Saturday, January 29, 2011

Tenang, Merlimau & Pelabuhan Klang Indikator Tarikh PRU13

Tenang mungkin bakal menjadi asas indikator kepada tarikh PRU13. Merlimau pula akan menjadi pengukur kepada keperluan bagi DS Najib Tun Razak untuk mempersiapkan jenteranya disamping mencari tarikh sebenar PRU13.

Andainya, SPR mengesahkan kerusi DUN Pelabuhan Klang sebagai kosong, saya menjangkakan BN bakal menjadikannya sebagai moral booster dan pastinya BN sedaya upaya akan berusaha merampas balik kerusi tersebut yang pada peringkat awalnya dimenangi oleh PKR.

Bagi Tenang dan Merlimau bolehlah dikatakan bahawa kedua-duanya adalah kubu BN. Oleh itu, peluang untuk BN memenangi kedua-dua kerusi adalah cerah. Bagi kes Pelabuhan Klang, hakikatnya ia juga adalah kubu BN cuma pada PRU12, cuma atas beberapa faktor tertentu telah mempengaruhi pengundi-pengundi untuk berubah angin.

Ini bermakna, jika PRK di Pelabuhan Klang tidak dapat dielakkan, maka ujian sebenar BN ialah di kawasan DUN tersebut. Pertamanya, ialah untuk mengembalikan semula sokongan kepada BN dan yang kedua ialah untuk menilai kesetiaan penyokong-penyokong tegar BN, khususnya UMNO yang dari segi agihannya merupakan pemilik keatas kerusi tersebut.

Sebenarnya, sebelum berlakunya pengumuman kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang oleh Speaker, Dato' Teng Chang Khim, UMNO Bahagian Klang telah pun bergerak awal melalui pengisian gerak kerja yang diketuai sendiri oleh Dato' Mazlynoor Abdul Latif. Beliau tidak berseorangan dalam hal ini kerana Timbalan Ketua Bahagian Haji Nasaruddin Dato' Zin dan Naib Ketuanya Haji Mohd Ishak Joned telah melaksanakan fungsi masing-masing.

Ditambah pula dengan bantuan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang masing-masing disandang oleh Senator Datin Paduka Noorhayati Tan Sri Onn, Zainuri Zainal dan Roselinda Mohd Jamil bergerak menjalankan aktiviti sosial dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN. Tambahan pula, Pengerusi BN Klang Dato' Teh Kim Poh yang juga Penyelaras Kawasan Parlimen Klang, kelihatan begitu aktif dalam menyalurkan bantuan dari kerajaan pusat disamping dilihat sering hadir di majlis kenduri dan juga menziarahi kematian di kawasan Klang dan termasuklah Pelabuhan Klang.

Potensi untuk BN merampas Pelabuhan Klang kini dilihat cerah. Oleh yang demikian, apabila melepasi ujian ini (memenangi DUN Pelabuhan Klang) maka kemungkinan untuk berlangsungnya PRU13 lebih awal tidak dapat dinafikan. Fakta ini disandarkan kepada momentum yang cenderung kepada BN, masakan DSN akan melepaskan peluang tersebut!

No comments: