Penulisan kali akan menyentuh isu pendidikan. Akan tetapi penulisan ini bukanlah suatu pandangan bersifat akademik malah ia tidak akan mengupas Dasar Pendidikan negara mahu pun membahas “Penyata Rahman Talib”, “Penyata Razak”, “Konsep 3M”, “KBSR” serta “KBSM”. Sebaliknya, ia akan menjurus kepada penentuan matlamat, misi dan visi peribadi dalam menerapkan pendidikan kepada anak-anak saya yang yang seramai 5 orang, yang sekarang ini berusia 7 – 18 tahun.
Penulisan ini juga diharapkan dapat membuka ruang perbahasan samada kita perlu memilih sekolah, keperluan menghantar anak ke pusat tuisyen dan menilai samada benarkah sistem pendidikan kita adalah berorientasikan peperiksaan? Malah saya amat mengalu-alukan sanggahan terhadap pandangan peribadi saya ini dalam konteks pembetulan persepsi dipihak saya.
Pandangan Umum
Perkara utama yang menjadi fokus saya ialah menyatakan kepada anak-anak bahawa menuntut ilmu adalah merupakan satu ibadah, yang bermakna mereka akan mendapat pahala daripada ibadah yang mereka lakukan. Disamping itu, memberi mereka kefahaman berhubung dengan persediaan kearah minat dan kecenderungan dalam penentuan bidang kerjaya yang bakal dipilih.
Selain fardhu ain yang menjadi kewajipan untuk dipelajari, saya lebih menekan keupayaan anak-anak di dalam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris. Malah, saya memberitahu anak-anak saya, biar gagal dalam subjek lain, asalkan mendapat A untuk Matematik dan Bahasa Inggeris.
Pra Sekolah
Saya akan memastikan anak saya kenal huruf dan angka sebelum memasuki alam persekolahan. Disamping itu, saya akan berasa lega seandainya mereka berkeupayaan untuk mengira serta membaca dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris sebelum memasuki alam persekolahan sebenar.
Meski pun saya agak cerewet memilih tadika, oleh kerana Tadika KEMAS cuma terletak 20 meter di belakang rumah, saya akan menghantar anak-anak saya ke tadika tersebut ketika mereka berumur 5 tahun. Saya tidak sama sekali merendah-rendahkan keupayaan KEMAS, malah memberi pengiktirafan terhadap pengajaran doa dan asas jawi oleh mereka. Tambahan pula, sekurang-kurangnya tadika tersebut menjadi ruang untuk anak-anak saya mengenali rakan-rakan sebaya di kawasan kejiranan kami.
Pada umur anak saya 6 tahun, saya memilih sebuah tadika yang telah membuktikan prestasinya meskipun agak jauh dari rumah. Tadika ini memberi penekanan terhadap membaca dan mengira, malahan telah mendedahkan murid-muridnya subjek Sains pada ketika Kementerian Pelajaran belum lagi memperkenalkan subjek tersebut untuk tahun 1, 2 dan 3. Disamping Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, asas Mandarin juga diajar di tadika tersebut.
Sekolah Rendah
Saya tidak begitu cerewet dalam menghantar anak ke sekolah yang menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa di kawasan perbandaran saya. Memang diakui bahawa terdapat beberapa buah sekolah yang mencatat tradisi dalam keputusan UPSR, namun ia tidak begitu mendorong saya untuk menghantar anak-anak saya ke sekolah tersebut. Disamping jaraknya 7 km berbanding 0.7 km dengan sekolah di kawasan perumahan saya, rasanya terlalu awal untuk mendedahkan mereka dengan persaingan yang begitu sengit. Tambahan pula, perlu bagi mereka untuk memupuk persahabatan dengan rakan sebaya di kawasan kejiranan kami.
Sekolah Menengah
Saya begitu memilih dalam penempatan anak-anak ke sekolah menengah. Seboleh-bolehnya, saya akan menghantar anak-anak ke sekolah yang terbaik di dalam daerah. Ini penting demi mendedahkan anak-anak kepada proses membina ‘net-working’ dalam perkembangan mereka ke alam dewasa. Disamping itu, mereka akan berdepan dengan realiti kehidupan, bila mana komposisi pelajar yang berbilang bangsa.
Oleh itu adalah, adalah menjadi rutin saya ke Pejabat Pelajaran Daerah bagi memohon jasa baik dari pegawai-pegawai yang berkenaan agar menimbangkan permohonan saya. Biasanya, saya akan berbuat demikian sebelum proses pemilihan dan tapisan dibuat oleh mereka. Saya berpendapat adalah lebih baik berbuat awal daripada merayu setelah keputusan dibuat. Ini pastinya menyusahkan malah mengganggu tugasan mereka kelak. Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA tidak menjadi keutamaan saya. Bukannya apa, saya merupakan bekas pelajar SBP yang lari ke sekolah biasa setelah 2 minggu mendaftar!
BERSAMBUNG..................
5 comments:
aku nak komen, tp aku tunggu sambungannya dahulu lah, rasanya cite nih masih panjang lg, so aku taknak anti klimaks...ha ha
Man,
Anak ko kecik lagi.........
tp anak aku juga akan membesarkan??? aku nak wat persediaan awal...ha ha
ASS kmu uda berkeluarga atau belum? rencananya matang sekali.....
bagus gak idea pak usu tentang sekolah. bila kak cha ada anak boleh jadikan bahan pak usu sebagai panduan...
Post a Comment