
Setelah Waqaf Korporat dibangunkan, penswastaan syarikat GLC harus memberi keutamaan kepada mereka. Barulah penswastaan syarikat GLC dapat dijayakan mengikut acuan dan pendekatan Islam tanpa mengenepikan “semangat DEB”. Menerusi kaedah ini juga pendirian yang jelas dilihat membela kepentingan rakyat terbanyak dan melindungi kepentingan hak golongan miskin dan terpinggir pasti disambut baik oleh semua rakyat Malaysia. [Tan Sri Muhammad Ali Hashim]
Tokoh korporat Tan Sri Muhammad Ali Hashim sekali lagi mencadangkan penubuhan Waqaf Korporat yang bermatlamatkan keadilan sosial dalam konteks Islam dan bangsa Melayu.
Pandangan beliau, seharusnya diberi perhatian dalam mengimbangi suasana perniagaan hari ini yang lebih fokus pada KPI dan berorientasikan keuntungan. Oleh kerana terlalu terikat dengan KPI, gagal jayanya pengendali organisasi korporat khususnya CEO adalah bergantung kepada sejauh mananya mereka dapat memenuhi piawaian KPI yang ditetapkan kepada mereka.
Saya berpandangan, saranan yang dibuat oleh tokoh korporat berkenaan, wajar diberi perhatian, khususnya kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, agar pengurusan baitulmal akan dapat diperkasakan dan memberi pulangan yang amat bermakna demi kesejahteraan ummah.
Andainya penetapan KPI mengambilkira jihad ekonomi sebagai weightage dalam pencapaian KPI berkenaan, maka dengan sendirinya cadangan yang diutarakan oleh Ali Hashim pastinya tidak perlu diperbahaskan.