Wednesday, September 21, 2011

Kalaulah Besok Hari Mengundi, Alamat Banyak Saluran Yang BN Akan Kalah Di Selangor

Sebenarnya saya baru balik dari membuat tinjauan rambang di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mengadakan program serentak di seluruh Selangor.

Dari pemerhatian saya, ada yang meriah dan tidak kurang juga ada yang suram. Hakikatnya, ia adalah bergantung kepada sejauh mana kreativiti Pengerusi PDM menarik crowd. Bagi yang berjaya diucapkan tahniah, sementara yang tidak berjaya, jalan terbaik ialah serahkan jawatan kepada mereka yang berkelayakan.

Dalam pada itu jadikan cerita berikut sebagai iktibar dan teladan:-
50. Pak Mat Kudong tinggal di salah sebuah Pida ( feeder atau taliair yang ada dalam kawasan MADA di Kedah) di Jerlun dalam sebuah kawasan pilihanraya Jerlun yang mempunyai pengaruh PAS yang paling kuat di Kedah. Itulah sebabnya Ketua PAS Kedah, Dato' Abu Bakar Umar, bertanding berkali-kali dalam kawasan Jerlun.
51. Sabagaimana yang selalu saya katakan bahawa PAS, dahulunya, wujud dalam kawasan yang banyak pondok, dan pondok pula wujud dalam kawasan penanaman padi kerana penanam padi terkenal dengan amalan membayar zakat kepada alim ulama di pondok-pondok. Saya namakan hipotesis ini sebagai 3P iaitu Padi, Pondok dan Pas. Wang zakat inilah yang membiayai kegiatan pondok. Kecuali di Kemaman, Terengganu, yang tiada paDI, tetapi ada HaDI, didapati pondok maju di kawasan penanaman padi.
52. Dengan kehadiran saya sebagai wakil rakyat untuk Jerlun-Langkawi pengaruh Barisan Nasional di Jerlun bertambah bersemarak tetapi Barisan Nasional tetap kalah di Jerlun dan kemenangan saya untuk kawasan Parlimen sangat bergantung kepada undi dari Langkawi. Walau bagaimana pun kemenangan PAS, walau pun yang bertanding itu ialah Pengerusi Perhubungan PAS, Dato' Abu Bakar Omar, adalah dengan undi yang tidak begitu banyak.
53. Selaku Ahli Parlimen kawasan Jerlun-Langkawi saya berazam untuk Barisan Nasional menawan Jerlun pada pilihanraya berikutnya. Oleh itu satu kajian yang teliti telah saya buat dan saya dapati satu keanehan di kawasan UMNO pimpinan Pak Mat Kudong.
54. Di situ jumlah ahli-ahli UMNO cukup ramai dan Pak Mat Kudong sangat bangga dengan jumlah ahlinya yang banyak yang, katanya, berjumlah lebih 500 orang. Sebahagian dari ahli UMNO ini datang dari luar Pida berkenaan.
55. Pak Mat Kudong selalu menceritakan dengan bangganya bagaimana beliau telah menjadi ahli UMNO sejak tahun 1946 dan telah memimpin UMNO cawangannya sejak Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden UMNO.
56. Apa yang aneh ialah dalam pilihanraya peti undi yang termasuk undi cawangan UMNO Pida Pak Mat Kudong selalu kalah. Saya diberitahu tahu hanya 10% dari ahli UMNO Pida Pak Mat Kudong yang memilih Barisan Nasional dalam pilihanraya.
57. Sebabnya ialah ahli-ahli UMNO di situ benci pada Pak Mat Kudong tetapi tidak sanggup untuk menentangnya dalam pemilihan UMNO. Katanya mereka 'segan' dengan Pak Mat Kudong. Ahli-ahli UMNO mengharapkan supaya pihak ibu-pejabat UMNO dapat melihat fenomena ini dan bertindak untuk memperbaikinya. Untuk beberapa kali pilihanraya ahli-ahli UMNO di situ telah membuat undi protes terhadap Pak Mat Kudong dengan mengundi PAS.
58. Dalam pilihanraya berikutnya saya telah memaklumkan dalam mesyuarat UMNO Bahagian bahawa ibu pejabat UMNO telah memecat Pak Mat Kudong dari menjadi ahli UMNO dan saya nasihatkan kepada semua ahli jawatankuasa supaya merahsiakan tindakan ini kerana kita tidak mahu ada kekecohan dalam cawangan yang boleh mengganggu pilihanraya. Dengan nasihat begini maka bertambah cepatlah cerita Pak Mat Kudong dipecat telah heboh di seluruh bahagian kecuali Pak Mat Kudong sahaja yang tidak mengetahui kerana tidak ada yang berani memaklumkan padanya.
59. Maka kalahlah PAS di Jerlun kerana hampir 100% dari sekitar 500 undi ahli UMNO Pida Pak Mat Kudong telah mengundi Barisan Nasional. [Diceritakan oleh Tan Sri Sanusi Junid]
Bayangkan kalau kerusi lebih banyak dari kehadiran, Ketua Ranting PAS atau PKR mahupun Ketua Cawangan DAP setempat, pastinya tersenyum sampai ke telinga.

Mungkinkah ini yang dimaksudkan oleh PM Najib Razak merangkap Pengerusi BN Selangor sebagai program syok sendiri?

Kita tunggu ucapan Najib esok petang (22/9/2011) di Kuala Selangor.

1 comment:

Terbey said...

Salam,
Tertarik saya apa yang saudara paparkan disini kerana apa yang anda tulis itu sebiji macam apa yang terjadi pada cawangan kampung saya sekarang ini. Untuk pengetahuan suadara ketua cawangan kampung kami sekarang mungkin lebih terok lagi daripada pak Mat kudong, Kami juga dalam bahagian Jerlun, tapi sapa yang ambil peduli dan pada pendapat orang2 kampung amalan sebegini memang sudah menjadi darah daging UMNO, biar pun tidak layak tidak tahu membaca menulis janji ada geng kepala masam support mesti boleh jadi ketua atau JKKK, tambahan pula jawatan tersebut ada elaun. Bapa jadi pengerusi anak jadi setiausaha cawangan. Mereka buat UMNO cawangan kampung ini macam harta pesaka tok nenek depa, ahli yang depa tak suka depa tak bagi mai mesyuarat, dapat peruntukan sembunyi2. Malah ahli parti pembangkang yang baik denagn depa dapat bantuan UMNO dan bermacam2 lagi yang menyedihkan kami ahli2 UMNO diperlakukan.
Saudara tentu tahu kalau inilah caranya yang menjadi pemimpin parti peringkat akar umbi saya tak hairanlah kalau UMNO akan tewas dalam PRU sebab apa UMNO masih mengamalkan undang2 rimba untuk memilih pemimpin dikampung2. Adakah pemimpin bahagian sekarang sedar tentang masalah ini, yang nak menentukan menang peti undi tersebut adalah masyarakat kampung dan ahli parti bukan cerdik pandai dari luar yang boleh bagi kemenangan. terima kasih.