Pelik juga apabila Dr Halimah Ali, Ahli Exco Negeri Selangor memohon rakyat membaca doa qunut nazilah hanya semata-mata untuk menolak perlantikan Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor. Bencana dan bala apa yang bakal dibawa oleh Khusrin kepada rakyat Selangor?
Sedarkah Dr Halimah bahawa perselisihan pendapat itu rahmat? Rakyat Selangor , khususnya dalam berdepan dengan kemelut dan krisis perlantikan SUK Selangor serta persaingan pengaruh antara BN dengan PR, hakikatnya tidak rugi apa-apa. Malah persaingan tersebut member keuntungan kepada rakyat.
Tentu Dr Halimah tentu masih ingat bilamana kawasannya sendiri dibantu oleh kerajaan persekutuan semasa ribut melanda. Sekurang-kurangnya, dengan bantuan tersebut maka ringanlah bebanan Dr Halimah dan kerajaan negeri.
Tanpa Dr Halimah sedari, ada sesetengah kampung mempunyai jalinan yang akrab antara JKKK Negeri dan JKKK Persekutuan. Malah tidak pelik apabila melihat, Pengerusi JKKK (N) dan (P) boleh naik satu motor ronda keliling kampung.
Alhamdulillah, kami di Selangor sebenarnya dalam keadaan yang sentiasa untung. Bayangkan, kalau Wakil Rakyat PR tak boleh bantu kami, kami boleh mengadu dengan Penyelaras DUN BN. Begitu juga sebaliknya, jika Wakil Rakyat BN tak boleh tolong, kami boleh dapatkan pertolongan Penyelaras DUN BN. Malah, kami juga boleh memohon bantuan dari Penyelaras Parlimen BN disamping para Senator yang dilantik oleh BN. Cuma kami tak pernah cuba untuk memohon peruntukan dari Ahli Parlimen PR kerana rasanya mereka tidak ada peruntukan. Melainkanlah, kot-kot kerajaan negeri ada salurkan peruntukan tapi mereka buat tak tahu sahaja.
Syukur pada Allah kerana melimpahkan rakyat Selangor dengan kemewahan. Dalam kemelut ini, rasanya yang rugi ialah Dr Halimah sendiri serta rakan-rakan sejawatnya kerana bakal kehilangan elaun sebagai Exco Kerajaan Negeri. Justeru, kenapa perlu babitkan rakyat kerana takutkan kehilangan kuasa dan kepentingan peribadi? Rakyat dah bagi undi semasa PRU pun dah cukup baik buat Dr Halimah!
No comments:
Post a Comment