NAJIB: Kita sekarang belum lagi muktamad (mengenai calon). Kita mesti membuat penilaian secara objektif, bukan sahaja subjektif. Ini yang paling penting sekali. Calon yang dipilih bukanlah orang yang kita sukai secara peribadi, tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan.
Soal menentukan calon ini adalah satu soal yang sangat mencabar dan sukar dilakukan. Mustahil kita dapat memberi kepuasan kepada semua orang . Mengikut pengalaman saya selama 35 tahun dalam politik, tidak pernah berlaku dalam pilihan raya (membuat keputusan mengenai calon yang memuaskan semua pihak).
Tetapi apa pun keputusan yang dibuat parti, pada kesudahannya kita kena terimalah sebagai orang berparti keputusan parti, walaupun tidak mengikut selera atau kehendak kita.
Dan saya telah mengalami banyak peristiwa di mana saya lihat orang yang setia kepada parti, walaupun keputusan yang dibuat parti tidak disenangi, tetapi dia terima. Tapi jika diterima keputusan itu calon itu akan menang, tetapi sebaliknya kalau dia terus menentang dia hendak kata apa hendak jadi jadilah, aku nak menentang. Jadi maknanya dia tidak setia pada parti, dan calon itu kalah dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan kehilangan kuasa.
Sepatutnya apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008 di mana kita (BN) tewas lima buah negeri adalah satu pengajaran yang seharusnya tidak dilupai oleh kita. Dan akibat daripada punca kekalahan itu mesti kita sedar. Saya tidak menafikan kadang-kadang kita tidak dapat memuaskan hati semua penyokong kita di peringkat bahagian, sebab itu saya kata sejak awal lagi mustahil kita memberi kepuasan 100 peratus kepada ahli dalam satu bahagian sebab di peringkat bahagian, mereka pun tidak sependapat.
Apa yang harus ada ialah disiplin parti dan kesetiaan kepada parti. Maknanya bila sampai pada masanya keputusan itu (pemilihan calon) diterima, disokong dan terus dipertahankan oleh setiap ahli parti.
(Dipetik dari Utusan)
No comments:
Post a Comment