Sunday, November 13, 2011

Muslihat AMANAH - Ku Li Dah Aktifkan 'Time Bomb"?

Awalnya, saya tidak mahu bersangka buruk terhadap Angkatan Amanah Merdeka yang ditubuhkan oleh Ku Li dan disokong dan dibantu oleh bekas-bekas pemimpin BN.

Namun apabila kenyataan Timbalan Presiden Penaja Dato Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir di laman web AMANAH, membuatkan rasa terpanggil untuk meneliti dan mengkaji matlamat AMANAH yang mendakwa bergerak sebagai NGO.
Dakwaan dan kenyataan yang dibuat oleh Abdul Kadir amat berat dan cuba untuk memberikan persepsi yang tidak baik kepada UMNO yang beliau sendiri pernah duduk di barisan tertinggi disamping pernah duduk sebagai anggota kabinet. Kenyataan beliau, pada hemat saya adalah bertujuan untuk memberikan persepsi negatif terhadap UMNO dan BN.

Persoalannya mengapa sekarang baru beliau tunduk memandang ke bawah, walhal sebelum ini adalah antara pemimpin-pemimpin UMNO yang sering mendongak dan tidak mempedulikan apa yang berlaku di bawah. Sepatutnya beliau membantu PM DS Najib Razak dalam membawa suatu arus perubahan dalam UMNO dengan menghakis dan melupuskan persepsi rakyat yang UMNO adalah parti yang rasuah.

Tidak dinafikan bahawa kenyataan Abdul Kadir adalah berasaskan pengalaman peribadi beliau. Jangan abaikan yang keluarga "Fadzir" dan keluarga bapa saudaranya "Faudzar", diketika Abdul Kadir sebagai anggota kabinet, begitu rancak membina empayar perniagaan. Cukup sekadar menyebut Gold Bridge Berhad dan Aseania Corporation Berhad adalah contoh-contoh pemilikan keluarga "Fadzir" dan "Faudzar".

Perhatikan dibawah, bagaimana perniagaan Gold Bridge yang berkitar dikalangan ahli keluarga mereka.

Tidak cukup dengan penguasaan dalam perniagaan, mereka juga menguasai politik dengan nama-nama seperti Musa Sheikh Fadzir, Haidar Sheikh Fadzir, Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Omar Faudzar yang masing-masing memegang jawatan samada diperingkat bahagian dan pemuda disaat-saat Abdul Kadir sendiri yang berada dipuncak.

Berbalik kepada kenyataan pedas Abdul Kadir terhadap UMNO, saya berpandangan ini adalah percubaan untuk menghidupkan bom jangka.

Cuba teliti perlembagaan AMANAH di SINI. Dari segi formasi organisasi ternyata bahawa AMANAH adalah berbentuk nasional dan begitu mirip dengan struktur yang lazim digunakan oleh parti-parti politik di negara ini.

Satu perkara yang amat menarik dalam perlembagaan AMANAH ialah pada fasal 22 yang menyebut:-

FASAL 22 FUNGSI PERTUBUHAN

(i) Pertubuhan ini boleh menukarkan objektif dan fungsinya dengan persetujuan tidak kurang daripada 50% jumlah ahli-ahli Majlis Pusat yang hadir mesyuarat.

Lihat betapa longgarnya klausa di atas, yang hanya memperuntukkan objektif dan fungsi AMANAH boleh dipinda, memadai sekadar di mesyuarat Majlis Pusat dan bukannya melalui Mesyuarat Agong Luar Biasa.

Tidakkah ini merupakan yang AMANAH pada bila-bila masa boleh berfungsi sebagai parti politik oleh kepimpinan tertingginya? Inilah sebenarnya bom jangka yang dikatakan dan ia boleh meletup bila-bila masa.

Barangkali Ku Li ingin menambah bilangan individu negara ini, disamping Anwar yang berangan menjadi PM selepas Najib!