Wednesday, November 2, 2011

Masihkah Kau Ingat Wahai A. Samad Said Pada Hentian Bas Klang?


Pasarama Kota atau Hentian Bas Klang telah ditamatkan operasinya mulai 1/11/11, selepas 41 tahun memberi perkhidmatan. Penutupannya adalah untuk memberi laluan kepada projek My Rapid Transit (MRT).

Saya adalah pengguna setia hentian ini yang suatu ketika dulu turut dikenali sebagai "Toshiba Bus Stand" kerana terdapatnya papan iklan Toshiba di puncak bangunan tersebut. Saya berulang alik ke tempat kerja (Pelabuhan Klang - KL) selama 6 tahun bermula 1985 - 1991.

Biasanya, saya akan singgah untuk bersarapan roti canai di warung di belakang bangunan berkenaan. Kadang-kadang, apabila malas berasak-asak untuk menaiki bas pulang ke rumah, singgah untuk makan mi rebus di warung yang sama.

Dari hentian ini, saya menyusuri Central Market untuk ke pejabat di Medan Pasar dan adakala termuntah kerana tak tertahan bau ayam yang diproses disisi bangunan pasar tersebut. Pasar tersebut tidak wujud lagi, kini menjadi Pasar Seni yang bukan lagi menjual sayur, buah, ikan, daging dan ayam.

Dimusim pertandingan bolasepak, saya dan rakan-rakan akan berasak-asak di hentian ini untuk menaiki bas selepas pulang menonton bola sepak samada melibatkan Selangor mahupun Malaysia di Stadium Merdeka.

Para pencopet juga menjadikan hentian ini sebagai tempat aktiviti mereka. Saya biasa melihat wanita baru tersedar yang beg tangannya telah ditoreh atau diseluk oleh pencopet.

Juga, menjadi pemandangan biasa orang ramai berkerumun mendengar celoteh penjual ubat dan kadangkala peramal-peramal nombor ekor menjual temberang. Bagi mereka yang terpengaruh, akan membeli ubat atau ramalan nombor tersebut.

Sudah 20 tahun saya tidak menjejaki hentian tersebut, lantaran tidak lagi bekerja di KL disamping memandu kenderaan sendiri atau pun sebenarnya lebih selesa menggunakan komuter KTM apabila perkhidmatan tersebut mula diperkenalkan. Malah sebenarnya saya tidak menyedari hentian ini telah dikenali sebagai Hentian Pasarama Kota, sehingga penutupannya diumumkan oleh pihak media.

Seperkara yang menjadi kenangan saya di hentian ini ialah sering ternampak kelibat A. Samad Said yang menggunakan perkhidmatan bas untuk berulang alik ke tempat kerjanya di NST, Bangsar. Apakah A. Samad Said akan memprotes pemindahan operasi ke Pudu Sentral? Rasanya pasti tidak, kerana seperti saya, beliau tidak lagi menggunakan hentian ini.

No comments: