Saturday, July 12, 2008

Menunggu Hari Pencen Ketua Guru

Berikut ialah sebuah kisah pengalaman seorang Pengerusi Sekolah Agama Rakyat atau Kelas Fardhu Ain (KAFA) di sebuah kawasan perumahan. Sebagai Pengerusi, beliau bertindak sebagai ketua untuk suatu jemaah pengurusan sekolah, yang dipanggil sebagai Jawatan Kuasa Sekolah Agama Rakyat. Sementara hal-ehwal pentadbiran diketuai oleh Ketua Guru yang bertanggungjawab dalam halehwal kurikulum sekolah agama, ko-kurikulum dan perjawatan. Selain melapor kepada Pengerusi, Ketua Guru juga melapor kepada Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri. Di peringkat daerah, Ketua Guru adalah dibawah seliaan Penyelia KAFA Daerah, disamping Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah yang merupakan ketua bahagian.

Menyedari dirinya bukan yang arif dalam bidang pendidikan dan dengan niat untuk mengelakkan pertindihan dalam bidang kuasa dan reporting line, Pengerusi tersebut memberikan kebebasan kepada Ketua Guru dalam hal pentadbiran. Pada masa yang sama, Pengerusi lebih menumpukan kepada aspek pengurusan, khususnya yang berkaitan dengan kewangan dan pembangunan sekolah. Namun begitu, telah timbul isu bila mana 80% daripada tenaga pengajar telah menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Ketua Guru, melalui perjumpaan khas guru-guru terbabit dengan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi. Butiran perkara yang menjadi isu, rasanya tidak perlu didedahkan dan memadai dikatakan sebagai masalah pentadbiran dan kepimpinan.

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi sepakat untuk tidak mengeruhkan keadaan, sebaliknya lebih meletakkan diri mereka sebagai mediator. Bagi mereka, disebalik komplen dari pihak guru terbabit, secara tidak langsung menunjukkan Ketua Guru seorang yang komited dalam menjalankan tugas dan di pihak guru pula ia dianggap sebagai bebanan dan tekanan bagi mereka. Sebagai jalan tengah, guru-guru terbabit telah dinasihatkan supaya menjalan tugas mereka seperti biasa, malah kalau boleh harus lebih komited lagi. Dalam bekerja, apabila berlaku krisis dengan ketua, Pengerusi tersebut menyarankan bahawa ia harus dipandang sebagai alat motivasi. "Melawan ketua melalui tingkah laku yang berbentuk protes tidaklah memberi sebarang faedah, malah memberi ruang kepada kamu untuk dihukum. Sebaliknya, kamu harus berlawan kerja, iaitu dengan menunjukkan siapa yang lebih baik samada kamu semua atau Ketua Guru" ujar Pengerusi. Bagi tujuan meredakan keadaan Pengerusi memaklumkan bahawa Ketua Guru akan berpencen dalam tempoh setahun lagi. Dengan kenyataan itu, maka redalah buat seketika dan guru-guru nampak berpuas hati dan membuat pendirian untuk bersabar dalam tempoh tersebut.

Malang sekali, apabila sampai tempoh yang dinantikan, kumpulan guru terbabit telah mendapat maklumat bahawa Jabatan Agama Islam Negeri telah membuat satu dasar iaitu bagi guru-guru yang telah sampai umur pencen boleh disambungkan perkhidmatan mereka, dengan syarat lulus pemeriksaan perubatan. Pengerusi yang diberitahu perkara tersebut, terdiam buat seketika. Dalam hatinya berkata "Rosak kalau macam ini. Masing-masing dah menunggu hari pencen Ketua Guru". Demi akur dengan polisi jabatan dan mengakui bahawa ada perkara dan sumbangan yang bermanfaat telah diberikan oleh Ketua Guru, Pengerusi telah memohon kepada guru-guru berkenaan supaya menghormati keputusan tersebut. Ini bermakna, mereka terpaksa menunggu hari pencen Ketua Guru selama 2 tahun.

Akan tetapi, perasaan tidakpuas hati guru-guru akhirnya tidak dapat dibendung. Maka telah berlaku pertelingkahan antara guru-guru dengan Ketua Guru. Campur tangan dari pihak pengurusan sekolah telah diminta dan hadirlah Pengerusi untuk bertindak sebagai mediator dalam satu perjumpaan yang melibatkan semua tenaga pengajar. Pengerusi dengan kemahiran diplomasinya telah berjaya mendamaikan kedua pihak tersebut dan akhirnya sepakat untuk saling bermaafan.

Seperkara yang mendukacitakan Pengerusi, menjelang penghujung term perkhidmatan Ketua Guru telah berlaku pertukaran seorang guru ke sekolah lain dan perletakan jawatan seorang lagi guru, ekoran tiada persefahaman lagi dikalangan mereka. Hakikatnya, keharmonian gagal untuk dipertahankan hingga ke penghujung. Apabila sampai tempoh 2 tahun yang dinantikan, akhirnya Ketua Guru telah memanggil satu mesyuarat guru dan di majlis itu beliau telah memaklumkan bahawa tidak akan menyambung kontrak. Barangkali, majoriti guru tersebut gembira setelah bersabar selama 2 tahun.

Semasa perhimpunan mingguan sekolah, telah diumumkan kepada murid-murid mengenai persaraan Ketua Guru yang akan berkuatkuasa pada hujung bulan. Secara spontan, murid-murid telah memberikan tepukan bergemuruh dan disertai dengan sorakan. Peristiwa itu telah dimaklumkan kepada Pengerusi tersebut oleh guru-guru malah Ketua Guru sendiri. Tidak pasti pula samada guru-guru yang tidak berpuas hati turut memberikan tepukan dan sorakan setelah 2 tahun menunggu hari pencen Ketua Guru!

p/s Kisah di atas adalah kisah benar.

8 comments:

Harimau-Menaip said...

Satu penceritaan yang sinikal dari "pemasang poster"..hehehe

melayuangkat said...

Assalamulaikum,

Main tunggu tunggu ini kadang kadang satu penyiksaan jugak...semua jadi mangsa.

Kalau sekolah, murid turut jadi mangsa sebab cikgu punya pasal.

Kalau negara, rakyat jelata pun turut judi mangsa secara tak langsung, pemimpin di atas punya pasal.

*Teringat lagu "Tunggu sekejap..." cerita Antara Dua Darjat

Nia said...

Salam,...

Murid2 tu mesti tepuk sbb diaorg pun dah cuak dgn performance ketua guru tu..hehe..

Makcik, lagu 'Tunggu Sekejap' tu dalam cerita Sarjan Hassan pun ade.

man_helang said...

salam...

aku mcm penah terbaca jek cerita ko nih, mcm cerita reality kehidupan yg aku alami plak...hu hu

paneh said...

satu analogi yg menarik

mohad said...

salam... apa khabar sekarang..

Letting the time pass me by said...

bukan ketua guru dan pengerusi nie sama orangnya? keliru jugak cerita nie...

Akar Umbi said...

letting the time pass by me,

Sekolah Rendah Agama (SRA) ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan semua urusan dibuat oleh mereka sepenuhnya. Sementara, KAFA atau dulu dikenali oleh Sekolah Agama Rakyat ditubuhkan oleh ahli kariah. Pengerusi dipilih didalam mesyuarat agong tahunan dan berfungsi memimpin jawatankuasa KAFA dalam hal pengurusan. Tenaga pengajar dilantik oleh dan diuruskan oleh Bahagian Pendidikan,Jabatan Agama Negeri.

KAFA memperoleh sumber dari kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan (melalui JAKIM dan Kementerian Pelajaran), disamping wakaf dari ahli kariah ada dermawan yan berminat. Justeru dalam konteks ini Pengerusi dan Ketua Guru adalah 2 entiti yang berlainan.