Tuesday, December 15, 2015

Pertembungan Lim Guan Eng Vs Azmin Ali, Siapa Pemenangnya? - Bhgn 1


Menurut The Heat Malaysia, bukanlah suatu rahsia bahawa berlaku perselisihan pendapat antara KM Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan MB Selangor Dato' Seri Azmin Ali dalam memilih sekutu, iaitu samada PAN atau PAS.

Meskipun Pakatan Rakyat secara umumnya telah digantikan dengan Pakatan Harapan diperingkat nasional, namun Azmin masih mengekalkan status quo berasaskan model Pakatan Rakyat tanpa membuang PAS sebagai sebahagian komponen pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Sebaliknya, Guan Eng melaksanakan persefahaman yang diikat melalui Pakatan Harapan dengan melakukan pembersihan dengan membuang satu demi satu anggota PAS dari pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Walau pun kedua-dua DAP dan PKR bukanlah memiliki jumlah kerusi yang mutlak untuk memerintah secara bersendirian di Pulau Pinang dan Selangor, namun pertembungan antara gerak tai chi Guan Eng dengan jurus silat Azmin, kelihatan Setia Usaha Agung DAP itu lebih kedepan berbanding Timbalan Presiden PKR tersebut.

Dalam DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, komposisinya adalah terdiri dari DAP (19), PKR (10), PAS (1) dan pembangkang BN (10). Bermakna jika DAP yang mempunyai 19 kerusi memilih untuk memutuskan hubungan dengan PKR, mereka masih belum boleh menubuhkan kerajaan.

Menyedari hakikat ini, tidak hairanlah Guan Eng mengambil pendekatan untuk tidak membuang Adun tunggal PAS (Permatang Pasir) Datuk Mohd Saleh Man sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Malah, Adun PAS berkenaan mengisytiharkan sebagai mesra kerajaan DAP Pulau Pinang.

Guan Eng mengambil kesempatan dari tindakan 5 Adun PKR yang berkecuali terhadap usul BN di sidang DUN Pulau Pinang November lepas, berhubung isu tebus guna 2,600 hektar tanah, KM itu telah melaga-laga kepimpinan PKR Pulau Pinang dengan dakwaan kononnya wujud komplot yang hendak menggulingkan kedudukan Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai Timbalan Ketua Menteri I (TMKI). Malah, Guan Eng telah memberi amaran bahawa pihaknya hanya mengiktiraf Rashid sebagai TMKI Pulau Pinang.

Tindakan Guan Eng sengaja melaga-lagakan dalaman PKR, tidak lain adalah bertujuan untuk memancing Rashid Hasnon supaya kekal menyokongnya, seperti yang dilakukan terhadap Saleh Man. Tidakkah pelik bila Saleh membuat pendirian kekal bersama PAS, tetapi sebelah kakinya disandarkan kepada DAP?

Dengan mengikat Rashid dan Saleh, maka kedudukan Guan Eng akan mendapat sokongan 21 Adun (DAP-19, PKR-1 dan PAS-1). Sesungguhnya itu sudah memadai baginya untuk mendapat majoriti mudah dalam DUN Pulau Pinang, andai hubungannya dengan Azmin gagal dipulihkan.

Dalam pada itu sebagai langkah jangka panjangnya, portal The Heat Malaysia melaporkan DAP sedang giat memperkukuh dan meluaskan pengaruhnya di kawasan-kawasan DUN PKR yang diwakili oleh Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban), kerana mereka ini adalah 4 dari 5 Adun PKR yang berkecuali terhadap usul BN yang disebut di atas. Sementara seorang lagi Adun PKR yang berkecuali ialah Dr Norlela Ariffin (Penanti), yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

Hakikatnya ini adalah pendekatan awal DAP dalam menghadapi sebarang kemungkinan, sebagai persediaan bergerak tanpa PKR dalam PRU14.

Meski pun dari kiraan ini jelas bahawa Azmin ketinggalan dari segi strategi kepada Guan Eng, namun tidaklah bermakna tiada sebarang tindak balas dari MB Selangor itu. Strategi Azmin dalam mengekang Guan Eng melalui tindak balas di Selangor akan dijelaskan yang bakal menyusul pada bahagian 2 berikutnya.

Sesungguhnya pertembungan ini amat menarik kerana antara Guan Eng dan Azmin, masing-masing adalah berkelulusan perakaunan dan seorang lagi dalam bidang matematik!

Thursday, October 15, 2015

Azmin Ali Bakal Pening Kepala Pada November 2015 Untuk Selesaikan Karenah Konco-Konco Hadi Awang & Mat Sabu


Pada November 2015 yang bakal mendatang, MB Selangor Azmin Ali akan berdepan dengan ujian bila ketika itu barisan pengurusan masjid seluruh negeri Selangor akan disenarai pendek.

Di Selangor, adalah menjadi amalan setiap masjid akan mengadakan Mesyuarat Agung Khas Pencalonan bagi memberi peluang kepada ahli kariah untuk Pegawai & AJK Masjid untuk mengurus tadbir masjid di kariah masing-masing.

Berpandukan kepada pengalaman pada 2012, pencalonan untuk jawatan-jawatan utama seperti Nazir, Imam I dan Imam II malah untuk AJK, tidak terikat pada undi tertinggi. Sebaliknya ada campurtangan dari tangan-tangan ghaib, yang disyakki dari Adun mahu pun Penyelaras DUN dalam menentukan perlantikan untuk jawatan-jawatan tersebut.

Pada tahun berkenaan, antara bantahan dan pertikaian terhadap perlantikan yang tidak mengikut pencalonan yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Khas seperti dilaporkan oleh pihak media, melibatkan Masjid Fastabiqul Khairat, Shah Alam; Masjid Nurul Iman, Kuala Selangor; Masjid al-Husna, Petaling Jaya dan Masjid al-Ansar serta Masjid Darul Muttaqin masing-masing di Klang.

Dalam pada itu, banyak lagi masjid yang menghadapi masalah yang serupa, cuma ia tidak dipanjangkan kepada media.

Antara kriteria penolakan terhadap pecalonan ialah calon berkenaan adalah ahli UMNO.

Bagi perlantikan Pegawai & AJK Masjid sesi 2016 -2018, semua masjid telah diarahkan mengadakan Mesyuarat Agung Khas Pencalonan dalam tempoh bermula 8 Oktober hingga 8 November.

Dengan perkembangan politik terbaru yang menyaksikan tertubuhnya Amanah, jadi tidak hairan maka kontroversi bakal tercetus bila berlaku pertembungan antara PAS dengan Amanah.

Sementara itu, bagi UMNO yang telah berpengalaman dengan situasi berkenaan, tentunya dapat menerima keadaan.

Kita tunggu hingga perlantikan rasmi pada November untuk menyaksikan betapa Azmin Ali akan pening kepala melayan karenah konco-konco Hadi Awang dan Mat Sabu.

Wednesday, September 9, 2015

Wajarkah Najib Hantar Wakil Bersemuka Dengan PAS Dalam Kongres Rakyat Pada 12 September 2015?


Dari idea asal dari Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang, Kongres Rakyat dijadualkan bakal berlansung pada 12 September 2015, bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Berkonsepkan 'Dari Rakyat Untuk Rakyat', kongres berkenaan bermatlamatkan pengumpulan usul dan pandangan dalam merangka pelan tindakan membina negara yang sejahtera, disamping membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi dan ketidakstabilan poltik yang menggugat kemakmuran negara.

Meskipun dari segi tugasan pengelolaan diserahkan kepada NGO dan dipengerusikan oleh Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid (baca SINI), peranan PAS dalam menjayakan program berkenaan adalah amat besar.

Dalam wawancara Harakah Daily dengan Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad (klik SINI), menyatakan betapa kehadiran UMNO/BN ke kongres adalah sepatutnya, untuk mendengar sudut pandangan dari rakyat.

Bagi berlaku adil, sewajarnya Idris turut memberi akuan untuk memberi ruang kepada UMNO/BN turut sama, samada memberi pandangan mahu pun mempertahankan dasar-dasar yang sedang dilaksanakan oleh mereka, atas kapasiti pengendali kerajaan yang sedia ada.

Apatah lagi seperti disebutkan oleh Naib Presiden PAS berkenaan, resolusi kongres akan dipanjangkan kepada kerajaan disamping untuk edaran rakyat.

Dalam pada itu perlu diingat, bahawa kongres seumpamanya pernah diadakan pada 11 Mac 1946, di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru, Kuala Lumpur yang disertai oleh 41 pertubuhan Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Kongres Melayu Pertama.

Meskipun ia atas nama Kongres Melayu bukanlah bermakna ia adalah kongres berbentuk perkauman, kerana sesuai pada masa itu orang Melayu adalah rakyat kepada Raja-Raja Melayu, sementara orang Cina dan India masih lagi samada sebagai pendatang, atau pun rakyat British di Negeri-Negeri Selat.

Bertitik-tolak dari kongres berkenaan, resolusi yang dicetuskan ialah:-

1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO
2. Membantah Penubuhan Malayan Union
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu

Berbalik kepada Kongres Rakyat tajaan PAS, jika benar pelawaan terhadap UMNO/BN dan adalah ikhlas dalam penyelesaian permasalahan rakyat dan penyelesaian konflik politik, adalah molek jika mereka mengutus jemputan secara rasmi kepada UMNO/BN.

Mungkin ini adalan titik tolak kearah penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dikemukakan, disamping mencari titik persamaan dalam kepelbagaian pandangan kerana rakyat terbanyak sudah letih dengan politiking yang keterlaluan.

Atau, siapalah tahu kemungkinan resolusi yang dihasilkan akan menjadi pembaharuan terhadap Kongres Melayu Pertama 1946?

Monday, September 7, 2015

LIm Guan Eng Cabar Hadi Awang Hantar Orang Berentap Dengannya di Air Putih


Sebagai respons terhadap niat PAS untuk meletakkan calon di kawasan-kawasan DAP, Lim Guan mencabar DS Abdul Hadi Awang untuk menghantar calon bagi menentangnya di kawasan DUN Air Putih, Pulau Pinang.

Kalau rasa kuat dan diterima, lebih elok Guan Eng berpindah ke kawasan DUN Permatang Pasir yang ketika ini milik PAS.

Jika ini berlaku, barulah boleh dikatakan sebagai berani.

Polis Tak Benarkan 'Himpunan Maruah Melayu, Tanah Tumpahnya Darahku' Pada 16 September

Akhirnya jadi anti-klimaks bila PDRM tidak benarkan Himpunan Maruah Melayu............

Mat Sabu Sahkan Parti Cangkul Akan Ambil Pendirian 'Belukang Mengikut Arus' Dalam Isu Hudud


Pengerusi Parti Cangkul, Mat Sabu membayangkan bahawa 7 ahli parlimen mereka tidak akan menyokong hukum hudud yang dicadang untuk dibetangkan di parlimen oleh PAS.

Dengan menjadikan alasan bahawa ia bergantung kepada konsesus bersama gabungan parti pembangkang, hakikatnya hanya menyerlahkan kecenderungan mereka untuk tidak menyokong.

Kalau dilihat akan komposisi anggota pembangkang di parlimen, ia adalah terdri dari DAP (37), PKR (29 termasuk 1 kerusi diwakili PSM) dan Parti Cangkul (7), sementara PAS yang berada dipihak pembentang usul rang undang-undang berkenaan, mempunyai 14 ahli parlimen, adalah sukar bagi anggota pembangkang untuk menyokong.

DAP dan PKR awal-awal lagi telah mengambil pendirian untuk tidak menyokong, maka dalam keadaan itu pendirian 7 ahli parlimen Parti Cangkul, tidak salah untuk diumpamakan sebagai 'belukang mengikut arus'.

Dalam penolakan Mat Sabu terhadap hudud, beliau menambah sekiranya majoriti mereka, Islam dan bukan Islam, tidak bersetuju dengan hudud.dan sekiranya ia bertentangan dengan perlembagaan, maka tak boleh dipaksa perlaksanaannya.

Pendirian Mat Sabu ini jelas bertentangan dengan pendirian awalnya, walhal isu hudud telah dimainkan oleh PAS sejak PRU1990, malah Mat Sabu sendiri terlibat dan telah menang untuk kerusi Nilam Puri, Kelantan dalam pilihan raya tahun berkenaan.

Apakah selama lebih 30 tahun dalam PAS, Mat Sabu hanya berpura-pura dalam perjuangannya, selain hanya untuk memposisikan dirinya supaya terkenal dalam arena politik semata-mata?

Saturday, September 5, 2015

'Otai Reformasi' Dah Taubat Tak Mahu Demontrasi Jalanan


Dilaporkan oleh The Malaysian Insider, bahawa 20 orang 'otai reformasi' yang mendakwa pernah berdemontrasi jalanan ekoran penyingkiran DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 1998, telah mengadakan Solat Hajat di Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, memohon agar 'Himpunan Maruah Melayu, Tanah Tumpahnya Darahku' yang dijadual berlangsung pada 16 September 2015 dibatalkan.

Dalam kenyataan wakil kumpulan berkenaan, Ronnie Liu (bekas Adun DAP Pandamaran, Selangor) menzahirkan rasa gementar dan fobia mereka bila perkataan 'darah' digunakan dalam moto himpunan berkenaan.

Mereka meminta pihak berkuasa membatalkan himpunan tersebut.

Turut serta dalam kumpulan tersebut ialah Adun katak lompat (dari PAS ke GHB), Saari Sungib.