Wednesday, August 3, 2011

Apa Ada Di Sebalik Tanah PKFZ RM25 Sekaki Persegi? (Bahagian 1)

Bila bermulanya kes PKFZ yang melibatkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik rasa terpanggil untuk menulis nostalgia keatas kawasan tanah yang telah menjadi isu nasional ketika ini.

Tulisan ini, insyaallah akan digarap dalam beberapa bahagian dan bakal juga menyentuh hal politik. Buat permulaan ini, ia akan lebih tertumpu terhadap kenangan peribadi saya keatas kawasan berkenaan.

PKFZ terletak di penghujung Pulau Indah (dulu dikenali sebagai Pulau Lumut) dan menghadap ke Selat Melaka.

Semasa kecil, saya sering ke kawasan berkenaan yang ketika itu dikenali sebagai Sungai Pandan. Apa yang ada di sana hingga menarik saya ke kawasan berkenaan?

Saya anak kelahiran Pulau Lumut sebelum berpindah ketika berusia remaja. Jadi waktu lapang, sering mengikut abang-abang saya ke kawasan tersebut untuk mencari pepahat dan lokan (Hujung 60an - pertengahan 70an). Begitu mudah kami memperolehi pepahat dan lokan untuk juadah kami sekeluarga.

Pepahat

Lokan

Ada 2 orang nelayan yang begitu sinonim dengan Sungai Pandan ketika itu, malah bolehlah dianggap sebagai juara bagi kawasan berkenaan. Masing-masing ialah Wak Akhyar dan Tok Busu Seman.

Wak Akhyar seorang pakar belat dan begitu serasi dengan hasil tangkapannya ikan belanak.
Sementara Tok Busu Seman, pakar tajur dan sering memasang tajur buluhnya dan hasil utamanya ialah ikan belontok atau juga dikenali sebagai ikan petutu.

Ikan Belanak

Ikan Belontok @ Petutu

Ikan belontok kini amat sukar ditemui. Harga pasaran terkini difahamkan telah mencecah RM80 sekilo.

Buah Kedabu

Satu lagi uniknya tempat ini ialah buah kedabu. Sukar untuk menemuinya di tempat lain. Rasanya masam-masam kelat seperti buah kedondong. Buah ini hanya boleh ditemui di kawasan paya bakau.

Kawasan tersebut kini menjadi kenangan kepada kami adik beradik dan juga kepada anak-anak Wak Akhyar dan Tok Busu Seman.

Kedua-dua Wak Akhyar dan Tok Busu Seman sudah meninggal dunia. Mereka tidak sempat menyaksikan kawasan tersebut yang telah menjadi hutan batu dan mewariskan satu skandal yang hangat diperkatakan hari ini.

Bukan saya sahaja merasakan nostalgia itu tetapi mungkin juga dirasai oleh rakan-rakan sepermainan malah juga Dato' Abdul Rahman Palil, ADUN Sementa yang rumah keluarganya anatara yang paling hampir dengan kawasan berkenaan!

Akan bersambung.........

No comments: