Anwar Guna Ujang Bagong Untuk Raih Pengundi Melayu?
Semalam DS Anwar Ibrahim yang dalam keadaan ghairah untuk menjadi MB Selangor, sekali lagi cuba mencuri tumpuan penduduk-penduduk Kajang dengan terhegeh-hegeh mendekati tokoh tempatan Datuk Ujang Bagong ketika solat Jumaat di Masjid Jamek Pekan Kajang.
Sebelum ini pun, sejurus diumumkan kekosongan kerusi DUN Kajang, Anwar bergegas mencari Ujang di rumahnya, sebaga usaha menumpang populariti tokoh tempatan berkenaan dalam meraih sokongan pengundi-pengundi Melayu.
Dalam 2 pertemuan singkat antara kedua mereka, pihak PKR membawa cerita bahawa Ujang telah mendoakan kemenangan Anwar dalam PRK Kajang.
Bagi mereka yang di luar Kajang tentunya tidak mengenali Ujang Bagong, yang sering dilihat begitu dermawan oleh masyarakat di Kajang, malahan juga beliau suatu ketika dikenali oleh orang-orang Selangor.
Ujang bukanlah dilihat sebagai ahli politik, tetapi dilihat sebagai seorang yang sering berdamping dengan orang-orang politik. Suatu ketika, beliau pernah menganggotai lembaga pengarah Cygal Berhad dan Pasaraya Uda-Ocean disamping aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di tempat tinggalnya.
Selepas Anwar mengambil kesempatan dengan rakaman gambar ketika mengunjungi kediaman Ujang, Sinar Harian telah menemu bual tokoh terkenal Kajang berkenaan.
Ujang memberi tahu Sinar Harian, yang beliau amat sensitif dengan isu-isu Melayu. Malah beliau meluahkan hasrat untuk melihat kebangkitan penguasaan ekonomi orang Melayu di Kajang, yang ketika ini menurut pandangannya hanya sekitar 20%.
Ujang Sebut Akrab dengan Tunku Abdul Rahman Tetapi Tidak Sebut Keakraban Dengan Dato' Harun Idris
Dalam temubual tersebut juga, Ujang memberitahu yang beliau rapat dengan Almarhum PM Tunku Abdul Rahman disamping mengulas,"Atuk dengan Tunku berkawan begitu saja, bukan kita rapat dengan pemimpin untuk minta apa-apa kepentingan," katanya.
Namun begitu, saya melihat beliau tidak menceritakan sepenuhnya kepada wartawan Sinar Harian.
Perhatikan lelaki yang bermisai melenting, di barisan kedua foto di atas. Lelaki berkenaan ialah Ujang Bagong ketika mudanya.
Foto tersebut dirakam ketika bekas MB Selangor Allahyarham Dato' Harun Idris diiring para penyokongnya menghadiri perbicaraan kes rasuah di mahkamah.
Bagi penyokong-penyokong Harun (yang ketika itu ialah Ketua Pemuda UMNO Malaysia), tindakan mendakwa Harun adalah bermotifkan politik, apabila pemimpin Pemuda itu dilihat bergerak agak agresif dan radikal dalam isu-isu Melayu oleh kepimpinan UMNO dibawah teraju Allahyarham Tun Abdul Razak.
Ujang adalah antara yang kerab hadir sepanjang kes perbicaraan Harun di mahkamah, malah beliau dikatakan antara yang rapat dengan Harun. Ini menimbulkan persoalan saya, mengapa Ujang tidak langsung menyebut nama mentornya Dato' Harun Idris kepada Sinar Harian?
Hubungan Harun - Anwar
Umum melihat bahawa ketika Anwar mula menyertai UMNO pada 1982 dan kemudiannya terus bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, adalah disokong oleh 'kem Harun', apabila ramai dikalangan penyokong-penyokong Harun yang masih dalam pemuda, bekerja untuk memenangkan Anwar. Walhal saingan Anwar ketika itu ialah Dato' Suhaimi Kamarudin yang kebetulan adalah anak saudara Harun.
Suhaimi tidak disokong oleh 'kem Harun' kerana dilihat tidak serius dalam memperjuangkan nasib Harun yang terpenjara.
Dalam pertembungan Tun Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh (Ku Li) pada pemilihan UMNO 1987, Harun secara terang memihak kepada Ku Li. Kebetulan, kempen 'kem Ku Li' yang menanamkan kebencian kepada AIDS (Anwar Ibrahim, Daim (Zainudin) & Sanusi (Junid)) bermakna Harun turut tidak gemar dengan Anwar.
Selepas UMNO berpecah dan akhirnya Semangat 46 ditubuhkan, Harun telah bertanding atas tiket parti serpihan UMNO itu menentang calon BN Ong Tee Kiat dalam PRK Ampang Jaya pada tahun 1989.
Semasa PRK berkenaan Ujang tetap setia dengan Harun, malah dikatakan hingga keakhir hayatnya.
Dalam konteks hubungan politik Harun - Anwar, terbukti adanya jasa Harun dalam melonjakkan Anwar dalam hireaki UMNO, tetapi sukar pula untuk mencari bukti peranan Anwar dalam menarik semula Harun dalam arus perdana politik UMNO sepanjang hayatnya.
Perjuangan Harun juga amat berbeza dengan Anwar, apabila melihat gelagat Harun tidaklah ketahap menggulingkan Tun Razak, meski pun berkonfrontasi dengannya.
Ujang Masuk Perangkap Anwar?
Berdasarkan temubual Ujang dengan Sinar Harian, beliau masih bercakap dengan isu-isu kepentingan Melayu. Ini bermakna didikan Harun masih kuat dalam dirinya.
Meskipun beliau tidak dengan jelas menyatakan sokongan kepada Anwar, tetapi blog-blog pro PR mengatakan bahawa Ujang menyokong Anwar.
Dalam keadaan Ujang masih bercakap tentang isu-isu kepentingan Melayu, bolehkah beliau memberikan kepercayaan kepada Anwar untuk menjadi juara terhadap isu-isu yang dibangkitkan?
Sebagai tokoh tempatan yang disegani di Kajang serta ditambah dengan semangat perjuangannya yang masih tebal dalam isu-isu Melayu dan Islam, adalah lebih elok bagi Ujang Bagong untuk tidak bersama Anwar, demi bukan sahaja untuk mengelak daripada terbitnya mudarat yang lebih besar kepada kawasannya, tetapi juga ancaman yang bakal mendatang terhadap negeri Selangor, tanah tumpah darahnya.
No comments:
Post a Comment