Monday, September 16, 2013

Anwar Ibrahim & Nurul Izzah Murung Dihentam Ahli PAS


Resolusi yang dibuat oleh Multaqa Dewan Ulamak PAS Pusat pimpinan Datuk Harun di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut pada Sabtu lepas, bagai sengaja mencari pasal dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, khususnya terhadap Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim.

Tema multaqa sudah cukup untuk menggambarkan sindiran terhadap pemikiran dan tabii politik Anwar Ibrahim, bila Dewan Ulamak memilih ‘Ulamak Haraki Benteng Izzah Islam’.

'Izzah' yang bermaksud mulia telah digunakan, walhal istilah 'kemulian Islam' lebih manis digunakan. Ia seolah-olah sengaja digunakan bagi memberi gambaran umum, betapa wujudnya 2 'Izzah' iaitu 'Izzah Islam' dan 'Izzah PKR'; yang pada yang sama 'Izzah PKR' dipotretkan sebagai lebih membawa kepada kemudaratan kepada harakah Islam yang dipejuangkan oleh PAS.

Dewan Ulamak dengan nada yang cukup berani mencadangkan supaya Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR (yang sebelum ini menjadi doktrin kepada kerjasama PAS dengan DAP dan PKR) disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah (kepentingan) dan membendung serta menghalang mafsadah (keburukan) Syariah.

Ulamak Islam sebenarnya tidak sepakat dalam menerima pakai doktrin ini, bila mana ada pihak yang menghukumkan 'haram' dan dipihak lain menyifatkan sebagai 'harus'. Baca tafsiran Tahaluf Siyasi di bawah;
Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. 
Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama. 
Disamping itu, satu lagi resolusi yang agak kontroversi ialah ketegasan Dewan Ulamak yang mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS dipilih dari kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa.

Dua resolusi berkenaan sudah cukup untuk mengharu birukan kepimpinan Pakatan Rakyat, khususnya dikalangan para pemimpin PAS sendiri.

Presiden PAS TG Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS TG Nik Aziz terpaksa membuat kenyataan untuk meredakan keadaan. Hadi dalam responsnya terhadap resolusi Dewan Ulamak menjelaskan, "Yang menentukan ialah perwakilan setiap kawasan seluruh negara. Dewan ulama hanyalah satu badan jawatan kuasa, terserah kepada perwakilan seluruh negara," lapor Antara Pos.

Dalam pada itu, Nik Aziz cuba menyelamatkan diri dari 'hentaman' rakan-rakannya dari PKR dan DAP menyatakan bahawa beliau tidak hadir dan tidak terbabit dengan cetusan idea 8 resolusi berkenaan, melalui kenyataan medianya yang disiarkan oleh Harakahdaily.

Sementara itu, Setia Usaha PKR Saifuddin Nasution Ismail meremehkan keputusan Dewan Ulamak PAS tersebut dengan menganggap bahawa ia hanyalah keputusan sayap dalam organisasi PAS.

Secara keseluruhannya, 8 resolusi berkenaan adalah seperti berikut:-

1- Ulamak Haraki hendaklah memposisikan diri mereka dengan lebih berkesan sebagai pemimpin politik yang menyambung tugas para nabi-nabi. Mereka hendaklah memahami tentang cabaran semasa dan mempertingkatkan keyakinan terhadap Allah bagi menegakkan Islam.

2- Multaqa Ulamak Se-Malaysia juga mengajak para ulamak haraki PAS bagi melakukan pengukuhan gerak kerja, antaranya:
  • mengukuhkan gerak kerja tarbiyah 
  • mengukuhkan kedudukan kepimpinan ulamak yang menjadi tunjang utama kepada PAS 
  • memperkasakan ilmu pengurusan dan kepimpinan.
3- Multaqa Ulamak SeMalaysia mengambil ketetapan untuk bersama-sama menangani dan menghadapi pemikiran yang merosakkan (haddamah) dengan pelbagai usaha dan pendekatan supaya umat Islam tidak tersasar dari asas Islam.

4- Multaqa Ulamak SeMalaysia mengambil ketetapan mencadangkan kepada PAS Pusat supaya melakukan analisa yang menyeluruh dan telus serta mengemukakan analisa bagi tujuan untuk menilai prestasi PRU13 untuk lonjakan PRU14.

5- Multaqa Ulamak SeMalaysia turut mencadangkan supaya Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah (kepentingan) dan membendung serta menghalang mafsadah (keburukan)Syariah.

6- Multaqa Ulamak SeMalaysia menyarankan kepada semua kerajaan negeri di bawah PR supaya memberi ruang yang munasabah dan bersesuaian kepada ulama haraki PAS yang berkelayakan supaya dapat melibatkan diri mereka di dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan.

7- Multaqa Ulamak SeMalaysia menerima saranan daripada wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulama dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis.

8- Multaqa Ulamak SeMalaysia menyeru kepada seluruh ulamak haraki PAS supaya bersiap sedia untuk mengukuhkan kedudukan dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencapai kemenangan dalam PRU14 ke arah perlaksanaan Islam yang syumul di Malaysia.

No comments: