Saturday, February 19, 2011

Surat Terbuka Kepada Pengerusi GAPS Dan Ketua Pembangkang DUN Selangor

Berikut ialah surat terbuka saya untuk perhatian Saudara Hamidzun Khairuddin, Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor dan YB Dato' Mohd Satim Diman, Ketua Pembangkang DUN Selangor:-

YB Dato' Mohd Satim Diman & Sdr Hamidzun Khairuddin,

Saya merasa curiga dengan cadangan MB Selangor, YAB TS Khalid Ibrahim yang berhasrat membentuk Pasukan Polis Tambahan Negeri Selangor yang menjadikan alasan kegagalan PDRM menyelesaikan masalah jenayah di Selangor.

Sebagai seorang yang berlatarbelakang dunia perniagaan, cadangan MB Selangor itu sebenarnya mempunyai suatu agenda tersembunyi dan cuba memerangkap Kerajaan Persekutuan supaya tunduk kepada cadangan balasnya, andai cadangan beliau ditolak.

Sebenarnya beliau seolah-olah ingin membentuk Selangor sebagai 'guarded communities' dan 'gated communities'. Beliau pasti akan menjadikan faktor pencegahan jenayah bagi memberi ruang kepada kewujudan 'guarded & gated communities", khususnya di kawasan bandar.

Secara ikhlas, saya tidak bersetuju dengan keadaan sekarang ini khusus di kawasan kediaman elite yang membataskan pergerakan orang-orang awam. Apakah keistimewaan kawasan tersebut hingga orang awam tidak bebas keluar masuk, walhal penyelenggaran infrastruktur dikendalikan oleh pihak kerajaan?

Mungkin keadaan ini terkecuali bagi 'gated communities" kerana saya difahamkan status pemilikan tanah kawasan tersebut berasaskan pemilikan strata dan dengan sendirinya memberikan hak mutlak kepada komuniti di kawasan tersebut untuk mendapat keistimewaan privasi.

Meskipun hal ini telah pun bermula semenjak pentadbiran BN di Selangor, saya berpandangan hal ini harus dihentikan. Ia tidak memberikan kebaikan dalam pola komuniti dalam jangkamasa panjang kerana ia seolah-olah ingin mengembalikan pembentukan masyarakat berbentuk kabilah seperti dizaman jahiliah.

Satu contoh yang begitu ketara ialah I-City, Shah Alam yang sewenang-wenangnya mengenakan bayaran untuk masuk ke kawasan tersebut dan telah beroperasi seolah-olah taman rekreasi persendirian/resort. Soalan saya, atas enakmen mana yang diguna pakai hingga membelakang Majlis Bandaraya Shah Alam dalam hal ini? Disamping itu, apakah status pemilikan tanah di I-City, samada pemilikan individu atau pemilikan strata?

Saya curiga diatas keistimewaan yang diperolehi oleh I-City dari Kerajaan Negeri Selangor. Oleh yang demikian, saya merayu kepada YB Dato' Satim Diman dan Sdr Hamizun agar dapat membuat siasatan samada kerajaan negeri memperolehi sebarang cukai hiburan atau bayaran parkir dari pihak pemaju dari apa yang berlaku di I-City.

Kesimpulannya, dari keadaan di ataslah yang menyebabkan MB Selangor beria-ia mendapatkan autonomi dan seterusnya menindas rakyat jelata.

Mohon penyiasatan dan pendedahan dari YB Dato'/Sdr demi "SELAMATKAN SELANGOR DARUL EHSAN".


Rakyat yang penuh harapan,

t.t
Akar Umbi
Klang
19/2/2011

No comments: