Tuesday, August 12, 2008

Perlukah Konsesus Pasca Merdeka?

Saya belum pernah memberikan maklum balas yang serius berhubung dengan keadaan politik negara pada hari ini. Sebaliknya, saya cuma menelan hujah-hujah, samada pro mahu pun kontra. Bila sendirian, otak mula berfikir dan mengimbas satu demi satu peristiwa sebelum dan selepas pilihan raya umum 12 yang baru lalu. Akhirnya, saya menyimpulkan bahawa wujud keberantakan politik di dalam negara. Keberantakan ini bukan saling kontra antara individu tetapi melangkaui batas sempadan agama, budaya, bangsa dan organisasi politik.

Dicelah-celah keberantakan politik ini, saya terlihat bahawa generasi pasca-merdeka menuntut satu konsesus yang baru. Pra-merdeka telah memahat ugutan dari kolonial British bahawa Tanah Melayu akan menjadi huru hara, andainya tuntutan merdeka oleh rakyat pribumi dipenuhi. Justeru, pemimpin-pemimpin pra-merdeka telah mengambil pendekatan diplomasi dengan bersetuju dengan cadangan memberi kewarganegaraan kepada pekerja-pekerja asing disektor perlombongan dan perladangan. Persetujuan ini diterima oleh majoriti rakyat pribumi, namun terdapat juga penentangan terhadap keputusan terebut. Malahan ada yang beranggapan bahawa ini membuktikan kelemahan pemimpin ketika itu, kerana tunduk kepada tekanan kolonial British. Mujurlah perkara-perkara yang berkaitan Islam, Raja, tanah simpan Melayu dan tanah adat, Bahasa Melayu dan keistimewaan kuota masing-masing terpelihara dibawah Artikel-Artikel 3, 32, 89, 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan

Hari ini rata-rata anak-anak pasca-merdeka telah menjadi dewasa. Mereka adalah generasi yang boleh dikatakan sebagai, celik sahaja mata telah menjadi warga negara Malaysia. Jadi tidak hairanlah mereka menuntut kepada keperluan konsesus yang baru. Namun begitu, barangkali apakah respons terhadap persoalan yang ingin saya ajukan seperti berikut:-

1. Mampu dan relakah pribumi melepaskan keistimewaan yan mereka miliki?
2. Sanggupkah bangsa Cina dan India menghapuskan kewujudan SJK (C) dan SJK (T) demi
perpaduan nasional?

Sejujurnya, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak rela keberantakan politik yang berlaku pada hari ini memberi ruang kepada provakasi terhadap agama dan bangsa saya. Akhirnya, dek kerana budaya Melayu yang terlalu mengambil hati, kesilapan pusingan kedua akan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk konsesus baru era milineum ini! Semoga ada rahmat yang tersembunyi dari apa yang telah terjadi, insyaAllah.

Monday, August 11, 2008

Catatan Peribadi, Sebelum Terlupa (2)

1992 Proton Iswara menggantikan Proton Saga. Bank Negara telah kerugian akibat ekoran penglibatan BNM dalam transaksi matawang asing. Nor Mohamed Yackop, eksekutif kanan di BNM telah meletakkan jawatan atas dasar bertanggungjawab berhubung dengan kerugian tersebut.

1993-1995 kedudukan Pak Ghafar sebagai TPM tergugat. Team wawasan muncul dan memenangi pemilihan UMNO dengan membariskan Anwar sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden terdiri dari Muhyiddin, Najib dan Mohammad Taib serta kehadiran Rahim Tamby Chik sebagai Ketua Pemuda. Anwar dilihat sebagai bakal PM untuk tempoh ini, namun Rahim “bercuti” sebagai Ketua Pemuda kerana isu peribadi. Tempoh ini juga dari menyaksikan keadaan ekonomi yang begitu baik. Orang Melayu dah mula lepak kat broker saham (dah mula pandai main saham). Bak kata Daim Zainuddin, untuk duit poket dihujung minggu. Saham baru disenaraikan pun, paling bangsat pun RM2 boleh untung untuk setiap unit.

1996-1998 Anwar kekal untuk penggal ke2 sebagai Timbalan Presiden. Naib Presiden kekal dijawatan masing-masing, kecuali Muhyidin tergucil dan menyaksikan kemunculan Pak Lah sebagai pelengkap barisan. Zahid Hamidi unggul dalam pertembungan sengit kerusi Ketua Pemuda yang turut disertai Isa Samad, Annuar Musa dan Rahim sebagai penyandang jawatan. Petanda-petanda kegawatan ekonomi bermula pada pertengahan 1997. Jerebu dan krisis bekalan air melanda negara. Malaysia mencatat sejarah menjadi tuan rumah Sukan Komawel 1998.

1999 tahun terakhir menjelang alaf baru. Istilah IT, “Y2K bug” bermain dibibir setiap peringkat rakyat jelata. Tahun ini juga istilah politik yang popular ialah “kronisme”, “kolusi”, “nepotisme” dan “reformasi”. Istilah ini bukan sahaja popular di Malaysia, tetapi turut meluas digunakan di Indonesia. Ada grand design ke? Kawan-kawan pun ramai yang telah berhijrah politik.

ERA ALAF BARU rasanya tak perlulah nak diceritakan kerana rata-rata telah pun melalui setiap peristiwa yang berlaku. Sesungguhnya susah-senang, jatuh-bangkit, pahit-manis adalah pengalaman yang bakal menjadikan pengajaran bagi kita sebagai seorang dewasa.