Satu komen yang berbentuk soalan di entri saya di SINI. Komen beliau berbunyi:-
"Anonymous said... apa pandangan tuan dalam menyampaikan ideologi politk umno itu sendiri..sekiranya tuan mengatakan umno itu parti yang betul..bagaimana kita nak menyampaikan ideologi itu kepada belia2 dan pemuda pemudi supaya tidak tersalah dalam berpolitik"
Sebelum saya menjawab persoalan tersebut, saya ingin menceritakan pengalaman saya sebelum membuat keputusan memihak dan menyertai UMNO.
Saya sebenarnya lahir sebagai anak Ketua Cawangan UMNO dan ayah saya di kenali dikalangan penduduk tempatan. Meskipun lahir sebagai anak pemimpin kerdil UMNO dan membesar hingga menjangkau usia dewasa sebagai anak pemimpin akar umbi UMNO, namun naluri saya diperingkat awal sebenarnya berlawanan dengan wadah perjuangan arwah ayah saya.
Sebenarnya, minat awal saya terhadap politik, yang bermula diawal remaja lagi lebih cenderung kepada fahaman sosialis. Ketika itu fahaman sosialis begitu meluas di dekad 70an. Buletin rasmi parti PSRM (ketika itu dipimpin oleh Dr Kasim Ahmad), 'Mimbar Sosialis' sering saya beli dan baca.
Kemudian saya diperkenalkan pula dengan politik Islam, oleh guru saya yang pernah aktif didalam PKPIM (Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia). Oleh kerana saban hari diasak dengan fahaman tersebut, sedikit sebanyak mempengaruhi pendirian saya dalam hal politik. Di situlah saya diperkenalkan dengan Anwar Ibrahim bekas pemimpin PKPIM dan ABIM. Rasanya, tidak salah saya menyimpulkan yang PKPIM merupakan feeder kepada ABIM.
Pada masa yang sama, saya menyaksikan kemunculan Pemuda UMNO sebagai kumpulan pendesak dalam UMNO dibawah kepimpinan Dato' Harun Idris, sehingga menimbulkan keresahan kepada pucuk pimpinan UMNO sendiri. Dari keadaan itulah yang mencetuskan pertembungan idealisme antara generasi didalam UMNO.
Diperingkat ini juga PAS dan UMNO masih sebumbung dibawah payung Barisan Nasional. Hinggalah krisis di hujung 70an, PAS akhirnya disingkir dari Barisan Nasional dan mulai itulah pertembungan PAS dengan UMNO berlansung hingga ke hari ini.
Awal 80an menyaksikan perkembangan baru dalam media pembangkang khususnya PAS. Ucapan-ucapan pemimpin muda PAS di era tersebut seperti Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Hadi Awang, Ustaz Nakhaie dirakam dalam bentuk kaset dan terjual dengan larisnya. Khusuk mendengar ucapan-ucapan mereka. Malah saya masih ingat, sebuah majalah antarabangsa
telah menamakan Hadi Awang sebagai "The Best Orator Of The Year". Di era ini juga, kelihatan pengaruh Dato' Asri Muda mula tenggelam.
Dek kerana dipengaruhi suasana dan persekitaran politik yang sedemikian, saya terkial-kial mencari arah. Walhal kalau diikutkan berdasarkan latar belakang keluarga, tentunya saya telah menyertai UMNO kerana semula jadinya lahir dan membesar serta menjadi dewasa sebagai anak seorang pemimpin UMNO.
Apa yang saya ceritakan, sebenar masih belum lagi menjawab soalan Anonymous di atas. Sebaliknya, ia sekadar penceritaan awal terhadap jawapan yang bakal saya hujahkan kemudian nanti. Insyallah, saya akan menyambung dengan jawapan terhadap persoalan, bagaimana hendak menyampaikan ideologi terhadap golongan muda supaya tidak tersalah pilih dalam politik.
No comments:
Post a Comment