Menurut The Heat Malaysia, bukanlah suatu rahsia bahawa berlaku perselisihan pendapat antara KM Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan MB Selangor Dato' Seri Azmin Ali dalam memilih sekutu, iaitu samada PAN atau PAS.
Meskipun Pakatan Rakyat secara umumnya telah digantikan dengan Pakatan Harapan diperingkat nasional, namun Azmin masih mengekalkan status quo berasaskan model Pakatan Rakyat tanpa membuang PAS sebagai sebahagian komponen pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Sebaliknya, Guan Eng melaksanakan persefahaman yang diikat melalui Pakatan Harapan dengan melakukan pembersihan dengan membuang satu demi satu anggota PAS dari pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.
Walau pun kedua-dua DAP dan PKR bukanlah memiliki jumlah kerusi yang mutlak untuk memerintah secara bersendirian di Pulau Pinang dan Selangor, namun pertembungan antara gerak tai chi Guan Eng dengan jurus silat Azmin, kelihatan Setia Usaha Agung DAP itu lebih kedepan berbanding Timbalan Presiden PKR tersebut.
Dalam DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, komposisinya adalah terdiri dari DAP (19), PKR (10), PAS (1) dan pembangkang BN (10). Bermakna jika DAP yang mempunyai 19 kerusi memilih untuk memutuskan hubungan dengan PKR, mereka masih belum boleh menubuhkan kerajaan.
Menyedari hakikat ini, tidak hairanlah Guan Eng mengambil pendekatan untuk tidak membuang Adun tunggal PAS (Permatang Pasir) Datuk Mohd Saleh Man sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Malah, Adun PAS berkenaan mengisytiharkan sebagai mesra kerajaan DAP Pulau Pinang.
Guan Eng mengambil kesempatan dari tindakan 5 Adun PKR yang berkecuali terhadap usul BN di sidang DUN Pulau Pinang November lepas, berhubung isu tebus guna 2,600 hektar tanah, KM itu telah melaga-laga kepimpinan PKR Pulau Pinang dengan dakwaan kononnya wujud komplot yang hendak menggulingkan kedudukan Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai Timbalan Ketua Menteri I (TMKI). Malah, Guan Eng telah memberi amaran bahawa pihaknya hanya mengiktiraf Rashid sebagai TMKI Pulau Pinang.
Tindakan Guan Eng sengaja melaga-lagakan dalaman PKR, tidak lain adalah bertujuan untuk memancing Rashid Hasnon supaya kekal menyokongnya, seperti yang dilakukan terhadap Saleh Man. Tidakkah pelik bila Saleh membuat pendirian kekal bersama PAS, tetapi sebelah kakinya disandarkan kepada DAP?
Dengan mengikat Rashid dan Saleh, maka kedudukan Guan Eng akan mendapat sokongan 21 Adun (DAP-19, PKR-1 dan PAS-1). Sesungguhnya itu sudah memadai baginya untuk mendapat majoriti mudah dalam DUN Pulau Pinang, andai hubungannya dengan Azmin gagal dipulihkan.
Dalam pada itu sebagai langkah jangka panjangnya, portal The Heat Malaysia melaporkan DAP sedang giat memperkukuh dan meluaskan pengaruhnya di kawasan-kawasan DUN PKR yang diwakili oleh Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban), kerana mereka ini adalah 4 dari 5 Adun PKR yang berkecuali terhadap usul BN yang disebut di atas. Sementara seorang lagi Adun PKR yang berkecuali ialah Dr Norlela Ariffin (Penanti), yang merupakan kawasan majoriti Melayu.
Hakikatnya ini adalah pendekatan awal DAP dalam menghadapi sebarang kemungkinan, sebagai persediaan bergerak tanpa PKR dalam PRU14.
Meski pun dari kiraan ini jelas bahawa Azmin ketinggalan dari segi strategi kepada Guan Eng, namun tidaklah bermakna tiada sebarang tindak balas dari MB Selangor itu. Strategi Azmin dalam mengekang Guan Eng melalui tindak balas di Selangor akan dijelaskan yang bakal menyusul pada bahagian 2 berikutnya.
Sesungguhnya pertembungan ini amat menarik kerana antara Guan Eng dan Azmin, masing-masing adalah berkelulusan perakaunan dan seorang lagi dalam bidang matematik!
1 comment:
Rasanya LGE jadi lawyer kat Melaka sebelum jadi CM Penang.
Post a Comment