Wednesday, August 3, 2011

Apa Ada Di Sebalik Tanah PKFZ RM25 Sekaki Persegi? (Bahagian 2)

Sebelum pembesaran Pelabuhan Klang ke Pulau Indah (Pulau Lumut ketika itu), penduduk di sana menjalankan aktiviti pertanian. Oleh kerana kebanyakan tanah pertanian di Pulau Indah merupakan warisan dari generasi ke generasi.

Oleh itu bagi sekumpulan anak-anak muda yang tidak berhijrah ke tanah besar telah mengambil inisiatif untuk memohon tanah pertanian yang masih belum dimiliki oleh mana-mana pihak. Rujuk kepada pelan di bawah, khususnya di kawasan yang disempadani dengan dakwat merah.


Kumpulan anak muda yang tidak memiliki tanah ini dan mereka inilah yang menjadi nadi kepada kegiatan kampung. Umpamanya kenduri kendara, menggali tanah perkuburuan, mengusung jenazah ke tanah perkuburan (tiada jalan raya) dan membantu keluarga masing-masing dalam pertanian dan juga nelayan sambilan.

Perlu diceritakan bahawa Pulau Indah ketika itu amat unik. Jalannya hanya selebar berselisih motosikal atau basikal dan perhubungan dengan tanah besar adalah melalui bot ke jeti Pelabuhan Klang.

Oleh itu, amatlah berhak kepada kumpulan anak muda tersebut memohon tanah demi meneruskan kehidupan mereka disamping sebagai suatu penghargaan kepada mereka kerana sanggup tinggal di kampung, ketika rakan-rakan mereka telah berhijrah mencari kehidupan yang lebih selesa.

Atas inisiatif Gerakan Belia 4B Cawangan mereka telah secara rasmi mengutus surat (bertarikh 1 November 1980) kepada Pegawai Daerah Klang (rujuk surat di atas) untuk memohon lot-lot seperti yang ada dalam pelan kawasan yang berkenaan.

Permohonan mereka adalah secara berkelompok dan berserta dengan senarai pemohon seperti di atas. Hingga kini, saya tidak fikir nama-nama yang ada dalam senarai di atas mempunyai tanah anugerah sendiri di Pulau Indah, melainkan tanah yang diwarisi dari bapa atau datuk mereka.

Pihak Pejabat Daerah/Tanah Klang, telah mengutus surat kepada persatuan belia tersebut dan mencadangkan mereka membuat permohonan rasmi, melalui borang-borang yang dilampirkan kepada mereka.


Di atas ialah resit pembayaran pendaftaran yang telah mereka buat berhubung dengan permohonan yang telah mereka buat ketika itu.

Malang bagi mereka, apabila lot-lot tanah berkenaan adalah termasuk dalam kawasan pembesaran Pelabuhan Klang (Pelabuhan Barat). Kini kawasan tersebut telah menjadi sebahagian dari kawasan perindustrian dan depoh di Pelabuhan Barat.

Namun usaha itu tidak terhenti setakat itu. Akhirnya, kawasan lain yang lebih luas telah dikenal pasti, iaitu kawasan dimana terletaknya PKFZ hari ini.

Untuk episod berikut, bukan sekadar persatuan belia yang memohon tetapi telah diperbesarkan dalam bentuk koperasi dan melibatkan lebih ramai pemohon.

Apa yang hendak diceritakan, permulaannya adalah melalui kumpulan anak muda ini yang secara genuinenya memohon semata-mata untuk meneruskan kehidupan di kampung kelahiran mereka. Mereka bukan berpakat untuk membentuk suatu konspirasi melakukan skandal!

(Sebenarnya, secara tidak sengaja saya telah menemui dokumen-dokumen di atas setelah menyelongkar fail-fail lama arwah ayahanda saya. Arwah bukanlah orang besar, tetapi sekadar menjadi rujukan kepada ramai orang dalam hal-hal di Pulau Indah)

Akan bersambung...........

1 comment:

Anonymous said...

nape x citer abis... igt br je nk tau psl skandal PKFZ terbantutlah pula...