Dalam menjangkakan PRK di DUN Pelabuhan Klang, takdir Allah menentukan PRK DUN Merlimau bakal mendahului. Dengan anggapan bahawa laporan Utusan On-Line sebagai reliable source saya telah turut membuat hebahan yang mendahului kematian Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hasan dan telah pun memohon maaf atas kesilapan yang berlaku. Moga Allah mencucuri rahmat keatas roh beliau dan takziah kepada seluruh anggota keluarganya.
Berbalik kepada DUN Pelabuhan Klang, isunya kini semakin kompleks dan menjadi perbahasan yang akademik. Terjadinya demikian kerana kecenderungan sikap kerajaan PR sendiri yang terlalu bergantung kepada isu untuk terus survive di persada politik Negeri Selangor. Saya sendiri semakin kurang yakin dengan keupayaan PR mentadbir Selangor.
Saya tidak nampak sebarang perancangan yang dibuat oleh pimpinan TS Khalid Ibrahim dalam meneruskan kesinambungan dan kerancakan Selangor sebagai ‘Gerbang Ekonomi Negara’. Sebaliknya yang terserlah hanyalah penciptaan isu yang bermula dengan isu Syabas, isu SUK hinggalah membawa kepada isu larangan pekerja Islam di premis arak di PBT MPSJ dan yang terbaru isu pengosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang.
Sepatutnya, inilah masa bagi Khalid dan semua ADUN PR menyibukkan diri bagaimanakah bentuk penggunaan peruntukan RM1 juta bagi semua ADUN PR untuk menaiktaraf kawasan masing-masing dalam tempoh 3 bulan seperti yang diumumkan baru-baru ini. Timbul keraguan pada diri saya, apakah isu demi isu ini diserlahkan semata-mata untuk menutup dari rakyat untuk tahu RM1 juta itu, sebenarnya adalah faraid kepada setiap setiap wakil rakyat sebagai modal untuk PRU yang akan datang?
Terpulang kepada Khalid, samada akan meneruskan isu DUN Pelabuhan Klang sebagai topik perbahasan umum atau mematikan isu ini. Saya sebagai pengundi di DUN Pelabuhan Klang, malah kebanyakan pengundi di sini tidak merasa untung atau pun rugi. Badrul Hisham Abdullah muncul dari perut PKR dan kemudiannya mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas dan akhirnya menyertai UMNO. Badrul Hisham bukannya dilahirkan sebagai ADUN oleh UMNO dan samada Badrul harus dikekal atau dinyahkan sebagai ADUN bukanlah menjadi satu masalah besar. Tambahan pula Badrul bukan orang tempatan, sebaliknya beliau dari DUN Pandamaran yang sekarang diwakili oleh Ronnie Liu.
Kini Badrul umpama anak yang terbuang dan umpama induknya sendiri yang bakal menamatkan riwayat politiknya. Kalau “pukul anak, sindir ibu tumpang”, ayuh PKR dan PR sila teruskan, akan kami sambut dengan sinsingan lengan!
No comments:
Post a Comment