Dari pemerhatian saya, kegagalan penyebaran ideologi UMNO kepada generasi muda adalah berpunca dari kegagalan UMNO untuk menerangkan aspirasi perjuangan UMNO. Satu kenyataan yang harus ditelan oleh para pemimpin UMNO, kaedah pengkaderan keahlian baru UMNO tidak diisi dengan aspirasi perjuangan dan ideologi parti. Penambahan keahlian lebih fokus kepada pengukuhan kekuasaan dalam parti, tidak kiralah samada di peringkat cawangan mahu pun bahagian.
Ramai yang tidak menyedari bahawa Fasal 3.3 perlembagaan UMNO telah meletakkan asas dan tujuannya dengan menyebut "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama." Oleh yang demikian, saya tidak nampak yang UMNO membelakang Islam dalam perjuangannya. Semasa PRK Sanggang, Pahang pada tahun 2000, perkara ini pernah saya hujahkan kepada 2 orang anak muda penyokong PAS yang kebetulan duduk semeja di sebuah gerai di Mentakab. Mereka mengakui tidak menyedari perkara tersebut.
Kalau nak dikatakan UMNO sebagai sebuah parti Melayu tidak juga. Suka diingatkan artikel 160(2), Melayu ditafsirkan sebagai beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu dalam kehidupan. Maknanya, asalkan seseorang itu Islam dan mengamalkan adat resam Melayu maka dia diiktiraf sebagai Melayu. Begitu juga sebaliknya, jika seseorang Melayu keluar dari agama Islam maka gugur kedudukan istimewa sebagai seorang Melayu.
Sebagai sebuah parti yang telah bertapak, dari segi struktur organisasinya ia lebih efficient dan teratur. UMNO beroperasi secara tersusun dan pejabat-pejabat bahagiannya menjadi pusat perkhidmatan masyarakat, meskipun ada sesetengah kawasan parlimen mahu pun DUN bukan diwakili oleh UMNO.
Secara perbandingan, saya pernah dalam suatu masa duduk didalam UMNO dan pertubuhan belia secara serentak. Saya dapat membezakan dari segi pentadbiran organisasi UMNO lebih tersusun. Saya pernah melihat, borang-borang keahlian belia yang sebeban banyaknya tidak dihantar oleh sekretariat ke ibu pejabat. Sebaliknya terperap di pejabat kawasan.
Terus terang saya katakan bahawa bekas pengerusi belia yang saya sertai itu, kini menjadi YDP PAS sebuah kawasan di Selangor. Oleh kerana saya pernah bersamanya didalam NGO, timbul keraguan saya, malah tidak keterlaluan untuk saya nyatakan berkemungkinan ada unsur-unsur yang tidak sehat semasa beliau memperolehi jawatan tersebut. Untuk makluman, beliau mengalahkan seorang MP dalam pemilihan jawatan YDP kawasannya.
Generasi muda juga perlu tahu bahawa PAS dan PKR yang menjadi saingan UMNO pada hari ini adalah lahir dari serpihan UMNO sendiri. Bahkan Semangat 46, yang suatu ketika menjadi saingan UMNO diera 90an juga lahir dari batang tubuh UMNO. Sebenarnya baik Semangat 46, PAS dan PKR diwujudkan oleh sekumpulan ahli yang merajuk. Namun, dengan izin Allah Semangat 46 telah bercantum semula dengan UMNO dipertengahan 90an, atas inisiatif Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh sendiri. Malah penyertaan Semangat 46 juga sebenarnya tanpa syarat diatas kesedaran perpaduan dan kekuatan politik Melayu.
Apalah erti perjuangan orang yang merajuk, kemudian menubuhkan parti lain yang kemudiannya menjadi saingan dan menggigit UMNO. UMNO tetap begitu juga, silih berganti pemimpin namun mengekalkan idealisme perjuangan yang sama. Cuma, mungkin dari segi perlaksanaan dan stail kepimpinan sahaja yang berbeza.
Perlu diberitahu kepada anak-anak muda, biasanya yang berminat menjadi pembangkang sememangnya sifat semula jadi membangkang. Itu sebabnya kebanyakan mereka sebenar adalah dikalangan orang tidak rasional dan beranggapan diri mereka sahaja yang betul. Cuba perhatikan grup disekeliling anda, samada yang formal atau yang informal, mereka yang sentiasa mencari salah biasanya tidak sehebat mana visi dan kerja mereka. Namun begitu, sama-samalah kita doakan dan dengan izin Allah juga suatu hari nanti pintu hati mereka akan terbuka untuk menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan mereka.
(Akan bersambung)
No comments:
Post a Comment