Thursday, January 7, 2016

Ketua Dewan Ulamak Mengepalai Penglaknatan Keatas Parti Amanah Negara


Tidak berdesingkah telinga Mat Sabu apabila 3 sayap PAS Selangor menyifatkan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai pengamal politik tidak berakhlak dan tidak bermaruah?

Itulah hakikat yang terpaksa diterima oleh Presiden PAN itu apabila Ketua Dewan Ulamak, Ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, mengeluarkan kenyataan bersama susulan pemberian 8 kuota kepada PAN untuk dilantik sebagai Ahli Majlis PBT Selangor, yang kenyataan penuh disiarkan oleh Harakah Daily.

Selain dari itu, kenyataan bersama tersebut turut mengungkit betapa kelahiran PAN adalah daripada pengkhianatan terhadap perjuangan Islam.

Dalam perkembangan yang sama, dalam kenyataan Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman kepada The Star, PAS Selangor menghormati keputusan MB Selangor DS Azmin Ali, disamping memahami dilema yang dihadapinya.

Khairuddin turut mengesahkan bahawa tiada pengurangan kuota kepada PAS meskipun 8 telah diperuntukkan kepada PAN.

Namun begitu, Ketua Pemuda PAN Selangor Abbas Azmi dilaporkan sebagai berkata, parti berkenaan mendapat 10 kuota, termasuk 2 yang diperuntukkan kepada pemuda.

Kemungkinan besar kuota berkenaan adalah atas ehsan DAP, yang bertujuan memberikan platform kepada PAN bagi menggantikan PAS dalam pentadbiran negeri secara keseluruhannya.

Perkembangan ini amat menarik dan kita tunggu sehingga Sabtu (9 Januari 2016), apabila perjanjian bersama Pakatan Harapan bakal ditandatangani oleh ketiga-tiga pemimpin utama DAP, PKR dan PAN.

Perlu diingat jawatan Azmin hanyalah sebagai Timbalan Presiden PKR dan ini bermakna beliau adalah terikat dengan pemetrian bersama berkenaan. Lantaran itu, adalah amat sukar baginya mempertahankan PAS untuk kekal sebagai sebahagian komponen Kerajaan Negeri Selangor.

Wednesday, January 6, 2016

Tak Sia-Sia Kunjungan Utusan Mat Sabu Ke Pejabat Azmin, Bila Pulang Dengan Kejayaan


Meskipun diberikan tentangan keras dari PAS, akhirnya tidak sia-sia utusan yang dihantar oleh Mat Sabu Isnin lepas ke Pejabat MB Selangor, apabila diumumkan hari ini oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah bahawa PAN diberikan 8 kerusi Ahli Majlis PBT Selangor.

Menurut Agenda Daily, kuota 8 yang diberikan kepada PAN ialah untuk PBT yang terdiri dari Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Walau pun bilangan itu jauh tersasar dari permohonan asal, iaitu 24 - 34 kerusi, namun rasanya itu sudah cukup untuk mencetuskan 'panas' kepada PAS. Apatah pula, khusus bagi kawasan Sabak Bernam dan Kuala Langat yang mana kekuatan PAS adalah mengatasi PAN, maka tindakan itu dilihat bagai sengaja dilakukan untuk mengikis pengaruh PAS.

Kawasan parlimen Kota Raja misalnya, adalah antara kubu PAN dan kawasan berkenaan melangkui 3 PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya, namun tidak seorang pun wakil PAN diletakkan di salah satu PBT berkenaan.

Majlis Syura Ulamak Putuskan PAS Tidak Akan Sertai BN


Mesyuarat Majlis Syura Ulamak (MSU) yang bersidang pada 2 Januari 2016 menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai BN dan keputusan ini dinyatakan oleh Setiausaha badan berkenaan, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh yang disiarkan di Harakah Daily.

Namun demikian, MSU bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan demi memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

Dari kenyataan tersebut dapatlah kita rumuskan bahawa PAS akan terus mengadakan kerjasama dengan PKR Selangor, bagi menyelamatkan kedudukan 3 exconya yang duduk dalam pentadbiran negeri Selangor, disamping banyak lagi jawatan yang sedang disandang oleh wakil-wakil PAS dalam PBT mahu pun JKKK di negeri berkenaan.

Namun begitu, andainya MB Selangor DS Azmin Ali terikat dengan keputusan tertinggi Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Harap (DAP, PKR dan PAN) yang akan memeteri perjanjian bersama pada 9 Januari ini, maka kesemua-semua kuota jawatan yang diisi oleh PAS bakal gugur keseluruhannya.

Pada tarikh yang sama juga, Presiden PAS DS Hadi Awang akan menyampaikan amanat kepada ahli-ahli PAS berhubung dengan halatuju parti berkenaan berikutnya.

Dalam pada itu, keputusan MSU yang membenarkan kerjasama demi Islam, tentunya memberi ruang kepada Hadi Awang membuatkan keputusan samada menerima huluran kerjasama oleh UMNO.

Pilihan kerjasama Hadi dan PAS kini hanyalah dengan PKR dan UMNO, manakala kerjasama dengan DAP dan PAN kelihatan agak sukar buat masa ini.

Tuesday, January 5, 2016

Selamatkah Kedudukan Azmin Sebagai MB Selepas Kit Siang, Mat Sabu & Wan Azizah Turunkan Tandatangan Pada 9 Jan Ini?


Persoalan kini timbul, samada DS Azmin Ali akan kekal sebagai MB Selangor, apabila persefahaman bersama Pakatan Harapan bakal ditandatangani oleh Lim Kit Siang (DAP), Mohamad Sabu (PAN) dan DS Wan Azizah Ismail (PKR) pada 9 Januari ini?

Menarik sekali apabila ketiga-tiga pemimpin utama parti komponen Pakatan Harapan tesebut telah bermesyuarat di ibu pejabat PAN, yang secara langsung memberi isyarat bahawa PAS tidak lagi diperlukan duduk dalam Kerajaan Negeri Selangor. Sidang media selepas mesyuarat, tengahari tadi telah meyebut mengumumkan perkara berkenaan.

Dalam sidang media tersebut, Wan Azizah menyifatkan perjanjian berkenaan bakal termetri tersebut sebagai kematangan politik PKR, DAP dan Amanah, yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing, lapor The Malaysian Insider.

Bukan rahsia lagi bahawa Azmin mendapat tekanan dari DAP supaya mengeluarkan PAS dari anggota kerajaan negeri, khususnya melalui tindakan-tindakan KM Lim Guan Eng yang bagai mengajar Azmin untuk menyingkir wakil-wakil PAS dalam kerajaan negeri.

Malahan kelmarin, PAN Selangor telah menghantar senarai nama calon mereka untuk dilantik dalam PBT di Selangor.

Dalam reaksi PAS pula, Pesuruhjaya Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad dengan tegas menolak perlantikan wakil-wakil PAN dalam PBT Selangor, malah mengungkit perlatinkan pegawai-pegawai masjid di Selangor sessi 2016/2019, telah memberi keutamaan kepada PAN dan membelakangkan pencalonan dari kalangan ahli-ahli PAS.

Dengan isyarat dari Kit Siang, Mat Sabu dan Wan Azizah sudah cukup PAS Selangor memahami bahawa mereka kini tidak dikehendaki untuk duduk dalam kerajaan negeri.

Melainkan Azmin mengambil sikap berdegil terhadap keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan, Iskandar masih lagi boleh kekal sebagai Exco Kerajaan Selangor. Namun perlu diingat bahawa jika Azmin berpendirian sedemikian, ia bakal mengundangkan krisis politik di  negeri berkenaan, bila mana Azmin dan PAS tidak mempunyai angka yang cukup bagi menubuhkan kerajaan negeri.

Dalam keadaan komposisi Adun- Adun di Selangor terdiri dari DAP (15), PKR (13), PAS (13), PAN (2), BN (12) dan Bebas (1), mempertahankan PAS, bermakna Azmin juga akan kehilangan jawatan MB.

Monday, January 4, 2016

Azmin Ali Diserang Oleh Profesor Yang Dilantiknya Sebagai Sebagai Naib Canselor Unisel!


Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman telah dilantik oleh Kerajaan Selangor sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) berkuatkuasa 1 Januari 2016.

Bermakna, hari ini adalah hari pertama beliau masuk ke pejabat untuk memulakan tugasan. Namun begitu, sempena hari permulaan tugasannya itu, Redzuan secara halus memulakan serangan kepada MB Selangor DS Azmin Ali.

Berselindung disebalik kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Redzuan menyimpulkan penemuan kaji selidik IDE menunjukkan rakyat mengharapkan pembaharuan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor kerana pemerintahan parti pembangkang itu masih jauh daripada sebarang perubahan ketara yang dikehendaki pengundi-pengundi negeri itu.

Malah tambahnya lagi, rakyat tidak melihat bahawa pemerintahan Pakatan membawa banyak perubahan, tetapi lebih marah kepada UMNO kerana banyak isu termasuk GST, dalam kenyataannya yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Untuk rekod, IDE adalah sebuah badan pemikir PKR yang mendapat peruntukan RM5 juta melalui Bajet Selangor 2016.

Tuesday, December 22, 2015

Pertembungan Lim Guan Eng Vs Azmin Ali, Siapa Pemenangnya? - Bhgn 2


Dilihat dari mata kasar, adalah sukar untuk menafikan kelebihan tai chi KM Lim Guan Eng berbanding jurus silat DS Azmin Ali, bersandarkan analisa yang di tulis dalam bhgn 1 sebelum ini.

Berdasarkan angka, sudah memadai untuk Guan Eng mengatasi Azmin. Di Pulau Pinang, Guan Eng pada bila-bila masa boleh mendapatkan majoriti mudah melalui pujukannya terhadap Adun PAS Datuk Mohd Saleh Man dan Timbalan KM1 Datuk Mohd Rahid Hasnon.

Malah Guan Eng boleh menggugat kedudukan Azmin sebagai MB Selangor, andai kesemua 15 Adun DAP menarik diri dari kerajaan Selangor.

Namun begitu, Azmin tidaklah semudah itu menyerah kalah dan dalam beberapa siri ucapannya telah mula memuji-muji dasar dan polisi kerajaan BN khususnya kepada pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir.

Contohnya ketika berucap di Persidangan Usahawan Malaysia - China pada November lepas, Azmin menegaskan betapa keberanian Tun Razak mengadakan hubungan diplomatik dengan China (pada 1974), disaat dan ketika kesemua negara ASEAN kecuali Malaysia tidak sama sekali mengambil inisiatif yang serupa.

Dalam majlis berkenaan Azmin turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai 'Father of Nation Quantum Leap'  (Bapa Lonjakan Negara) dan bersetuju dengan 'Dasar Pandang Ke Timur', malah MB Selangor itu turut mencadangkan China turut dimasukkan, selain Jepun dan Korea.

Perkara yang sama diulangi oleh Azmin, apabila sekali lagi memuji Tun Razak ketika merasmikan Kongres Tahunan Wanita dan Pemuda PKR 2015, dengan menyifatkan PM ke2 Malaysia itu sebagai bijaksana apabila memperkenalkan Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Kebudayaan Nasional selepas kancah konflik antara kaum selepas 'tragedi 13 Mei 1969'.

Tindakan Azmin dalam mengiktiraf  Tun Razak sebagai pemimpin besar negara, adalah tidak lain untuk menyakitkan hati Guan Eng, apatah lagi Allahyarham ialah bapa kepada PM DS Mohd Najib Razak.

Pada masa yang sama, tindakan itu dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan 12 Adun BN, setidah-tidaknya bagi mengelakkan pembubaran DUN Selangor, disamping memastikan kedudukannya sebagai MB tidak terlucut melalui usul tidak percaya.

Diandaikan Guan Eng 'buat gila' dengan mengusulkan undi tidak percaya kepada Azmin, sekurang-kurangnya Azmin akan tetap kekal dengan sokongan 26 Adun (PKR-13 dan PAS-13), berbanding 17 menyokong (DAP-15 dan PAN-2), manakala 12 Adun BN berpendirian berkecuali.

Sementara bagi Adun Bebas TS Abdul Khalid Ibrahim, samada memilih untuk berkecuali atau memihak kepada usul DAP ia masih belum cukup untuk melucutkan Azmin.

Dalam hal ini, adalah terlalu sukar bagi Guan Eng untuk mendesak Azmin melaksanakan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor.

Tuesday, December 15, 2015

Pertembungan Lim Guan Eng Vs Azmin Ali, Siapa Pemenangnya? - Bhgn 1


Menurut The Heat Malaysia, bukanlah suatu rahsia bahawa berlaku perselisihan pendapat antara KM Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan MB Selangor Dato' Seri Azmin Ali dalam memilih sekutu, iaitu samada PAN atau PAS.

Meskipun Pakatan Rakyat secara umumnya telah digantikan dengan Pakatan Harapan diperingkat nasional, namun Azmin masih mengekalkan status quo berasaskan model Pakatan Rakyat tanpa membuang PAS sebagai sebahagian komponen pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Sebaliknya, Guan Eng melaksanakan persefahaman yang diikat melalui Pakatan Harapan dengan melakukan pembersihan dengan membuang satu demi satu anggota PAS dari pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Walau pun kedua-dua DAP dan PKR bukanlah memiliki jumlah kerusi yang mutlak untuk memerintah secara bersendirian di Pulau Pinang dan Selangor, namun pertembungan antara gerak tai chi Guan Eng dengan jurus silat Azmin, kelihatan Setia Usaha Agung DAP itu lebih kedepan berbanding Timbalan Presiden PKR tersebut.

Dalam DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, komposisinya adalah terdiri dari DAP (19), PKR (10), PAS (1) dan pembangkang BN (10). Bermakna jika DAP yang mempunyai 19 kerusi memilih untuk memutuskan hubungan dengan PKR, mereka masih belum boleh menubuhkan kerajaan.

Menyedari hakikat ini, tidak hairanlah Guan Eng mengambil pendekatan untuk tidak membuang Adun tunggal PAS (Permatang Pasir) Datuk Mohd Saleh Man sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Malah, Adun PAS berkenaan mengisytiharkan sebagai mesra kerajaan DAP Pulau Pinang.

Guan Eng mengambil kesempatan dari tindakan 5 Adun PKR yang berkecuali terhadap usul BN di sidang DUN Pulau Pinang November lepas, berhubung isu tebus guna 2,600 hektar tanah, KM itu telah melaga-laga kepimpinan PKR Pulau Pinang dengan dakwaan kononnya wujud komplot yang hendak menggulingkan kedudukan Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai Timbalan Ketua Menteri I (TMKI). Malah, Guan Eng telah memberi amaran bahawa pihaknya hanya mengiktiraf Rashid sebagai TMKI Pulau Pinang.

Tindakan Guan Eng sengaja melaga-lagakan dalaman PKR, tidak lain adalah bertujuan untuk memancing Rashid Hasnon supaya kekal menyokongnya, seperti yang dilakukan terhadap Saleh Man. Tidakkah pelik bila Saleh membuat pendirian kekal bersama PAS, tetapi sebelah kakinya disandarkan kepada DAP?

Dengan mengikat Rashid dan Saleh, maka kedudukan Guan Eng akan mendapat sokongan 21 Adun (DAP-19, PKR-1 dan PAS-1). Sesungguhnya itu sudah memadai baginya untuk mendapat majoriti mudah dalam DUN Pulau Pinang, andai hubungannya dengan Azmin gagal dipulihkan.

Dalam pada itu sebagai langkah jangka panjangnya, portal The Heat Malaysia melaporkan DAP sedang giat memperkukuh dan meluaskan pengaruhnya di kawasan-kawasan DUN PKR yang diwakili oleh Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban), kerana mereka ini adalah 4 dari 5 Adun PKR yang berkecuali terhadap usul BN yang disebut di atas. Sementara seorang lagi Adun PKR yang berkecuali ialah Dr Norlela Ariffin (Penanti), yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

Hakikatnya ini adalah pendekatan awal DAP dalam menghadapi sebarang kemungkinan, sebagai persediaan bergerak tanpa PKR dalam PRU14.

Meski pun dari kiraan ini jelas bahawa Azmin ketinggalan dari segi strategi kepada Guan Eng, namun tidaklah bermakna tiada sebarang tindak balas dari MB Selangor itu. Strategi Azmin dalam mengekang Guan Eng melalui tindak balas di Selangor akan dijelaskan yang bakal menyusul pada bahagian 2 berikutnya.

Sesungguhnya pertembungan ini amat menarik kerana antara Guan Eng dan Azmin, masing-masing adalah berkelulusan perakaunan dan seorang lagi dalam bidang matematik!