Dari idea asal dari Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang, Kongres Rakyat dijadualkan bakal berlansung pada 12 September 2015, bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Berkonsepkan 'Dari Rakyat Untuk Rakyat', kongres berkenaan bermatlamatkan pengumpulan usul dan pandangan dalam merangka pelan tindakan membina negara yang sejahtera, disamping membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi dan ketidakstabilan poltik yang menggugat kemakmuran negara.
Meskipun dari segi tugasan pengelolaan diserahkan kepada NGO dan dipengerusikan oleh Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid (baca SINI), peranan PAS dalam menjayakan program berkenaan adalah amat besar.
Dalam wawancara Harakah Daily dengan Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad (klik SINI), menyatakan betapa kehadiran UMNO/BN ke kongres adalah sepatutnya, untuk mendengar sudut pandangan dari rakyat.
Bagi berlaku adil, sewajarnya Idris turut memberi akuan untuk memberi ruang kepada UMNO/BN turut sama, samada memberi pandangan mahu pun mempertahankan dasar-dasar yang sedang dilaksanakan oleh mereka, atas kapasiti pengendali kerajaan yang sedia ada.
Apatah lagi seperti disebutkan oleh Naib Presiden PAS berkenaan, resolusi kongres akan dipanjangkan kepada kerajaan disamping untuk edaran rakyat.
Dalam pada itu perlu diingat, bahawa kongres seumpamanya pernah diadakan pada 11 Mac 1946, di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru, Kuala Lumpur yang disertai oleh 41 pertubuhan Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Kongres Melayu Pertama.
Meskipun ia atas nama Kongres Melayu bukanlah bermakna ia adalah kongres berbentuk perkauman, kerana sesuai pada masa itu orang Melayu adalah rakyat kepada Raja-Raja Melayu, sementara orang Cina dan India masih lagi samada sebagai pendatang, atau pun rakyat British di Negeri-Negeri Selat.
Bertitik-tolak dari kongres berkenaan, resolusi yang dicetuskan ialah:-
1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO
2. Membantah Penubuhan Malayan Union
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu
Berbalik kepada Kongres Rakyat tajaan PAS, jika benar pelawaan terhadap UMNO/BN dan adalah ikhlas dalam penyelesaian permasalahan rakyat dan penyelesaian konflik politik, adalah molek jika mereka mengutus jemputan secara rasmi kepada UMNO/BN.
Mungkin ini adalan titik tolak kearah penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dikemukakan, disamping mencari titik persamaan dalam kepelbagaian pandangan kerana rakyat terbanyak sudah letih dengan politiking yang keterlaluan.
Atau, siapalah tahu kemungkinan resolusi yang dihasilkan akan menjadi pembaharuan terhadap Kongres Melayu Pertama 1946?
No comments:
Post a Comment