melantik Naib Presiden PAS, Husam Musa sebagai Ketua Eksekutif, menurut laporan dalam blog Lim Kit Siang.

Malahan DAP secara lebih serius menubuhkan satu Jawatan Kuasa peringkat parti, diketuai oleh Anthony Loke serta turut dianggotai oleh Teresa Kok, Liew Chin Tong, Vincent Wu, Young Syefura dan Dr Tajuddin Shaffee.

Bila disebut sebagai Ketua Eksekutif oleh Lim Kit Siang, apakah bermakna Husam mendapat imbuhan dari DAP?


Seperkara yang menarik, samada kebetulan atau dirancang, sebuah syarikat yang berdaftar di Ipoh 'Gabungan Impian Sdn Bhd' merupakan syarikat yang menjalankan aktiviti karaoke, dibawah jenama 'K Box Karaoke'.

Maka ini menimbulkan tanda tanya, apakah GIK (Gabungan Impian Kelantan) punya kaitan dengan Gabungan Impian Sdn Bhd (pemilik K Box Karaoke)?


Harap-harap janganlah dari bilik ini tercetus idea melahirkan GIK!