Perlukah Tuisyen Dalam Mengejar Kecemerlangan Akademik?
Saya amat bersetuju dengan kenyataan bahawa tiada suatu kaedah yang terbaik dalam proses pembelajaran yang berkesan. Sebaliknya, penggunaan kaedah yang pelbagai merupakan satu cara ke arah kecemerlangan akademik.
Pendapat awal saya menyatakan bahawa tuisyen adalah tidak penting dan hakikatnya memadai dengan proses pembelajaran yang diberikan oleh guru-guru di sekolah. Oleh kerana guru adalah seorang profesional, saya menaruh keyakinan dan percaya dengan kebolehan, latihan dan pengalaman yang mereka miliki. Tambahan pula terdapat pula guru yang begitu dedikasi serta ikhlas mengajar murid/pelajarnya. Justeru, tidak hairan bagi guru yang komited dengan kerjayanya, menawarkan kelas tambahan percuma kepada murid/pelajarnya. Namun, di sekolah dalam bandar adalah lumrah kelas tambahan tidak mendapat sambutan, atas alasan murid/pelajarnya menghadiri kelas di Pusat Tuisyen.
Seperkara yang menjadi penekanan kepada anak-anak ialah tentang kepentingan kelas pertama dan penumpuan di dalam kelas. Maksudnya, kelas pertama untuk bab 1 setiap subjek jangan sesekali terlepas. Ini disebabkan, dikala itulah guru akan menerangkan konsep, modul dan juga kerja kursus serta peperiksaan tersebut. Dalam sistem pendidikan hari ini, bukan sahaja pelajar sekolah menengah, malah murid sekolah rendah pun dikehendaki menyiapkan kerja kursus (folio) disamping ujian bulanan dan peperiksaan. Setiap patah perkataan guru di dalam kelas amat penting. Justeru, saya berasa amat rugi jika anak saya terlepas mengikuti kelas ekoran dari kegiatan ko-kurikulum, contohnya mewakili sekolah dalam sukan. Saya membuat ketegasan kepada anak saya supaya memilih satu jenis sukan sahaja, sebagai memenuhi keperluan khidmat bakti kepada sekolah.
Melalui pemerhatian terhadap kelima-lima orang anak, saya mendapati terdapat perbezaan karekteristik terhadap proses pembelajaran anak-anak. Ada yang cepat menangkap dan ada juga yang bersifat sederhana. Oleh yang demikian, saya tidak seharusnya bergantung kepada pendapat awal yang mengatakan kelas tuisyen tidak perlu. Memandang pada diri sendiri dan orang lain, seandainya kita tidak mempunyai ruang waktu untuk membimbing sendiri, maka keadaan inilah yang memerlukan kelas tuisyen sebagai alat untuk meningkatkan tahap kecemerlangan akademik anak-anak. Dari sini juga, keadaan menuntut kita menggunakan pelbagai kaedah pembelajaran agar mereka yang agak kurang cerdas ini dapat dibimbing supaya tidak ketinggalan di dalam kelas. Takkan sama sekali kita berpandangan negatif kepada kelas tuisyen, seolah-olah setiap 2 jam kelas yang dihadiri tidak mendatang sebarang manfaat langsung.
Meski pun terdapat dua pandangan peribadi terhadap keperluan kelas tuisyen, saya tegas berpendirian, proses pembelajaran di sekolah adalah amat penting dan memerlukan perhatian ibu bapa dan kanak-kanak. Betapa tidaknya, guru-guru di sekolah adalah merupakan guru-guru terlatih, malah perlu diingat bahawa majoriti pusat tuisyen hakikatnya menggunakan khidmat guru-guru sekolah aliran perdana!
2 comments:
salam... tak nak join gath ke..
Dalam setiap bidang akan ada yg cuba menangguk di air keruh. Ada tuisyen ikhlas (meski berbayar) dan ada yg semata2 krn profit, meskipun murah.
Apapun, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sudah lengkap jika dilaksanakan dgn ikhlas.
Saya berpendapat jgn diwajibkan tuisyen kpd semua anak. Lihat keperluan semasa.
Mungkin pertua berikut boleh dicuba:
Cari tuisyen yg gurunya garang dan hantar anak ke situ. Pesan kat anak: "klu prestasi meningkat, bapak bebaskan engkau (takyah tuisyen).
Post a Comment