Wednesday, September 19, 2012

'Wasiat Di Penghujung Usia' - Nasihat Khusus Dari Sahabat Untuk Anwar Sebelum Menemui Ajal?

Saya terbaca ulasan Prof Dato' Dr Sidek Baba keatas pantun 7 rangkap nukilan Tan Sri Prof Ulung Mohd Kamal Hasan.

Perlu diingatkan bahawa kedua-dua tokoh akademik di atas adalah sahabat-sahabat Anwar Ibrahim ketika era kegemilangannya.

Saya cuba mencari puisi ini melalui injin carian tetapi sekadar menemui rangkap yang tidak penuh di blog Terang Bulan:-
Di anjung gua pendekartua menunggu lawan
Lamanya bertapa inginkebal tangkis serangan
Dihujung usia akutinggalkan sebuah pesanan
kerana duka melihat umattuju perpecahan
Firman ilahi ngajar ummatbendung nafsu“ Wa’ tasimuu bi- hablillahi jamii’anWa- laa tafarraquu’ (Q 3: 103)(Berpengang teguhlah pada tali Allah, jangan berpecah)
Melulu takut nasib Andalusia berulangmengukir malu…..
Buah delimaMaharaja CinaRempah kari benua India
Sudah lama Melayu……
….
Kepada sesiapa yang memliki rangkap penuh puisi berkenaan sila tinggalkan di ruangan komen blog ini untuk tatapan dan renungan para pembaca.

Di bawah adalah ulasan Dr Sidek Baba yang dipetik dari Utusan Malaysia:-


Sebagai seorang sahabat, meneliti tujuh rangkap pantun yang diungkapkan memberi usikan yang mendalam kepada diri saya. Saya mengenal Tan Sri Prof. Mohd. Kamal Hasan sebagai seorang yang tawaduk dan apolitikel. Pandangannya terkandung pemerhatian mendalam terhadap nasib umat Melayu kini.
Lazimnya pandangan mengenai hal-hal negara dan umat diucapkan oleh kelompok-kelompok politik yang mempunyai kepentingan. Amat jarang sekali seorang sarjana terkenal melontar pandangan kepada khalayak supaya wujud polimik yang bermakna. Ini mengingat saya mengenai faktor kekuatan tamadun Islam iaitu berlaku sinergi ulama/ilmuwan dan umara' atau pemimpin.
Sinergi ini sangat perlu supaya pemerhatian dan penelitian para sarjana dijadikan bahan berguna kepada umara' sebagai pedoman mengurus negara dan mencari permuafakatan menyelesaikan isu-isu yang berbangkit.
Mengurus negara apa lagi masyarakatnya yang berbilang tidak mudah. Kesabaran dan kebijaksanaan amat dituntut supaya asas-asas yang fundamental dalam bernegara dapat disepakati dan kelemahan yang terjadi dapat dirungkaikan secara berhemah.
Selalunya pendekatan yang diambil kadang-kadang menjadi tidak popular kerana dunia persepsi terlalu kuat pengaruhnya sehingga pandangan yang baik sering jatuh ke tangan orang yang tidak rasional dan sering emosional dan taksub dalam membuat penilaian.
Saya percaya Prof. Kamal sedar akan kemungkinan ini. Tetapi memberanikan diri untuk menyatakan sesuatu setelah menulis pelbagai jenis buku dan mentadbir pusat ilmu yang sifatnya antarabangsa, ia adalah sesuatu yang wajar dan berani untukWasiat di Penghujung Usia ini diperkongsi dengan khalayak supaya ada kejernihan berfikir melihat nasib umat yang serba gawat.
Rangkap pertama pantunnya jelas rasa dukanya "melihat umat tuju perpecahan".
Kedukaan ini dirasakan sama oleh banyak pihak. Islam adalah agama wehdah dan persaudaraan. Kita solat menghadap ke kiblat yang sama, al-Quran yang digunakan adalah al-Quran yang sama, syahadah yang dilafazkan adalah syahadah yang sama tetapi mengapa ia tidak membentuk watak yang sama sebagai hamba Allah yang istiqamah menjaga ukhuwah walaupun perbezaan dari sudut cara wujud.
Mengkaji jatuh-bangun tamadun silam sepatutnya memberi kita pengajaran dan mengambil ibrah dan kisah yang berlaku. Dan sifat kisah dan sejarah mengulangi. Kita hanya mampu nostalgik mengenai kejayaan silam tetapi tidak reflektif mengenai faktor-faktor yang membawa keruntuhan tamadun kita.
Sejarah dan kisah bakal mengulangi jejak. Perpecahan boleh menyebabkan peminggiran berlaku. Lebih-lebih lagi di zaman globalisasi di mana peranan media baru amat mempengaruhi khalayak pengguna terutama di kalangan generasi muda.
Perpecahan yang terungkap dalam rangkap kedua pantunnya diberi maksud "Takut Nasib Andalusia berulang mengukir malu." Sarjana dan ahli sejarah amat arif mengenai sebab bangun dan jatuhnya Andalusia. Antaranya ialah berlaku integrasi ilmu yang hebat, kaji selidik dan penghasilan karya yang subur dan iklim muafakat yang cukup baik.
Apabila ulama dan umara' hilang sinergi, perebutan pengaruh atas nama kelompok terjadi, faktor Ilahiah tidak dijadikan pedoman, menyebabkan keretakan dan perpecahan terjadi. Bila ketaksuban dan sifat tidak terbuka berlaku ia menghasilkan watak dendam kesumat dan kebencian dan akhirnya umat Islam hilang kuasa dan runtuhlah tamadun.
Hari ini penjajahan pemikiran (al ghazwul fikir) terjadi dan menyebabkan melakukan dominasi terus menerus dan meletakkan umat Islam sebagai umat pengguna dan umat penciplak bukan umat menyumbang terhadap tamadun umat manusia.
Dalam rangkap keenam, Prof. Kamal memberi erti kepada wasiat ini dengan mengungkapkan , "Natijah yang baik tanda kewarasan. Kampung Tergadai … tanda tak siuman ". Bagi yang serius merenung ungkapan ini teringat kisah Melaka di zaman Tun Perak mampu menjadikan Melaka pusat kemajuan yang tersohor di rantau ini.
Apabila wujud watak "Si Kitol dan raja Mendaliar" wajah kekuatan umat berubah. Lalu lahir kisah peminangan Puteri Gunung Ledang yang memberi kias ibarat yang amat bermakna mengenai kejatuhan Melaka di tangan penjajah luar.
Kewarasan adalah sesuatu yang amat berharga bagi kita. Hilang kewarasan selalunya hilang perimbangan antara idealisme dan realiti. Apa yang dipantulkan ialah syarah-syarah umum yang sifatnya retorik dan popular dan hilang kemampuan untuk mengisi makna dan pendekatan perubahan dan kemajuan sehingga tidak wujud strategi bijaksana memperkasa Islam dalam model dan sistem.
Inilah penyakit yang sedang ditanggungi warga umat lalu kita terjebak dalam krisis yang pelbagai. Kita gagal membaca pengalaman sejarah dan senario terkini hingga menyebabkan kita hilang keutamaan dan fokus dan menyebabkan proses peminggiran berlaku secara strategik baik dalam ekonomi apa lagi politik.
Kita ini ibarat mengejar fatarmogana, lalu membina impian yang tinggi untuk sampai suatu titik perjuangan kelompok. Kita tidak berfikir secara baik, merancang dengan bijaksana, menentukan prioriti atau kebijaksanaan lalu pihak lain merancang dan menggunakan strategi dan muslihat hingga menyebabkan peminggiran berlaku secara nyata.
Di akhir rangkap wasiat Pof. Kamal ialah "Jangan tabik akal berlumpur. Daulatkan wahyu kembali gemilang " adalah rumusan yang amat releven. Umat Islam akur dengan pemikiran terbaik, strategi bijaksana dan bersikap terbuka tetapi berprinsip dan kembali kepada dukungan wahyu yang menjadi intisari rujukan supaya petunjuk dari al-Quran menjadi sumber pedoman dan amalan dalam mengurus perubahan dan kemajuan.
Moga-moga 'Wasiat Di Penghujung Usia' ini dapat ditanggapi dengan positif supaya asas muhasabah terbina, renungan mendalam terjadi, keutamaan terhadap memperkasa umat berlaku. Berbeza dengan etika yang baik di mana yang patut berbeza dan menemukan titik persamaan yang banyak supaya kehadiran kita di dunia sifatnya memberi guna bukannya menyumbang ke arah perpecahan dan peminggiran.

No comments: