Friday, August 29, 2008

Ketegasan Pendirian

Malam tadi saya dijemput ke Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat untuk pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STPM di sekolah anak saya. Pada tahun ini, anak-anak saya tidak seorang pun terlibat dalam peperiksaan. Jemputan yang saya terima adalah diatas kapasiti sebagai AJK PIBG sekolah berkenaan. Didorong oleh rasa tanggung jawab dan sebagai sokongan kepada pelajar-pelajar berkenaan saya penuhi undangan tersebut.

Kebetulan, saya juga adalah bekas pelajar di sekolah tersebut dan apabila bersama dengan pelajar-pelajar berkenaan membangkitkan rasa nostalgia bila bersama dengan mereka. Apatah lagi beberapa orang dikalangan guru dan ibu bapa merupakan teman-teman seangkatan semasa belajar di sana.

Beberapa perubahan berlaku di sekolah ini berbanding dengan zaman saya. Kini, bukan sahaja sekolah tersebut malah di kebanyakan sekolah di seluruh negara, unsur-unsur kerohanian melalui majlis seperti tersebut telah menjadi satu tradisi. Dulu, terpulang kepada masing-masing, malah rasanya kebanyakan pelajar tidak diterapkan dengan unsur berkenaan.

Disamping itu, komposisi pelajar juga telah jelas berubah mengikut perubahan dasar Kementerian Pelajaran. Dengan dua sistem medium ketika itu, sekolah tersebut adalah sekolah aliran Melayu maka majoriti pelajarnya adalah berbangsa Melayu. Apabila sistem pelajaran dengan medium tunggal dan kedudukan sekolah tersebut terletak di dalam bandar, mendorong kepada perubahan komposisi pelajar dan pelajar Melayu tidak lagi menjadi majoriti.

Oleh yang demikian, selera dan kemahuan ibu bapa tidak lagi bersifat budaya yang tunggal. Misalnya, di Mesyuarat Agung PIBG yang telah diadakan seminggu sebelum PRU2008 yang lalu, seorang bapa telah mengusulkan supaya di tubuhkan Persatuan Persaudaraan Kristian. Meskipun usul tersebut telah dibahaskan secara pro dan kontra, gesaan tersebut telah ditolak oleh Pengetua atas alasan bahawa pengajian Kristian sebagai salah satu subjek yang ditawarkan di sekolah berkenaan. Malangnya, seorang bapa (berbangsa Melayu} yang memperkenalkan diri sebagai pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri berpandangan bahawa tidak ada sebarang peraturan khusus berkenaan perkara tersebut.

Justeru, ini membuka ruang kepada pembawa usul berkenaan untuk merayu ke Jabatan Pelajaran Negeri. Selepas PRU, beliau telah mengumpulkan tandatangan pelajar beragama Kristian dan menghantar surat rayuan kepada Jabatan Pelajaran Negeri. Hal ini kemudiannya telah dibahaskan sekali lagi di peringkat Jawatan Kuasa PIBG yang dianggotai oleh komposisi 50-50 antara Islam dan bukan Islam. Apa yang menarik perhatian saya ialah ketegasan Pengetua yang merumuskan “sebagai ketua eksekutif sekolah ini dan mengambil kira pandangan dan sensitiviti semua pihak, saya menolak cadangan Persatuan Persaudaran Kristian di sekolah in”.

Saya secara peribadi begitu lega diatas ketegasan tersebut, apatahlah lagi ia dibuat dalam persekitaran masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Tanpa disedari, suasana ini dalah cermin kehidupan nyata dalam sosio-politik di Malaysia iaitu pemimpin harus bertegas demi menjaga sensitiviti dan kedudukan Islam di negara ini. Andainya, Pengetua terlalu berlembut dan mengambil pendekatan mengambil hati maka ia akan menjurus kepada tamparan kepada mereka yang berikut:-

1. Bekas guru yang pernah menjaga portfolio agama sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum PRU1999.
2. Bekas pelajar yang menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio agama pada hari ini.
3. Bekas pelajar yang pernah menjaga portfolio agama dalam EXCO Kerajaan Negeri (sebelum pertukaran Kerajaan).
4. Bekas pelajar yang sekarang ini menjaga portfolio agama EXCO Kerajaan Negeri (setelah pertukaran kerajaan).
5. Bekas pelajar yang sekarang ini menjawat sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri.

4 comments:

melayuangkat said...

Assalamualaikum Saudara Azlan,

Rajin Saudara jadi ajk PIBG.

Isu sensitif memang susah sedikit nak handle. Kena ada ketegasan. Lebih lebih lagi sekarang ramai yang suka menimbulkan kekecohan antara kita. Yang memimpin mesti tegas dan bijak mengawal keadaan.

WaAllahuAlam.

Akar Umbi said...

Kak Cik,

Jadi AJK PIBG ni sekadar nak dapatkan maklumat terkini berkenaan isu-isu pendidikan dan luaskan pergaulan.

kuanderas said...

Saudara Azlan,
Sampaikan tahniah saya kepada Pengerusi PIBG itu.

Pasca Pilihanraya ke-12 memang dasyat:-
1.Keterbukaan melampau sehingga tidak menghormati hak=hak dan sensitiviti orang Melayu.

2.Mereka yang melanggar Perlembagaan mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu tidak dihukum & dibebaskan.

3.Mempertahankan hak orang Melayu dianggap racist sedangkan banyak yang telah terlepas pergi (Biasiswa JPA dan sebagainya).

4.Apa yang dikesalkan, orang melayu sendiri mempersoalkan DEB dan mempersoalkan hak-hak mereka.

Pilihanraya Permatang Pauh bukti Pak Lah semakin tidak diterima rakyat

Demi Agama, Bangsa & Negara, berundurlah Pak Lah!!!!

Anonymous said...

Assalamu'alaikum Saudara Azlan,

Hebat sungguh sekolah saudara ini, di dalam Kerajaan, di luar Kerajaan, dalam Pembangkang dan kesemuanyalah katakan mesti ada tangan-tangan dari sekolah tu.

Hebat. Selamat Berpuasa

TOKPAKIRKORBANDEMOKRASI